Menerusi perkongsian Facebook rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melaporkan bahawa pihak JKDM berjaya menumpaskan sindiket kartel pengedaran dadah antarabangsa melibatkan penyeludupan pil captagon yang mengandungi dadah jenis Amphetamine seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion. Ini sekali gus menjadi rampasan dadah paling besar dalam sejarah Malaysia.

Kartel pengedaran dadah tersebut berjaya ditumpaskan atas hasil kerjasama Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat, JKDM melalui perkongsian maklumat perisikan bersama Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Difahamkan, siasatan awal mendapati bahawa ada beberapa kontena dilaporkan tiba dari sebuah negara di Timur Tengah dan berlabuh seketika di Pelabuhan Klang, Selangor yang menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum dihantar ke sebuah negara di Asia Timur, lapor halaman Astro Awani.

“Susulan maklumat perisikan yang kami terima itu, sepasukan anggota kastam Cawangan Narkotik JKDM diarahkan untuk menyita tiga kontena di Pelabuhan Klang pada sekitar jam 4 petang, 15 Mac lalu,” Kata Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir menerusi satu sidang media hari ini.

Apabila diperiksa, ketiga-tiga kontena tersebut mengandungi tayar troli dipercayai digunakan untuk menyeludup dadah sekaligus berfungsi untuk mengaburi mata pihak Kastam. Namun, taktik itu nampaknya tidak berkesan dan pihak Kastam berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah tersebut.

“Hasil pembongkaran telah berjaya merungkaikan anggaran sebanyak 94.8 juta biji pil captagon seberat 16 tan dipercayai mengandungi dadah jenis Amphetamine bernilai RM5.2 bilion. Dadah tersebut disorokkan dan dimasukkan ke dalam tayar troli.

“Rampasan dadah RM5.2 bilion pada tahun ini merupakan rampasan dadah terbesar yang pernah direkodkan oleh JKDM setakat ini. Ia sekali gus merupakan satu kejayaan terbesar pihak kastam dalam memerangi kartel dadah antarabangsa,” tambahnya lagi.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Sebelum ini, usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri ditahan kerana terbabit dalam kes penyeludupan dadah bernilai RM5 juta.

Usahawan Kosmetik Bergelar ‘Datuk Seri’ Ditahan Terbabit Penyeludupan Dadah Bernilai RM5 Juta

Miliki Kereta BMW Pada Usia 18 Tahun, Rupanya Beli Guna Wang Edar Dadah

Seludup Dadah Untuk Biaya Perubatan Anak, Hakim Australia Ringankan Hukuman Penjara Bekas Pramugari Malaysia Ini