Catatan ini saya nukilkan berdasarkan pengalaman saya sebagai pengembara. 5 tahun sebagai penuntut ilmu di Bumi Mesir.

Juga daripada pengembaraan ke beberapa buah negara seperti Jordan, Syria, Arab Saudi, Turki, UK, Ireland, Perancis, Belanda serta 3 bulan lebih di Kem Pelarian Perancis.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tugas-tugas ini perlulah dilakukan oleh semua jenis bentuk pengembara samada pengembara beg galas (bagpack), pengembara beg petak, pengembara penuntut ilmu, pengembara dakwah dan sebagainya.

Berikut adalah tugas-tugas tersebut:

1. Jangan lupa bahawa kita adalah pengembara

Dari Ibnu Umar radhiallohu ‘anhuma beliau berkata: Rosululloh shollallohu ‘alaihi wa sallam pernah memegang kedua pundakku seraya bersabda,

“Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau musafir.” Ibnu Umar berkata: “Jika engkau berada di sore hari jangan menunggu datangnya pagi dan jika engkau berada pada waktu pagi hari jangan menunggu datangnya sore. Pergunakanlah masa sehatmu sebelum sakit dan masa hidupmu sebelum mati.” (HR. Bukhori)

Menurut hadis ini, seorang pengembara itu mereka tidak bertangguh dalam merebut peluang, tidak membuang masa kerana suatu hari pengembaraan dia tamat.

Jangan lupa yang kita adalah pengembara. Kita bukanlah penduduk tetap. Kita perlu letakkan sebuah matlamat dan berusaha secepat mungkin untuk mendapatkannya.

Memang kita kadangkala ter’gagal’ untuk capai matlamat. Tapi janganlah sengaja untuk gagal.

tugas-pengembara-3

2. Bawa hati sepenuhnya!

Dalam pengembaraan perlulah fokus sepenuh perhatian kerana belum tentu kita akan kembali ke tempat yang sama atau pun akan menjalani momen-momen yang sama.

Bagi yang lalai akan konsep pengembara, maka pengembaraan dia akan tidak pernah memuaskan. Lalu mereka akan pulang ke rumah dalam keadaan yang penuh penyesalan.

Begitu juga dalam kehidupan. Jika tidak memenuhkan kehidupan dengan kebaikan, maka akan menyesal yang teramat sangat apabila telah pulang bertemu Allah.

Ketika saya travel ke Republik of Ireland, kawan saya yang travel bersama baru pertama kali travel keluar dari UK. Dia tanya, “Ok ka kalau boleh bawa laptop kalau sempat boleh tulis assigment.”

Saya tidak benarkan. Saya kata padanya supaya fokus untuk travel dan cari ketenangan. Secara tidak langsung pasti akan Allah ilhamkan idea-idea untuk menulis. Ketika itu tuliskan dalam nota dan balik baru fikirkan semula.

Saya juga sebenarnya ketika itu sedang menulis sebuah buku. Alhamdulillah selepas pulang ke UK, mencurah-curah idea untuk mengarang. Sangat berbeza curahan idea sebelum dan selepas travel ke Ireland.

Takut-takut nikmat travel tak dapat sebab berat bawa laptop, assigment pun tak dapat nak buat. Maka, fokuslah dan bawalah hati sepenuhnya!

3. Khabarkan perkembangan kepada ibu dan ayah

Kalau boleh khabarkanlah sekerap yang mungkin kepada ibu dan ayah tentang perkembangan lokasi dan keadaan kita sepanjang pengembaraan.

Saya pernah lakukan kesilapan tentang perkara ini ketika menuntut ilmu di Mesir. Dari tahun 2010 sehingga tahun 2014 saya tidak pulang ke Malaysia, 3 bulan sekali saya akan telefon ibu saya. Kalau ayah, dalam setahun mungkin 2 kali paling banyak.

Kesannya, apabila pulang ke Malaysia saya perasan bahawa komunikasi antara saya dan ibu ayah saya sedikit hambar.

Saya ditegur oleh senior saya akan perkara ini. Lalu saya ubah kebiasaan saya. Setiap seminggu atau 2 minggu saya akan menefon mereka.

Walaupun mereka nampak seperti biasa, sebenarnya naluri seorang ibu dan ayah pasti sahaja akan merisaukan keadaan kita. Maka khabarkan kepada mereka sekerap yang boleh.

tugas-pengembara-1

4. Buang perasaan bahawa kita adalah yang terbaik

Selepas pulang ke Mesir dari mengembara di sekitar negara-negara Eropah selama 6 bulan 16 hari (Turki, England, Scotland, Perancis, Ireland), perasaan saya terhadap masyarakat Mesir berubah.

Sebelum itu, saya dan hampir kebanyakan rakyat Malaysia di Mesir merasakan bahawa kami berada di status negara yang sangat baik dan kadangnya terasa sangat tinggi diri.

Sekarang, walaupun memang tidak dapat sangkal bahawa Malaysia mempunyai taraf kemajuan yang baik dari sudut ekonomi, pemikiran dan sikap, tapi tidaklah saya melonjak diri dan negara terlalu tinggi.

Kerana saya sudah pernah duduk dan berada di negara yang lebih tinggi tahap kemajuannya dari pelbagai sudut.

Hilangkan perasaan bahawa kita adalah yang paling bagus. Tujuan mengembara adalah untuk belajar sesuatu dari negara yang kita jelajah. Setiap negara dan tempat pasti akan ada keistimewaan dan kelebihan tersendiri.

5. Contohi kebaikan yang dilakukan oleh rakyat tempatan

Ketika saya berjalan di Amsterdam, saya berasa pelik kerana pintu automatik pemeriksaan tiket di stesen kereta api dibiarkan terbuka.

Kira-kira jam 5 petang, orang ramai akan berkejar-kejar menggunakan kereta api.

Dalam kekalutan mengejar kereta api yang terawal, mereka sanggup beli dulu tiket di mesin tiket sedangkan boleh sahaja mereka tuju terus ke keretapi tanpa tiket kerana pintu pemeriksaan tiket tidak tertutup.

Sepanjang beberapa kali saya menggunakan perkhidmatan keretapi di Belanda, tidak sekali pun ada pegawai yang datang untuk memeriksa tiket.

Saya bertanya kepada Abang Azrol tentang perkara ini. Beliau telah duduk di sana selama 4 tahun untuk menyelesaikan pengajian PhD.

Beliau kata, “Kerajaan Belanda sangat mempercayai rakyatnya.”

Perkara-perkara seperti inilah yang perlu kita dapatkan dan jadikan sebagai matlamat sewaktu mengembara. Kemudian kita bawa balik ke negara kita.

Jangan pula kita bawa perangai dan kebiasaan buruk dari negara kita dan buat di Malaysia. Sebagai contoh kita naik keretapi dengan tak beli tiket sebab tahu jarang ada petugas memeriksaan tiket.

tugas-pengembara-4

6. Hormati adat dan kebiasaan setempat

Setiap masyarakat ataupun kelompok pasti akan ada perbezaan dari segi adat ataupun kebiasaan setempat.

Sebagai contoh di Mesir, mereka tidak suka kalau dengar bunyi sendawa malah akan marah kepada orang yang sedawa secara terbuka.

Mereka juga sangat sensitif dan tidak suka jika nampak kita duduk secara bersilang kaki. Kadangkala mereka akan tegur dan minta kita betulkan cara duduk.

Kalaulah sikap tersebut nampak tidak baik pun di mata kita, hendak mengubahnya bukanlah boleh dengan satu hari, sebulan ataupun setahun. Ianya memakan masa beberapa generasi.

Maka sebagai orang perantau yang singgah di tempat tersebut, usahlah terlalu mempersoalkan sehingga sesak dada dengan kebiasaan yang mereka amalkan.

7. Ikut sahaja kata dan arahan penguasa negara

Ketika sampai di bahagian satu-satu negara, pasti sahaja kita semua punyai pengalaman tentang bagaimana menyampahnya bila lihat cara mereka buat kerja.

Kadang-kadang mereka suruh itu dan ini, atau kadang-kadang mereka boleh berhenti buat kerja dan berehat sebentar.

Sebenarnya, apa yang mereka buat itu hanyalah untuk menunjukkan yang mereka itu ada kuasa dan saja-saja nak melihat orang ikut arahan dia atau sebaliknya.

Kalau kita melawan dan menunjukkan respon kurang senang, maka mereka akan tambah lagi arahan supaya kita semakin marah. Tetapi jika kita turutkan sahaja, maka mereka akan mudah sahaja untuk lepaskan.

Namun, kadangkala ada hadnya. Tidak semua perlu diturutkan sahaja. Kalau di Mesir contohnya, mereka suka untuk meminta duit rasuah ataupun di istilahkan sebagai tips. Kalau saya, seboleh-bolehnya saya elakkan dan usaha untuk tidak bagi.

Buat lah apa-apa cara loyar buruk seakan-akan tidak faham apa yang dia minta. Lama-lama, dia lepaskan sebab lama sangat nak minta. Mereka tahu, apa yang mereka minta itu adalah satu kesalahan.

Baca: 3 Perkara Penting Yang Anda Perlu Ada Bila Mahu Jadi Sukarelawan Di Kem Pelarian

tugas-pengembara-5

8. Inspirasikan masyarakat setempat supaya pergi mengembara

Apabila jumpa masyarakat di satu-satu negara, antara topik yang kita mesti ceritakan kepada mereka adalah berkenaan keperluan untuk mengembara.

Seorang anak-kanak Syria yang berumur 12 tahun, Hani yang saya jumpa di Kem Pelarian Calais sangat terkesan dengan apa yang saya dan rakan-rakan buat.

“Apa cita-cita kamu Hani?”

“Yang paling besar, cita-cita aku hendak menolong orang. Jadi sukarelawan seperti kalian. Bertebaran ke seluruh alam menolong manusia yang perlukan bantuan.”

“Kenapa nak jadi sukarelawan?”

“Kerana nak tolong orang seperti kalian menolong kami.”

9. Jadilah duta kecil negara kita Malaysia

Ke negara mana pun kita pergi, kita akan dikenali sebagai rakyat Malaysia atas sebab passport yang kita bawa adalah passport berwarna merah.

Segala tindak tanduk, percakapan akan memberi kesan pandangan masyarakat luar terhadap negara yang kita cintai.

Menceritakan kebaikan, menunjukkan budaya dan tatasusila bangsa ataupun negara menjadi satu kewajipan pada diri kita.

Walaupun belakangan ini beberapa isu yang menyebabkan imej negara kita sedikit tercalar, tidak bermakna kita selaku rakyat Malaysia boleh menambahkan lagi kebusukan yang telah melanda.

Apabila kita mampu menunjukkan kebaikan atau mengutarakan buah pandangan yang baik, maka mereka akan tahu, hanya beberapa individu sahaja yang bersikap tidak baik bukan keseluruhannya.

tugas-pengembara-7

10. Tinggalkan kesan yang baik pada tempat yang dilawati

Bagi saya tugas yang ini sangat berat untuk dilaksanakan kerana ianya perlukan tempoh travel yang lama, barulah dapat dilakukan dengan baik. Melainkan anda adalah seorang tokoh dikenali yang memang orang akan terkesan dengan anda.

Selama 5 tahun lebih saya mengembara di Mesir sebagai penuntut ilmu, akhirnya saya dapat meninggalkan kesan yang baik kepada sekitar masyarakat Malaysia di Mesir.

Ketika awal saya datang ke Mesir, rata-rata mahasiswa Malaysia kurang berusaha untuk lulus dalam peperiksaan di universiti. Jika untuk lulus pun tidak semangat apatah lagi mahu berdaya saing untuk mendapatkan keputusan yang betul-betul cemerlang sehingga boleh beradu dengan mahasiswa dari negara-negara lain.

Lalu saya mengilhamkan untuk mengajak kawan-kawan, kemudian adik-adik generasi baru untuk mengamalkan cara belajar berkumpulan bermula dari awal sesi kuliah.

Alhamdulillah sekarang ini, mahasiswa Malaysia di Mesir semakin bersungguh untuk lulus dalam peperiksaan.

Semoga beberapa tahun generasi akan datang nanti, mereka akan cuba berusaha untuk berlumba-lumba mencapai keputusan yang cemerlang dan ilmu yang betul-betul mapan.

11. Jangan gadaikan prinsip

Point ini saya dapat daripada Pakcik Jamalulail Ismail. Beliau adalah ketua keluarga yang mengembara dari England ke Malaysia melalui jalan darat yang dinamakan ‘By Road To Malaysia’.

Kata beliau, “Perkara yang paling penting sekali untuk orang Islam dalam dunia pengembaraan adalah menjaga prinsip. Terutamanya prinsip Islam.

Itulah yang membezakan kita dengan orang yang bukan Islam ataupun tiada apa-apa pegangan. Mereka boleh gadaikan segala-galanya demi meneruskan perjalanan menuju destinasi.

Namun, perkara ini jugalah yang menyebabkan orang Islam takut untuk mengembara.

Selepas kami sampai di Malaysia dan buat road show, satu soalan yang sering orang Muslim tanya, “Boleh ya mengembara ikut jalan darat macam tu?” Mereka risau tentang solat, makanan, dan pelbagai lagi.

Orang Islam kita sekarang banyak yang takut untuk mengembara sebab rasa susah dengan memikirkan banyak prinsip dan kekangan yang perlu dijaga.

Tapi kita semua mesti ingat, umat Islam generasi awal sangat banyak yang mengembara. Malah, tokoh pengembara awal yang dikenali ramai juga adalah Orang Islam. Iaitu Ibnu Batoota.

tugas-pengembara-6

12. Ceritakan tentang keindahan Islam

Perkara yang juga perlu diambil penting oleh pengembara Muslim adalah menceritakan tentang keindahan Islam.

Apabila berbual dengan orang bukan Islam, anda perlu menerangkan tentang Islam dengan cara logik akal.

Sangat sukar untuk mereka menerima secara langsung jika sesuatu itu adalah wajib, haram, makruh, harus ataupun sunnah.

Ketika saya berkhidmat di Kem Pelarian Calais, Perancis pada bulan Januari dan Februari, ketika itu di dapur tempat saya bekerja ramai sukarelawan dari kalangan orang bukan Islam.

Seorang sukarelawan dari Sepanyol, Ferran tanya saya bagaimana saya boleh bangun pada awal pagi. Dia sentiasa cuba untuk bangun awal pagi tetapi selalunya gagal.

Saya jawab bahawa agama Islam telah mendidik kami dalam disiplin untuk bangun awal pagi. Kerana setiap pagi ada sembahyang yang perlu kami buat. Perkara itu dilatih dari kecil, maka tidak terlalu sukar untuk kami kami lakukan sekarang.

Lalu saya cadangkan kepada beliau untuk wujudkan apa-apa aktiviti wajib yang perlu dilakukan setiap pagi supaya jadi motivasi untuk bangun awal.

Cerita yang sama saya sampaikan kepada seorang wartawan dan sukarelawan dari Sepanyol, Nuria. Sehingga terlontar dari mulutnya,

“Saya rasa, agama yang paling praktikal dan sangat kena dengan logik akal adalah Agama Islam.”

13. Tunjukkan kebaikan dan nilai-nilai Islam

Bila saya jadi sukarelawan di Kem Pelarian Calais dan bekerja bersama orang bukan Islam, saya dilihat sebagai antara sukarelawan yang sangat rajin.

Kerana saya mula kerja 2 jam lebih awal daripada mereka. Dan diikuti dengan beberapa lagi kebaikan yang lain seperti mesra dan menghormati mereka.

Apabila kita sudah menunjukkan contoh yang baik, maka orang lain atau lebih tepat, orang bukan Islam akan teruja untuk berbual dengan kita. Malah topik perbualan akan melibat hal-hal berkenaan agama.

Kerana mereka tahu peribadi seseorang adalah kesan daripada agama anutan ataupun pegangan seseorang dalam kehidupan.

Sebagai contoh, seorang sukarelawan daripada Denmark bertanya pada saya,

“Kenapa kamu berpuasa (isnin dan khamis)? Tidakkah ianya menyusahkan kamu kerana setiap hari kamu buat kerja-kerja yang berat?”

Jawab saya,

“Ya, kadang-kadang sedikit meletihkan. Tetapi dengan berpuasa, saya akan berasa lapar. Dengan rasa lapar tadi, saya akan memahami bagaimana perasaan para pelarian di luar sana jika seharian tidak dapat makan. Ini sebagai motivasi untuk saya sentiasa bersemangat setiap hari untuk bekerja.”

Sambung saya lagi kepada beliau,

“Duduk di dapur ini banyak makan. Jadi sangat perlu berpuasa untuk bagi rehat pada perut. Dan saya rasa lebih sihat jika amalkan puasa. Tambahan pula, agama Islam menganjurkan umatnya untuk berpuasa 2 kali dalam seminggu iaitu isnin dan khamis. Saya ingin menjadi penganut Islam yang bagus, maka saya cuba ikut segala saranan agama saya.”

Baca lagi Pengalaman Saya Sewaktu Menjadi sukarelawan di Kem Pelarian Calais, Perancis