Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

“If a million people see my movie, I hope they see a million different movies.” – Quentin Tarantino.

Signifikan filem sebagai medium perantara bagi penyampaian maklumat, kehendak, mesej, ideologi, nilai dan emosi di antara sang penghantar dan penerima melambangkan suatu sistem komunikasi berpengaruh buat penonton filem.

HYPE
Mudah Dan Memuaskan, REV Ad Manager Buka Peluang Bantu Promosi Perniagaan Tempatan
Baca lagi →

Komentar normal seperti contoh; “filem ni pasal apa”, “aku suka filem ni”, “acting dia power”, “gambar dia best” adalah manifestasi impak decoding di dalam proses komunikasi unik yang menghubungkan penonton dan perjalanan filem yang ditontonnya.

Teori Reception telah menyatakan akan hubungkait di antara analisa audiens terhadap model komunikasi yang digunakan. Intepretasi dan tahap pemahaman penonton kepada setiap inci visual, lakonan, naratif, teks, metafora, simbol, jalan cerita, lakonlayar, pengarahan, dialog, sinematografi, bunyi dan lain-lain adalah berbeza-beza bergantung kepada faktor latar belakang, psikologi, ideologi, demografik, psikografik, kesihatan, pendidikan, kesedaran, emosi dan lain-lain yang mempengaruhi proses komunikasi dan penontonan.

Justeru, teori-teori filem seperti Apparatus theory, Auteur theory, Feminist film theory, Formalist film theory, Genre studies, Philosophy of language film analysis, Psychoanalytic film theory, Screen theory ataupun Structuralist film theory juga secara rumusanya menggambarkan bagaimana struktur filem, ideologi pembikin, kesan dan impak penontonan yang wujud di dalam komunikasi unik dua hala ini.

Jika kita hubungkan dengan model, teknik, aspirasi, gaya dan struktur sesebuah filem, “Surrealist Cinema” membawa premis “Surrealisme” yang didefinisikan oleh Kamus Dewan Bahasa sebagai aliran atau gerakan dalam bidang seni dan sastera (dalam 1920-an) yang mementingkan atau memberi tempat kepada unsur-unsur bawah sedar manusia (di luar kenyataan atau realiti).

Taste of Cinema (2015) menjelaskan akan konsep filem surreal yang dijenamakan oleh pembikin filem pada tahun 20an seperti Luis Bunuel dan Salvador Dali di dalam filem mereka dengan karakter-katakter tertentu;

“Surrealist cinema is characterised by juxtapositions, psychic disturbance, dream symbolisms and a frequent use of shocking imagery. Surrealist films often follow the inexplicable logic of dreams, challenging conventional reasoning and narrative.”

Justeru, konsep filem surreal adalah sesuatu yang sangat unik untuk dikaji di dalam sejarah industri filem Malaysia kerana ia berada di ruang dimensi “abstrak”, “pelik”, “fantasi”, “tidak normal”, “separa sedar”, “eksperimental”, “kurang logik akal” yang melangkaui kenormalan dan kebiasaan dari segi aestetik, naratif, motif, visual, artistik, subteks, simbol, metafora dan lain-lain lagi.

Spektrum surrealisme yang boleh ditonton menerusi karya pembikin antarabangsa yang berpengaruh seperti contoh Luis Bunuele, David Lynch, Guillermo del Toro, Tim Burton, Wes Anderson, Alejandro G. Inarritu, ataupun Christopher Nolan juga mungkin boleh dilihat menerusi beberapa filem-filem tempatan secara sedar atau tidak.

Filem-filem surreal di luar kebanyakannya tiada hukum dan undang-undang, abstrak, tiada definisi aestetik yang tepat, tiada penilaian tentang moral kerana ia ibarat satu ekpresi seni yang menjadikan perjalanan mimpi yang bebas sebagai satu realiti.

Di sini, elemen Juxtaposition sering digunakan oleh surrealist dengan peletakan dua objek berbeza sifat namun berdampingan dalam konteks yang sama sebagai pelambangan dua entiti dengan “nilai” yang berbeza.

Physic disturbance pula merujuk kepada representasi mental dan perlakuan yang mudah terganggu; manakala Shocking Imagery boleh ditafsirkan sebagai representasi visual yang melangkaui norma dan prinsip.

Memandangkan karakter-karakter filem surreal seperti yang dipopularkan pawagam dunia yang agak bertentangan dengan prinsip, nilai dan budaya filem yang diterbitkan di negara kita, ia boleh diterjemahkan melalui konteks tempatan secara tersirat dan tersirat.

a) Filem-filem ini dibikin dengan tema, gaya, visual, naratif segar, unik, pelik dan kreatif oleh pembikin filem “auteur” yang menggunakan filem sebagai medium ekspresif suara dan penyampaian tentang sesuatu perkara/subjek/isu melalui komunikasi visual yang tidak konvensional.

b) Filem-filem ini secara abstrak menterjemah (encoding) pertembungan dua nilai yang berbeza yang diletakkan di posisi sama (juxtapositions) melalui penyampaian komunikasi visualnya yang harus diperhalusi oleh penonton (decoding) dengan intrepretasi yang sewajarnya. Ia mungkin dari perletakan objek, warna, subjek, simbol, teks ataupun boleh juga daripada aspek personaliti, psikologi, kognitif dan emosi karakter-karakter di dalam filem.

c) Filem-filem secara abstrak atau jelas menghubungkan dua dimensi seperti logik dan tidak logik, hitam dan putih, baik dan buruk, hidup dan mati, ya dan tidak, mimpi dan realiti dan sedar dan bawah sedar ataupun dunia dan akhirat yang diterjemahkan melalui komunikasi visualnya.

d) Filem-filem ini juga melahirkan dream symbolism; kebebasan memberi sebarang makna dan interpretasi serta luas pengertianya. Di bawah hukum “subconciousness”, manusia mampu melakukan apa sahaja yang disifatkan sebagai realiti pada dimensi pemikiran dan sistem sekelilingnya.

Surrealisme mungkin sahaja dinilai daripada perspektif filem itu sebagai seni kreatif ataupun bagaimana penonton mencari dan membina sendiri persepsi mereka tentang elemen-elemen surrealisme di dalam filem-filem tersebut. Mungkin filem itu surreal secara prinsip atau falsafahnya ataupun menggunakan konsep surrealisme ketika ia diperlukan.

Penulis sekadar memberi contoh filem-filem berikut pada pandangan peribadi berteraskan pemerhatian peribadi dan mungkin berbeza persepsinya pada orang lain. Filem-filem sains fiksyen, spiritual, eksperimental, supernatural, avant garde mungkin boleh dinilai tahap surrealisnya.

1. Sumpah Orang Minyak (1958)

Filem arahan dan lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ini berkisarkan kisah Si Bongkok yang hodoh dan tersisih dan dibenci di kampung Tualang Tiga sehinggalah dibawa ke alam bunian, menjadi kacak dan memungkiri janji untuk tidak membunuh. Apabila melanggar sumpah, Bongkok membuat perjanjian dengan syaitan menjadi orang minyak dan memperkosa 21 gadis dalam masa 7 hari dan mengaku syaitan adalah tuhan.

Bergenre seram fantasi, konsep surrealism di dalam filem ini digarap melalui pertembungan fantasi dan realiti menerusi komunikasi unik Manusia-Bunian dan Manusia-Syaitan yang melawan norma dan logik perhubungan manusia. Dua tempoh masa serentak di ruang komunikasi realiti ketika Bongkok kembali ke kampungya dan di alam bunian dimanifestasikan cemerlang melalui kod visual penataan seni, kesan khas dan sinematografi.

Biarpun teknik sinematografinya hitam putih, P.Ramlee bijak menggunakan unsur surrealisme melalui perlambangan kacak sebagai ketamakan dan buruk sebagai merendah diri yang diletakkan serentak di dalam identiti Si Bongkok. Dimensi syurga dan neraka yang menghantui Bongkok yang dipuja kekacakan dan akhirnya diburu sebagai orang minyak menterjemah subteks filem ini tentang ekploitasi bakat manusia yang tidak terbela.

2. Mat Magic (1971)

Seniman hebat dan genius, Mat Sentol boleh dikatakan di antara pelopor konsep surreal di dalam sejarah filem tempatan yang melawan norma konvensional pembikinan filem; Mat Magic arahan beliau juga mewakili konsep absurd surreal humor dan juxtaposition yang bertentangan.

Penggunaan kesan khas unik di dalam filem mengenai dunia magis yang jauh dari realiti dan menterjemahkan kod-kod semiotik yang pelik dan tidak logik. Dari satu aspek, Mat Magic yang tidak mempunyai bakat tetapi dipercaya manusia menonjolkan dimensi mimpi vs realiti yang menjadi sebahagian daripada sistem sosio budaya manusia.

Subtext filem ini seakan mempersoalkan orang-orang bijak pandai yang berilmu yang terpedaya dengan illusi ciptaan manusia yang kurang sempurna daripada mereka. Mat Magic berdiri di atas dua landasan surrealisme kemodenan dan kemunduran yang divisualkan melalui ruang imaginasi Mat Sentol.

3. Laksamana Do Re Mi (1972)

Filem terakhir lakonan dan arahan Allayarham Tan Sri. P. Ramlee, Laksamana Do Re Mi ini dianggap sangat surreal kerana konsep fantasi-komedi mengenai tiga orang yang dikurniakan tikar terbang, teropong sakti dan harmonika setelah menyelamatkan Puteri Buluh Betong dari negara Pasir Dua Butir.

Meneroka dimensi kesaktian menerusi peralatan ajaib seperti contoh terbang dengan tikar adalah simbiosis antara pengucapan “Zam Zam Ala Kazam” dan visual (tikar terbang) untuk menggambarkan dunia fantasi dan realiti yang dipisahkan oleh logik dan rasional akal penonton. Juxtaposition di antara naratif yang sangat absurd sangat mendahului zaman kerana apabila ditonton, impak komedi satira bagi filem ini sangat menghiburkan di dalam pemahaman subteks sosio-politik dan budaya yang begitu signifikan.

Physic disturbance dapat digambarkan secara simbolik melalui negara Pasir Berdengung yang ibarat tergadai menunggu untuk diselamatkan manakala P.Ramlee sekali lagi menguji minda penonton melalui pertembungan dimensi penipuan dan kepercayaan yang diangkat serentak apabila tikar terbang berjaya terbang (shocking imagery) ibarat luahan pembikinnya tentang harapan dan impian yang masih tinggi namun tidak kesampaian.

4. Anita Dunia Ajaib (1981)

Filem drama sains fiksyen lakonan Hail Amir dan Aznah Hamid ini yang berkisarkan kehidupan pasangan suami isteri yang membuat perjanjian dengan makhluk di sebuah gua dan tragedi berlaku apabila perjanjian tersebut diabaikan. Meneroka gaya eksperimental yang sangat absurd ketika itu dengan cubaan menonjolkan elemen sains fiksyen yang bukan konvensional telah membina elemen surrealisme di pertengahan dan penghujung plot.

Komunikasi di antara manusia dan makhluk asing divisualkan dengan imej, simbol dan objek yang seadanya. Secara simboliknya, anak yang menjadi perjanjian di antara manusia dan makhluk asing ini mengangkat nilai kesucian dan kepercayaan di sebalik kelemahan. Filem ini juga menggunakan komunikasi virtual di antara dua entiti di dunia berbeza.

5. Fantasi (1993)

Cubaan berani Aziz M. Osman menvisualkan cerita dan skrip Allahyarham Zain Mahmood dari spektrum drama sains fiksyen ini yang pertama seumpamanya ketika itu. Dihubungkan dengan watak pengamal ilmu hitam, Silbi yang berusia ratusan tahun dari zaman purba sehinggalah yang moden.

Kepelikan ini disifatkan sangat surreal kerana komunikasi bawah sedar antara manusia, roh dan iblis tercetus apabila Dara yang dinodai Silbi di zaman silam memasuki tubuh Nora di zaman moden bagi membalas dendam. Mis en scene filem ini sangat signifikan dengan perlambangan, konteks, semiotik dan semantik di antara dua zaman dan dimensi yang tidak dapat dizahirkan oleh logik akal.

Cabaran Aziz menghasilkan filem spiritual seperti ini dapat banyak menggunakan konsep surrealisme khususnya perlambangan dua dimensi juxtapositions melalui syurga dan neraka serta kesucian dan kekotoran ketika karakter Silbi dan Dara berkomunikasi melalui tubuh Nora.

Selain itu, konsep kuasa dan kekuatan Silbi sebagai pendamping Syaitan divisualkan secara halus oleh Aziz melalui simbolik warna hitam yang juga ekpresi kepada physic disturbance yang menggangu, melalaikan dan menggoda manusia sepanjang masa. Fantasi lahir ketika isu tahyul hangat diperkatakan, surrealisme adalah teknik efektif bagi filem ini berkomunikasi dengan penonton untuk mencari maksud yang ingin disampaikan.

6. Senario XX (2005)

Filem arahan Aziz M. Osman berkonsep sci-fi komedi lakonan kumpulan Senario ini berkisarkan tentang Zoragon dari planet Zuhal yang terdampar di bumi akibat serangan Zuragas dan seterusnya menyaksikan dia membina identiti manusia di sebuah kampung.

Sememangnya, sebagai seorang auteur, Aziz berjaya mencipta nadi surrealisme bagi filem spoof inspirasi XX Ray dan jenama filem Senario sendiri sebelum ini seperti Senario The Movie, Senario Lagi dan Lagi-Lagi Senario yang pecah panggung. Senario XX adalah bersifat surreal dengan intrepretasi kod-kod komunikasi bahasa, visual dan perlakuan bagi makhluk asing yang sangat non-sequitur yang dicipta khas mewakili sistem komunikasi makluk asing oleh Aziz.

Keunikan ini mempertembungkan kepercayaan fallacy di antara realiti (manusia) dan fantasi (makhluk asing) yang memiliki latarbelakang dan ideologi berbeza. Filem ini sangat surreal bukan sahaja dari aspek kosmetiknya tetapi menterjemahkan falsafah kehidupan melalui pertembungan dua dimensi, kebenaran (manusia) dan kepalsuan (makhluk asing) di dalam tubuh Zoragon yang mengenali cinta di bumi.

Selain itu, physic disturbance melalui simbolik penjajahan makhluk asing ke bumi menggambarkan sebuah proses kehidupan yang dipengaruhi cabaran memajukan diri di dalam sesebuah sistem. Ironinya, ruang imaginasi makhluk asing dan manusia ini membentuk komunikasi unik di alam realiti. Aziz M.Osman membina persoalan tentang ethnocentric di antara dua budaya asing melalui komedi alternatif dan surreal tetapi melambangkan konteks sosio politik dan budaya masyarakat.

7. Man Laksa (2006)

Bayangkan pesta kebudayaan (Malam Aneka Ragam) di sebuah kampung di dalam satu malam dengan masalah, konflik, tragedi dan isu bertimpa-timpa yang cuba diselesaikan oleh sang bidan terjun, Man Laksa. Bayangkan juga bagaimana Dato’ M. Daud Kilau ibarat dewa turun dari langit dan menghukum Saadon Dengki sambil menyanyikan lagu Cek Mek Molek?

Inilah luar biasanya Mamat Khalid yang mengemudi Man Laksa menjadi sebuah filem yang surreal melalui spektrum non-linear naratif, absurd dan melangkaui logik manusia. Mise-en-scene di dalam Man Laksa juga menuntut Mamat dan pasukan menjadi kreatif selain penggunaan metafora visual dan simbol yang perlu diinterpretasikan secara mendalam oleh penonton. Melalui konteks sosio politik dan budaya kampung, Mamat Khalid menjadikan Man Laksa sebuah karya surreal yang penuh sindiran dan kiasan.

Sebagai naskhah komedi surreal, filem ini menawarkan variasi juxtapositions melalui peletakan karakter-karakter berbeza pada masa yang sama, seperti contoh watak Saadon Dengki saja secara simbolik baik (Saadon) dan buruk (Dengki) di dalam personaliti manusia yang kemudiannya disumpah menjadi kambing (shocking imagery). Di sini kambing bolehlah diterjemahkan sebagai physic disturbance kepada kehidupan masyarakat yang terbunuh oleh sifat-sifat negatif biarpun sesama bangsa dan agama.

Bagaimana Dato’ M. Daud Kilau meneroka imaginasi manusia marhaein dan turun sebagai realiti. Illustrasi surealisme oleh Mamat Khalid dari sisi juxtapositions mengenai masyarakat dan seni yang saling bertentangan secara simboliknya menjawab persepsi tentang seni hiburan melalaikan dan menyesatkan.

8. Kala Malam Bulan Mengambang (2008)

Jika Man Laksa melalui komedi surreal, Kala Malam Bulan Mengambang yang memenangi anugerah Filem dan Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia 21 pula bergerak naratifnya sebagai filem neo noir-konsep yang memerlukan kefahaman tinggi buat penonton Malaysia.

Filem hitam putih mengenai Salleh, seorang wartawan yang berhadapan pelbagai insiden ketika menyiasat kejadian misteri yang berlaku di pecan Senduduk Rimbu. Mamat Khalid sebagai seorang auteur menggunakan konteks sosio budaya tempatan melalui perlambangan karakter, masa dan tempat selain elemen semiotik dan semantik yang pelbagai yang harus diterjemahkan melalui pemahaman dan penelitian tinggi penonton.

Filem ini agak surreal dari semua aspek, konsep noir hitam putih ini sahaja representasi statement “kisah ini hanyalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengenai dengan hidup ataupun mati”. Pembinaan kognitif dan persepsi penonton dibangunkan dengan konsep noir bagi merujuk kepada dunia imaginasi dalam realiti sebenar kehidupan manusia.

Hitam (realiti) dan putih (fantasi) adalah contoh pertembungan nilai yang diletakkan setempat yang turut menjadi teras pembangunan karakter-karakter di dalam filem ini yang mempunyai personaliti dua wajah, hitam (buruk) dan putih (baik) yang mempunyai agenda, misi dan motif masing-masing.

9. Magika (2010)

Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 arahan Edry Abdul Halim ini mengisahkan tentang dua adik-beradik yang menemui sebuah alam fantasi yang berasaskan pelbagai kisah dongeng, mitos dan legenda Melayu ternama seperti Badang, Bawang Putih, Mahsuri, Orang Minyak, Pak Pandir dan lain-lain.

Surrealism di dalam filem berasaskan mitos seperti Magika ini turut meneroka pembangunan kognitif penonton bagi membezakan dimensi realiti dan fantasi yang lebih bersifat bizarre. Penggunaan kesan visual khas bagi menggambarkan dunia fantasi di dalam Magika yang berilusi dan berwarna warni. Mis en scene bagi filem bergenre sebegini juga adalah terjemahan komunikasi visual yang sangat penting.

Menariknya, bagi filem-filem seperti ini menggunakan juxtapositions yang dominan dengan kesan visual khas yang wujud, surrealismenya lebih terletak pada pembangunan emosi di antara dua dunia berbeza mewakili dimensi, kebenaran atau kepalsuan. Di dalam Magika, affective transmission secara surreal mengerakkan imaginasi karakter untuk membina emotional response bagi perlakuan yang akan berlaku seterusnya.

10. Misteri Jalan Lama (2011)

Afdlin Shauki adalah di antara pembikin yang berani mengambil risiko meneroka subjek berbeza termasuk filem Misteri Jalan Lama lakonan Que Haidar (Ilya) dan Dato’ Hans Isaac (Indra); sepasang adik beradik yang memiliki perwatakan berbeza.

Perjalanan misteri mereka melalui sebuah jalan lama menghubungkan kembali sejarah Ilya sebagai Putera Dewata untuk kerajaan bunian yang perlu kembali bagi mempertahankan dari puak Ghoul yang diketuai Harak.

Mis-en-scene filem ini yang bergenre seram fantasi berjaya dieksplorasi oleh Afdlin bagi menghubungkan penonton dengan kod kod visual, semantik dan semiotik yang membina identiti dua dunia; realiti dan fantasi.

11. Bunohan (2012)

Merangkul anugerah Filem dan Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 25, Bunohan karya Dain Iskandar Said juga meneroka konsep surrealisme melalui komunikasi visual yang wujud; metafora alam, warna, imej, ilusi dan simbol yang ditonjolkan dari perspektif Pok Eng, Ilham, Adil, dan Bakar mencari makna kehidupan adalah sangat mencabar dan mengujakan.

Lihat sahaja terjemahan watak Pok Eng dan hubung kaitnya dengan budak dan buaya jadian yang menjadi tanda tanya di dalam filem ini. Hubungan simbiotik alam dan manusia juga divisualkan dengan penuh emosi melalui pemilihan mood dan warna yang cukup menakjubkan. Semangat pengarahan dan visi Dain Said juga seakan dimetaforakan dan dihubungkan dengan elemen-elemen surrealisme di dalam filem hebat ini.

Filem ini bergerak surreal dari aspek komunikasi visual (mis en scene) dan interpersonal (watak). Visualnya adalah tanda terbesar physic disturbance menggambarkan Bunohan penuh dengan persoalan konflik, kelemahan jiwa, ketaksuban kuasa dan kemunafikan manusia yang divisualkan di sebalik kecantikan aestetik budaya dan tanahairnya.

Shocking imagery dibangunkan secara halus oleh Dain melalui watak-watak seperti Adil, Ilham, Bakar dan Pok Eng, mereka mewakili nilai juxtapositions konflik personal diri yang sangat membara di sebalik sifat maskulin sebagai anak Bunohan. Pembunuhan demi pembunuhan yang dilakukan Ilham adalah contoh mental collapse di dalam sistem kehidupan yang memburu kecantikan duniawi semata-mata.

12. Nota (2015)

Filem Nota arahan Yasu Tanaka yang ditulis oleh Bea Tanaka lakonan Maya Karin, Dato’ Hans Isaac dan Allahyarham Ramli Hassan adalah filem moden yang menterjemahkan unsur surreal di dalam pembangunan plot dan karakter.

Watak Erin lakonan Maya Karin menggunakan minda separa sedar dan berhubung dengan objek dan simbol di dalam merungkai motif, kehendak dan halatuju beliau di dalam perhubungan yang sangat kompleks secara dalaman. Imaginasi minda yang mengawal jiwa dan perlakuannya cuba dibangunkan sebagai realiti. Justeru, bagi dirinya, “aku hanya ada aku untuk selesaikan masalah aku”; representasi “Nocebo Effect” menjuruskan beliau untuk menjadi negatif di dalam kawalan mentalnya.

Naratif filem ini juga menjerit-jerit seperti mana Erin disimbolkan sangat surrealist dari awal hingga akhir. Psikologi personaliti yang menjurus kepada pembangunan mental dan emosi manusia diterjemahkan secara visual bagi menunjukkan kecantikan luaran yang palsu (physic disturbance) Erin yang tidak mampu dikawal akalnya. Juxtapositions “jiwa vs akal” disimbolikkan Bea Tanaka secara abstrak dan halus yang menggambarkan suatu krisis kepercayaan diri dan self esteem yang ditanggung manusia hari ini.

13. Aliff Dalam 7 Dimensi (2016)

Filem arahan Faisal Ishak lakonan Izzue Islam, Aliff Satar dan Juliana Evans ini meneroka kelebihan seorang pelajar yang mampu berhubung dan berkomunikasi dengan entiti paranormal. Surrealisme di dalam filem ini secara jelas melalui objek, visual dan simbol ketika Aliff berhadapan secara interpersonal dengan entiti-entiti halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar orang lain.

Konsep surrealisme; berimaginasi dan berekspresif tanpa logik penjelasan ini membangunkan watak Aliff sendiri sebagai seorang surreal. Beliau yang ditemani pendamping sejak kecil menggunakan komunikasi interpersonal yang terhad apabila berinteraksi di lingkaran sistem sosialnya.

Dari konteks personaliti, Aliff sendiri berhadapan dua dimensi mencabar; hitam vs putih, baik vs buruk dan nafsu vs iman (juxtapositions) yang membentuk cara komunikasinya dengan rakan-rakannya. Babak Aliff berkomunikasi dengan makhluk saka yang mendampinginya adalah “shocking imagery” letusan emosi mutlak akan kebebasan hakiki yang diperlukan seseorang insan di mana secara abstraknya, Aliff menggunakan komunikasi spiritual di dalam spektrum intuisi yang tidak difahami insan biasa.

Konsep supernatural yang divisualkan dengan kesan khas ini membantu penonton untuk membina emphaty kepada kesakitan emosi dan fizikal yang ditanggung Alif sejak kecil. Dari konteks Islam, Firasah (intuisi) yang melangkaui logik dan rasional dapat dirungkai untuk mentafsir karakter Alif yang ditemani saka dari kecil.

14. Interchange (2016)

Sebuah lagi filem arahan Dain Said berkonsep thriller noir lakonan oleh Iedil Putra, Shaheizy Sam, Nicholas Saputra, Prisia Nasution dan Nadiya Nisaa ini berkisar mengenai jurufoto forensik, Adam dan Detektif Man yang menyiasat siri pembunuhan ngeri yang menemukan mereka dengan Iva, Sani dan Belian yang hadir dari semangat suku kaum masa lampau yang terperangkap dan perlu dibebaskan.

Filem yang berorientasikan surrealisme ini melalui spektrum imaginasi, intuisi dan komunikasi antara dua dunia; realiti dan supernatural telah diterjemahkan dengan kod-kod visual dan semiotik yang menggambarkan imej tidak logik dan juxtaposition filem ini dari spektrum realiti.

Interchange bersifat bizarre dan kompleks namun mudah difahami jika penonton dapat membaca kod-kod di dalam pembangunan naratif dan visualnya yang menghubungkan masa sekarang dan lampau. Jika dikaji, Dain meneroka teknik non-narrative bagi konsep supernatural noir seperti Interchange dan membina surrealisme melalui dimensi imaginasi vs realiti, hakiki vs nyata dan hidup vs mati.

Pembunuhan demi pembunuhan ritual (shocking imagery) yang dibenarkan di dalam dunia “fantasi” ini boleh menjadi metafora kepada definisi keamanan dan kedamaian. Belian yang akhirnya dibebaskan sebagai burung yang terbang tinggi ini juga mampu meneroka konsep “kebebasan” mental dan jiwa yang membelenggu manusia masa ini.

15. Desolasi (2016)

Filem arahan Syafiq Yusof lakonan Syamsul Yusof, Bella Daly dan Dato’ Jalaludin Hassan ini meneroka dimensi Aiman, seorang pelukis yang menghidap penyakit “Anton Babinski” dan menghadapi pelbagai cabaran konflik interpersonal dan keluarga. Suatu ketika, beliau mendapati dirinya keseorangan sehingga kebenaran tentang penyakitnya dan merubah pandangan kepada kehidupan secara total.

Di awal plot, elemen surrealisme di dalam “Desolasi” dapat dinilai dari fasa pembangunan imaginasi Aiman sendiri yang hidup keseorangan dan berkomunikasi dengan objek dan subjek di sekelilingnya yang diintepretasikan penonton sebagai pelik dan tidak logik. Di akhir cerita, penonton dihubungkan dengan komunikasi spiritual di dalam konteks agama di mana Aiman mencari makna di sebalik ujian yang diturunkan Tuhan kepadanya.

Pertamanya, Aiman ibarat ekspresi yang meluap luap tanpa nokhtah yang menggambarkan beliau sebagai surrealist; hidup dengan definisi kehidupan sendiri dengan logik akal yang dicarinya sendiri. Juxtapositions yang dapat dilihat dari dimensi hitam dan putih, syurga dan neraka, nyata dan hakiki, maskulin dan feminin serta manusia dan Tuhan ini samada secara emosi, perlakuan dan pemikiran membangunkan konsep surrealisme di dalam Desolasi.

Persoalan demi persoalan, imaginasi demi imaginasi, grafik demi grafik, simbol demi simbol, objek demi objek secara surreal membawa penonton ke satu dunia khayalan yang dicipta Aiman yang mencari realiti yang sebenarnya. Tiada hukum yang menghalang minda bawah sedar manusia bagi membina dan mencari maksud yang diingini.

Keduanya, manifestasi sains dari perspektif manusia dan agama ditonjolkan secara surreal yang menggambarkan perhubungan manusia dan Tuhan di dalam sebuah kehidupan. Juxtapositions di antara “otak” dan “akal” memberi persepsi baru kepada Aiman tentang konsep penyerahan kepada Yang Maha Esa.

Syafiq menterjemah dimensi shocking imagery melalui perspektif agama yang menjawab kepada physic disturbance dari spektrum child and developmental psychology yang memberi kesan kepada pembangunan mental dan spiritual Aiman.

Secara rumusanya, surrealisme di dalam filem tempatan boleh dikaji dari aspek pembikin dan penonton. Melalui persepsi penonton, filem boleh menjadi surreal atau sebaliknya biarpun secara dasarnya bersifat bizarre dan unik. Kemampuan penonton menterjemah kod-kod komunikasi yang divisualkan akan membina satu proses analisa kognitif dan pendefinisian makna yang sewajarnya kerana pengembaraan menonton filem-filem surreal ataupun yang menonjolkan surealisme begitu mengujakan.

“Cinema should make you forget you are sitting in a theater” – Roman Polanski.

Nota: Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Korporat FINAS dan ini merupakan pandangan kecil penulis dan tidak mewakili pandangan organisasi.

Artikel di atas disumbangkan oleh Ahmad Syazli Muhd Khiar. Boleh ikuti beliau di sini.