Saya ingin berkongsi tips dan persediaan bagaimana agar percutian ‘Road Trip’ dengan anak-anak kecil dapat berjalan lancar. Maklumat yang bakal saya kongsikan adalah 100% berdasarkan pengalaman sendiri bersama anak-anak kami.

Saya berharap ia boleh dijadikan rujukan terutama untuk anda yang ingin lakukan ‘road trip’ berjarak jauh dengan pemanduan melebihi 3 jam. Mungkin ada antara apa yang bakal saya kongsikan ini sesuai, mungkin ada yang tidak kerana faktor lain yang turut mempengaruhi adalah keadaan dan situasi semasa keluarga serta anak-anak anda.

Panduan ini juga sesuai untuk mereka yang bakal merancang berjalan dengan anak-anak kecil terutama untuk yang berusia di bawah 3 tahun. Untuk pengetahuan saya kini menetap di Sydney, Australia di mana peraturan menggunakan car seat di negara ini adalah ketat.

Biasanya perkara utama yang saya titik beratkan sewaktu di dalam kenderaan adalah keselesaan anak-anak. Bila mereka selesa, saya cuma perlu berikan sedikit sahaja masa untuk melayan kerenah mereka.

Antara yang perlu saya layan dan beri perhatian kepada anak-anak adalah bila mereka nak makan, tengok movie, main-main, cak-cak. Sekurang-kurangnya dengan cara ini tiada renyah nak memikirkan anak nak memanjat kerusi depan, anak nak membuka pintu, anak nak membuka tingkap dan aktiviti lain yang boleh membahayakan nyawa seluruh penumpang di dalam kenderaan.

Alhamdulillah Road Trip yang kami pernah buat setakat ini sejak lewat 2013 sehingga lewat 2016 adalah:

  1. North Island New Zealand 2 kali
  2. South Island New Zealand 2 kali
  3. Fiji Island (3/4 Coastal Drive)
  4. Semenanjung Malaysia beberapa kali sewaktu pulang bercuti menziarahi keluarga
  5. USA dan Mexico lebih kurang 12,100 KM
  6. Sekitar Australia

Berikut adalah persediaan dan apa yang kami lalui sejak anak masih bayi:

1. Perkenalkan tempat duduk bayi (car seat) dari awal. Tidak perlu beli yang mahal lahana anda boleh bermula dengan yang mana-mana car seat mampu milik yang terdapat di pasaran.

Mungkin ada yang terasa macam mahal untuk beli car seat tetapi anggaplah tempat duduk anak ini sebagai pelaburan untuk keselamatan anak anda. Kalau kita boleh habiskan banyak belanja untuk majlis aqiqah, majlis berendoi, menghias bilik bayi dengan sakan, pelbagai barangan alat permainan dan sebagainya, maka kita juga boleh buat satu tabungan dan perancangan awal untuk beli car seat.

2. Jika ikut kiraan matematik berdasarkan harga car seat dibahagikan dengan jumlah tahun ia bakal digunakan, kos setahun bagi 1 cat seat sebenarnya kurang daripada RM100 sebulan.

Mungkin lagi murah daripada kos membeli rokok bagi bapa yang gemar merokok. Dan car seat ini amatlah berbaloi dari segi keselamatan anak kecil. Satu perkara yang ingin saya kongsikan, terdapat hospital di Australia yang meletakkan syarat kepada setiap ibubapa  yang mempunyai kereta di mana car seat mesti disediakan untuk bayi mereka.

Jika tiada car seat, bayi tidak akan dibenarkan discharge daripada hospital. Malahan jika kenderaan ibubapa diperiksa dan terbukti tiada car seat untuk bayi, mereka boleh dikenakan denda.

3. Cara yang betul untuk pasang tempat duduk anak bayi berusia di bawah 6 bulan adalah menghadap ke belakang. Tempat duduk anak mesti dipasang di tempat duduk belakang.

Jangan pasang di tempat duduk depan tepi pemandu, bahaya! Kan ada ‘airbag’ tu. Sudah menjadi peraturan di Australia tempat car seat wajib ada di dalam kenderaan yang mebawa kanak-kanak berusia sehingga 7 atau 8 tahun.

4. Latihan untuk bayi agar mudah duduk di atas car seat boleh bermula sebaik saja habis pantang 44 hari.  Biasanya ada pemeriksaan untuk anak di klinik maka waktu ini adalah waktu terbaik untuk perkenalkan bayi kepada car seat.

Tidak kira walaupun klinik atau hospital dekat dengan rumah, letakkan anak kecik itu di tempat duduk mereka (car seat). Banyak juga saya tengok di media sosial ibu-ibu muat nail selfie dengan anak kecil dalam kereta, peace senyum-senyum sambil pegang anak di tangan.

Memang bangga dan seronok dah habis pantang. Tapi tolong fikir, buatnya tertekan brek kecemasan? Fikirlah sendiri apa yang bakal terjadi. Ngeri mahu saya ceritakan. Tempat duduk anak hendaklah diletakkan di belakang. Jadi ibu-ibu boleh duduk di belakang dengan anak. Bapa-bapa pula jangan ‘offended’ kalau terasa seperti driver. Percayalah ini untuk keselamatan bersama.

5. Mulakan dengan perjalanan yang pendek. Mungkin sejam dahulu, kemudian boleh tambah masanya mengikut kesesuaian. Biasanya kalau sistem navigasi (GPS) di sini, setiap kali memandu melebihi 2 jam akan ada pesanan automatik untuk berhenti rehat.

Begitu juga dengan papan tanda “Stop, Revive dan Survive”. Tetapi di Malaysia lagi untung, banyak R&R dan tempat berhenti. Malam pun kalau berjalan tidak menjadi masalah. Kalau bawa anak kecil mungkin sekali memandu boleh sehingga tiga, empat jam. Bergantung dengan keadaan anak masing-masing.

6. Macam anak-anak saya, daripada lahir sehingga enam bulan (sebelum mula makan makanan solid) rutin menyusu mereka adalah setiap tiga jam. Sebagai seorang yang menyusukan anak dengan susu ibu, bagi saya, amat penting untuk kami berhenti untuk menyusukan anak.

Ini sebenarnya merupakan salah satu cara untuk elakkan anak daripada terbiasa duduk di atas pangkuan kita sewaktu kereta sedang bergerak.  Ada yang cakap, tidak mengapa pegang sebab nak sampai cepat. Lagipun menyusukan sahaja pun. Bukan apa, nanti lama-lama anak kecil akan rasa selesa. Menyusu mesti mak akan angkat. Yang ni tolong lah jangan biasakan.

7. Lepas anak sudah siap menyusu, boleh teruskan perjalanan. Kalau dia menangis, macam biasa tengok samada anak kencing atau berak, dah sendawakan anak atau belum. Selalunya anak kecil akan menangis sebab lapar, haus, minta tukar lampin.

Jika semua dah selesai dan masih menangis, cuba main sekejap dengan dia. Cak cak ke, menyanyi ke, bagi alat permainan ke. Mungkin perjalanan agak jauh dan penat melayan kerenah anak, tetapi tidak mengapa sebab kita perlahan-lahan latih dia. Sebab itu kembali semula kepada langkah awal, mulakan perjalanan pendek-pendek. Ibu bapa mesti banyak bersabar.

8. Langkah berikut yang paling mencabar. Selesai semua urusan bayi di atas, kalau masih mula menangis, kena bertahan sedikit dan jangan kalah, jangan cair. Kena yakin yang kita dah selesaikan urusan utama dia, susu, lampin dan sebagainya. Mungkin bayi kurang selesa.

Macam anak-anak saya sendiri, memang akan ada satu tahap, dia tiba-tiba menangis yang boleh tahan hebat untuk beberapa minit. Kami biarkan. Sejak daripada itu, setiap kali naik kereta dan letakkan mereka di car seat, mereka sendiri akan faham untuk pakai tali pinggang keledar dan sebagainya.

9. Untuk pengetahuan juga, kami tiada pasang DVD movie semasa usia mereka kecil sebab bayi di kebanyakan masa selalunya tidur sahaja. Tapi kalau dah ada anak lebih daripada seorang, tidak salah untuk pasang DVD kerana yang besar mungkin tertarik untuk menonton.

10. Bila bayi dah berusia 6 bulan and boleh makan ‘solid food’, sila sediakan makanan asas semasa dalam perjalanan. Contohnya biskut bayi dan kraker. Kami juga ada membeli tempat letak barangan bayi (organiser) yang senang dicapai semasa dalam perjalanan. Ditekankan sekali lagi untuk ibu-ibu, kalau boleh duduk belakang dengan anak. Senang untuk melayan anak-anak.

11. Kedua-dua anak saya semenjak lahir sehingga 9 bulan, saya melatih mereka seperti di atas. Begitu juga dengan konsep untuk naik kapal terbang. Kadang-kadang kesian tengok orang yang gigih hendak membawa anak berjalan, tiada latihan, tiada kesesuaian diri, sudahnya anak kecil ini meraung menangis tanpa henti di dalam kereta mahupun kapal terbang.

Terus terang pada pandangan saya, sebenarnya agak sakit telinga sebab mesti ada sesuatu yang tidak kena kepada anak kecil ini. Maaf kalau saya berkata, memang tidak sepatutnya dibuat begitu. Ibu bapa gigih seolah-olah nak menunjuk sebab ikut ‘trend’ masa kini – ramai nak bawa anak-anak.

Tengok kawan-kawan lain buat, dia pun nak ikut sekali. Fikirkan lah anak kecil itu atau tidak pun fikirkan lah orang sekeliling kalau-kalau perangai anak tidak terkawal.

12. Bila anak sudah berusia 9 bulan ke atas, Insya Allah mereka akan mula terbiasa. Jika diikutkan, waktu ini ibu bapa sepatutnya sudah memahami rentak anak mereka. Bolehlah kalau ibu nak duduk depan.

13. Daripada usia 12 bulan ke atas, waktu ini semakin senang. Cuma bila anak-anak dah petah bercakap, kehendak mereka lebih sedikit. Biasanya mereka sudah faham untuk meminta makanan, minuman atau sekurang-kurangnya tunjuk denganjari apa yang mereka mahu. Untuk usia ini kalau nak pasang DVD agak sesuai kerana mereka serba sedikit sudah memahami keadaan sekitar.

14.  Paling penting, hargailah masa bersama anak-anak. Sementara mereka masih hendak bersama dengan kita. Jangan diperlekehkan tempat duduk anak ini sebab kalau untuk penerbangan jarak jauh, untuk anak yang dah ada tempat duduk sendiri, lagi selesa ada tempat duduk anak. Anak akan tidur selesa, tidak meragam. Ibu bapa seronok orang sekeliling pun tidak naik pening.

15. Disebabkan kami juga ada menguruskan keluarga yang datang bercuti ke Australia dan New Zealand, banyak kali sangat berjumpa keluarga dengan anak kecil. Kesian, anak tidak pernah jalan jauh, tapi ibu bapa terlampau ‘ambitious’ nak berjalan sakan.

Sudahnya anak menangis, tidak sedap badan, tak nak duduk di tempat duduk anak. Macam-macam ragam sepanjang perjalanan jauh di sini. Bukan apa, peraturan kena ikut melainkan ibu bapa sendiri dah setuju, jika kena saman , mereka bayar.

16. Oh tidak juga lupa, tempat duduk anak ini boleh digunakan di atas bas. Ye, pada Januari baru-baru ini saya sekeluarga sekali lagi pergi menunaikan Umrah. Ketika itu anak sulung berusia 3 tahun 3 bulan (ini kali ke 2 kami bawa dia Umrah), anak kedua berusia 1 tahun 9 bulan dan saya mengandungkan anak nombor ketiga.

Sudah tentu tidak menang tangan kami walaupun ibubapa dan adik saya yang turut bersama kerjakan umrah memberikan menjaga anak-anak kami. Semasa dalam perjalanan ziarah, kami pasang juga tempat duduk anak untuk anak kami. Perjalanan dari Madinah ke Mekah dan kembali ke Madinah (setiap hala hampir 6 jam) Alhamdulillah, sangat mudah!

Sekarang ni anak ke tiga masih dalam pantang (hari ke 38 ketika artikel ini ditulis, 21 March 2017). Insya Allah akan kami praktikkan cara yang sama.

Memandangkan kami sekarang menetap di Australia, ketika pulang di Malaysia kami tetap mempraktikkan penggunaan car seat. Disebabkan malas nak angkut banyak-banyak, memang ada tempat duduk yang dibeli dan ditinggalkan di Malaysia, so bila pulang senang.

Model tempat duduk yang anak saya selesa pakai.

  • Infa Secure Luxi Ride CS4210 – Jangka hayat : daripada bayi sehingga 8 tahun
  • Infa Secure Karavelle Convertible – Jangka masa hayat : daripada 6 bulan sehingga 8 tahun
  • Mothercare – Jangka masa hayat : daripada 6 bulan sehingga 4 tahun

Itu sahaja setakat ini. Boleh tanya di ruangan komen jika ada persoalan.