Perang yang berlarutan di antara Rusia dan Ukraine telah menyebabkan banyak pihak terkesan, tanpa kira individu mahupun organisasi perniagaan tempatan serta antarabangsa.

Terbaharu, syarikat perabut terkenal Sweden, IKEA telah menutup operasi di Rusia dan Belarus buat sementara waktu demi keselamatan pekerjanya dan ahli keluarga mereka di kedua-dua negara terbabit.

Dalam kenyataan rasmi IKEA, peperangan yang berlaku telah mengakibatkan gangguan serius kepada rantaian bekalan dan keadaan operasi perdagangan syarikat tersebut.

Sumber Gambar: IKEA

Justeru itu, IKEA telah membuat keputusan untuk menghentikan sementara semua aktiviti eksport dan import masuk dan keluar dari Rusia serta Belarus.

Penangguhan ini turut melibatkan semua operasi pengeluaran dan penghantaran daripada semua sub-pembekal kepada unit Industri IKEA di Rusia. Syarikat Sweden itu juga turut mengambil keputusan untuk menghentikan sementara semua operasi runcit IKEA di negara terbabit.

Bagaimanapun, pusat beli-belah Mega, rangkaian pasar raya dibawah kendalian ‘IKEA Centres Russia’ akan terus dibuka untuk memastikan orang ramai mempunyai akses kepada keperluan harian seperti makanan, barangan runcit dan farmasi.

Keputusan yang dibuat itu telah memberikan impak secara terus kepada 15,000 pekerja IKEA. Namun, ia adalah kebaikkan untuk jangka masa panjang bagi memastikan peluang pekerjaan dan kestabilan pendapatan untuk masa depan serta memberikan sokongan kepada mereka dan keluarga masing-masing di negara terbabit.

Bagi membantu pihak-pihak yang terjejas, IKEA Foundation, yang dibiayai oleh Ingka Foundation, mengumumkan sumbangan segera sebanyak €20 juta (RM91.3 juta) sebagai bantuan kemanusiaan kepada mereka yang telah dipindahkan secara paksa akibat konflik di Ukraine.

Sumbangan itu adalah respon kepada rayuan kecemasan daripada UNHCR, Agensi Pelarian PBB, untuk meningkatkan bantuan dan perlindungannya kepada pihak-pihak yang terjejas ekoran perang yang berlarutan.

Sumber Gambar: IKEA Rusia

Laman web rasmi IKEA Rusia menyatakan IKEA terpaksa menangguhkan operasi di kedai, kedai dalam talian dan IKEA Studios untuk negara terbabit mulai 4 Mac 2022.

Semua pelanggan yang membuat pesanan dan menyelesaikan bayaran sebelum 3 Mac akan diproses serta-merta. Manakala tarikh luput kad hadiah, kad pemulangan serta baucar diskaun IKEA telah dilanjutkan selama 6 bulan.

Baca lagi artikel-artikel lain mengenai Perang Rusia-Ukraine melalui pautan di bawah.

Rusia vs Ukraine: Apa Akan Berlaku Jika Vladimir Putin Berjaya Tawan Kota Kyiv?

Perang Rusia Dan Ukraine, Apa Sebenarnya Yang Dimahukan Vladimir Putin?

Sumber