Selepas AirAsia X membuka semula laluan penerbangan langsung KL-Tehran-KL mulai Jun 2016 nanti, kelihatannya ramai di antara pengembara yang berminat untuk berkunjung ke sana. Tak kurang juga masih ada yang was-was untuk ke sana mungkin atas dasar keselamatan.

Jadi kat sini saya nak kongsikan sedikit beberapa perkara yang perlu korang tahu sebelum berkunjung ke negara Iran. Perkongsian ini saya rangkumkan hasil daripada kunjungan solo saya ke Shiraz, sebuah bandar di selatan negara Iran pada tahun lepas.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Semoga ianya sedikit sebanyak boleh dijadikan rujukan untuk korang sebelum melanjutkan perjalanan ke sana.

13 Perkara Anda Perlu Tahu Sebelum Mengembara ke Iran.

Iran, atau nama lengkapnya Republik Islam Iran merupakan sebuah negara yang agak sukar difahami oleh kebanyakan orang.

Sekiranya kita membuat carian maklumat berkenaan negara Iran di internet, mungkin kita sedikit hampa kerana tidak banyak maklumat yang kita boleh dapati ataupun maklumat yang ada itu mungkin sudah tidak dikemaskini dan tidak terpakai lagi.

Yang lebih menyedihkan sekiranya maklumat yang diberi itu adalah maklumat yang tidak tepat tentang negara Iran.

Kebanyakan di antara kita lebih mengenali negara Iran disebabkan oleh program nuklearnya atau mungkin juga kerana orang-orangnya yang berfahaman Syi’ah.

Mungkin ramai juga yang masih ragu-ragu, adakah selamat sekiranya kita berkunjung ke sana untuk mengembara atau bercuti?

Aku pernah berkunjung ke negara Iran secara solo, atau lebih spesifiknya ke sebuah bandar yang terletak di bahagian selatan negara tersebut, iaitu Shiraz pada tahun 2015 yang lalu.

Di sini aku ingin kongsikan 13 perkara yang korang perlu tahu sebelum berkunjung ke negara Iran.

1. Penerbangan ke Iran.

Buat masa sekarang terdapat 2 syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan langsung dari KLIA ke Tehran, ibu negara Iran iaitu Iran Air dan Mahan Air.

Tambang pergi balik dengan menggunakan penerbangan tersebut lebih kurang diantara RM2,500-3,000. AirAsia X akan membuka semula laluan KL-Tehran mulai 21 Jun 2016 dan harga tiket promosi yang ditawarkan boleh didapati pada harga serendah RM610 untuk penerbangan KL-Tehran-KL.

Bagi pendapat peribadi aku, harga yang ditawarkan itu sudah mampu membuatkan air liur meleleh untuk penerbangan jarak jauh seperti itu.

Pada kembara aku yang lalu, aku terpaksa menggunakan laluan yang berliku untuk memasuki negara Iran. Aku telah menggunakan laluan penerbangan KL- Manila-Dubai-Shiraz dengan menaiki 3 syarikat penerbangan tambang rendah iaitu AirAsia, Cebu Pacific Air dan Flydubai.

Total yang aku belanjakan untuk tiket penerbangan waktu itu lebih kurang RM850.

panduan-travel-ke-iran-1
Free visa on arrival for Malaysian, single entry for maximum stay 15 days.

2. Visa

Sebagai pemegang pasport antarabangsa Malaysia, kita sangat bertuah kerana boleh mendapatkan ‘visa on arrival’ secara percuma sekiranya kita masuk ke negara Iran melalui jalan udara.

Bermaksud visa kita akan dikeluarkan semasa ketibaan di lapangan terbang di sana. Perlu diingatkan juga, visa yang diberi hanyalah untuk sekali masuk sahaja (single entry) dan semasa aku ke sana, tempoh maksimum berada di sana yang dibenarkan hanyalah selama 15 hari sahaja.

Info terkini mengatakan tempoh validity visa telah dilanjutkan selama 30 hari. Proses untuk mendapatkan visa ini sangat mudah dengan hanya mengisi borang sahaja tetapi agak memakan masa. Waktu tu aku harus menunggu lebih daripada sejam untuk mendapatkan visa ni.

3. Insurans Perjalanan.

Visa yang dikeluarkan kepada kita adalah percuma, tetapi kita harus membayar sebanyak $18 untuk insurans perjalanan selama kita berada di negara Iran.

Sekiranya kita sudah mempunyai insurans perjalanan kita sendiri, sila teliti baik- baik kerana kebanyakan insurans yang kita miliki tidak merangkumi negara- negara seperti Iran, Sudan, Iraq, Afghanistan dan Cuba.

Jadi, kita harus membayar untuk perlindungan insurans perjalanan sepanjang berada di sana.

panduan-travel-ke-iran-2
Iranian rial.

4. Matawang.

Matawang yang digunakan di negara Iran ialah Iranian Rial. Matawang tersebut tidak boleh didapati di luar negara Iran, jadi disarankan untuk membawa matawang USD atau Euro ke sana.

Proses tukaran matawang boleh dibuat di money changer di lapangan terbang atau dibuat secara terus dengan pihak hotel atau tempat penginapan korang.

Kadar tukarannya tidak stabil. Korang tidak boleh menggunakan kadar tukaran seperti yang dipaparkan di internet. Biasanya kadar tukaran yang kita perolehi daripada pihak hotel adalah jauh lebih baik berbanding yang ditunjukkan di xe calculator.

Walaupun matawang yang digunakan disebut ‘rial’, kadang-kadang mereka juga ada menggunakan istilah ‘Toman’, dimana 1 Toman = 10 Rial.

5. Tempat Penginapan.

Tidak seperti kebanyakan negara-negara lain, di mana agak mudah untuk kita membuat tempahan tempat penginapan secara atas talian sebelum kita bertolak ke negara tersebut.

Di Iran lain ceritanya. Tempahan tempat penginapan perlu dibuat menerusi email kepada hotel tersebut. Ada juga pengembara yang memilih untuk menginap dengan host melalui couchsurfing.

Dari segi harga pula, harga hotel-hotel di sini agak mahal jika nak dibandingkan dengan keadaan dan fasiliti yang disediakan. Di Shiraz aku menginap di Golshan Traditional House. Harga untuk 1 malam bagi bilik double ialah $35 termasuk sarapan pagi. Kat sini juga ada dormitory style, harganya $10 per malam.

6. Pengangkutan.

Pergerakan menggunakan pengangkutan awam seperti bas agak terhad di sana. Pilihan terbaik adalah menggunakan teksi.

Jika korang sudah membuat tempahan penginapan di sana, biasanya pihak hotel akan menawarkan sekali khidmat pengangkutan dari lapangan terbang ke hotel.

Jika di Shiraz, caj pengangkutan dari Lapangan Terbang Shiraz ke hotel adalah sekitar $10. Untuk berkunjung ke tempat-tempat tarikan utama yang terletak jauh dari pusat bandar pula, adalah disarankan untuk menggunakan khidmat shared tour yang ditawarkan oleh pihak hotel.

panduan-travel-ke-iran-9
Seorang wanita Iran bersembahyang di dalam sebuah lubang di Masjid Vakil.
panduan-travel-ke-iran-10
Seorang wanita Iran sedang berdoa sebelum memasuki tempat suci mereka di Shah Cheragh.

7. Etika Pakaian.

Ini merupakan salah satu ciri unik yang menggambarkan negara Iran. Bagi lelaki, cukuplah sekadar dengan mengelakkan daripada mengenakan seluar pendek apabila berada di luar.

Bagi kaum wanita pula, mereka diwajibkan memakai skarf kepala bagi menutupi rambut mereka apabila berada di luar. Ia memadai dengan hanya mengenakan kain selendang yang menutupi sebahagian daripada rambut mereka, tidak seperti kebanyakan wanita Muslim di negara kita yang mengenakan tudung dengan sempurna bagi menutup aurat mereka.

Daripada perbualan aku dengan seorang pemandu teksi di sini, kebanyakan daripada wanita-wanita di sini tidak menyukai dengan peraturan ini tetapi mereka terpaksa akur dengan peraturan yang telah ditetapkan dibawah pimpinan negara diktator ini.

8. Capaian Internet.

Apabila berada ni negara Iran, korang jangan mimpi nak snap gambar dan terus muat naik ke akaun facebook korang!

Jaringan internet di sini agak terhad dan sangat perlahan. Tambahan pula, beberapa laman media sosial seperti facebook dan twitter juga disekat, tetapi instagram boleh digunakan seperti biasa.

Jadi, jika korang nak akses ke akaun facebook korang, pastikan telefon korang ada aplikasi VPN. Daripada pengalaman aku, walaupun dah ada VPN, aku hanya dapat guna facebook sekali sahaja selama berada di Iran. Segala-galanya sangat perlahan, siput lebih laju kot!

9. Parsi Bukan Arab.

Penduduk di negara Iran bukanlah berbangsa Arab, tetapi berbangsa Parsi. Jadi mereka tidak menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi di sana, sebaliknya menggunakan bahasa Parsi.

Walaupun sistem tulisan yang mereka gunakan tidak jauh berbeza daripada tulisan Arab.

Baca: 8 Tip Untuk Korang Yang Nak Travel Ke Iran

panduan-travel-ke-iran-6
Tidak dapat dinafikan, seni ukiran pada binaan di negara Iran sangat halus dan mengagumkan.
panduan-travel-ke-iran-8
Seni ukiran yg terdpt di Masjid Nasir al-Mulk.
panduan-travel-ke-iran-7
Seni ukiran yang terdapat di Masjid Nasir al-Mulk.

10. Fahaman Syi’ah.

Kita juga mengetahui bahawa majoriti penduduk Iran menganuti fahaman Syi’ah, tetapi jangan jadikan isu ini sebagai penghalang untuk kita terus mengembara ke sana.

Memang tidak dinafikan, di sana kita akan banyak melihat poster-poster yang memaparkan gambar 2 Ayatollah di mana-mana sahaja. Apabila di Iran, cuba elakkan daripada perbualan yang berkisar hal keagamaan.

11. Keselamatan.

Mungkin isu keselamatan masih lagi bermain-main di fikiran kebanyakan orang apabila bercakap tentang negara Iran. Media-media barat juga mungkin banyak menyebarkan propaganda-propaganda palsu berkenaan Iran.

Secara jujurnya, aku boleh katakan Iran merupakan sebuah negara yang begitu selamat untuk dikunjungi. Ketepikan fahaman agama yang dianuti dan perlu diingatkan juga yang Iran bukanlah sebuah negara yang dipenuhi dengan pengganas-pengganas yang akan membunuh orang dengan sewenang-wenangnya.

Bagi pendapat peribadi aku, kekuatan dan tarikan utama negara Iran ini terletak pada seni ukiran dan binaannya serta kebudayaan empayar Parsi.

Orang-orang tempatan di sana juga tidak kurang mesranya terhadap pelawat-pelawat asing yang datang berkunjung ke negara mereka.

panduan-travel-ke-iran-3
Masjid Nasir al-Mulk aka ‘Pink Mosque’

panduan-travel-ke-iran-4

panduan-travel-ke-iran-5

12. Tarikan Utama di Shiraz.

Misi utama aku berkunjung ke Shiraz adalah untuk melihat sendiri keindahan sebuah masjid di sini yang diberi gelaran sebagai ‘pink mosque’, iaitu Masjid Nasir al-Mulk.

Keindahan masjid ini terserlah pada waktu pagi di saat matahari sedang naik. Masa terbaik untuk berkunjung ke masjid ini adalah sekitar jam 8.00 pagi.

Aku cukup kagum dengan keindahan refleksi cahaya matahari yang bewarna-warni yang dapat dilihat jelas dari bahagian dalam masjid ini.

Masjid ini terletak begitu dekat dengan Golshan Traditional House, tempat aku menginap iaitu hanya dengan berjalan kaki lebih kurang 5 minit sahaja.

Aku nasihatkan untuk datang seawal yang mungkin sebelum rombongan pelancong-pelancong terutamanya pelancong dari China tiba.

Faham-faham je lah, kalau mereka ni ada, habis semua penjuru mereka tawan. Jadi susah kita nak bergambar dibuatnya.

Selain daripada Masjid Nasir al-Mulk, korang juga boleh berkunjung ke Masjid Vakil, Shah Cheragh dan Vakil Bazaar. Semua tempat ni boleh dikunjungi dengan hanya berjalan kaki sahaja jika korang menginap di Golshan Traditional House tu.

Kalau ada masa yang lebih lama lagi, korang juga boleh berkunjung ke Persepolis yang terletak 60km di luar bandar Shiraz. Persepolis ni merupakan salah satu tapak warisan dunia UNESCO di sini.

13. Risiko.

Salah satu risiko daripada berkunjung ke negara Iran ialah mungkin kita akan menghadapi kesulitan sekiranya kita ingin memasuki negara Amerika.

Sekiranya tidak lama lagi jika Malaysia sudah dimasukkan dalam senarai negara-negara yang boleh mendapatkan pengecualian visa untuk memasuki Amerika.

Bagi sesiapa yang pernah mengunjungi negara-negara seperti Iran, Iraq, Sudan dan Syria selepas tarikh 1 Mac 2011, mereka tetap perlu membuat permohonan visa seperti biasa.

Tapi korang jangan takut, ini tidak bererti korang dihalang untuk memasuki negara Amerika buat selama-lamanya.

Baca lagi: Itinerari Gaya Bajet Travel 10 Hari Ke 4 Bandar Di Iran