Kami ke Kelantan kali ini, dengan satu persoalan, adakah benar negeri Pantai Timur yang berjiran dengan Thailand ini adalah sebuah syurga makanan seperti yang sering digelarkan oleh rakyat Malaysia.

Perjalanan selama 17 jam menaiki Keretapi Tanah Melayu (KTMB) dengan kerjasama pihak Tourism Malaysia adalah sebuah pengalaman yang baik dan berjalan dengan sangat jujur. Dihidang dengan pemandangan hijau dan kampung-kampung kecil yang terletak di Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan.

Screenshot (457)

Kami tidak merasa terlalu penat apabila perkhidmatan KTMB menyediakan segala kelengkapan. Jika lapar, kami ke kafe dan jika mahu ke tandas, ia tersedia baik di pintu belakang/depan penumpang.

Kelantan Syurga Makanan?

Ada sesuatu tentang negeri ini, orang selalunya hadir ke Kelantan untuk mencari makanan. Nasi kerabu warna biru oleh tangan orang Kelantan lebih lunak dari gerai tepi jalan di Kuala Lumpur, itu kata seorang teman waktu kami lepak duduk tepi lorong.

Screenshot (462)

Namun perjalanan ke Kelantan akan menjadi sangat rugi jika dihabiskan untuk makan. Kita harus belajar. Jadi, perjalanan menaiki keretapi bermula dari KL Sentral ke Gemas menggunakan Electric Train Service (ETS), kemudian dari Gemas kami menuju ke Gua Musang menggunakan Ekspres Rakyat Timuran (ERS).

Kami sampai di Gua Musang awal dan dihidang pagi dengan wajah cinematic. Ada dua bukit batu kapur yang berdiri di sebelah stesyen Gua Musang. Diam seolah memanggil. Pemandangan waktu itu seperti menjemput untuk kami meneroka wilayah dengan lebih 90,000 penduduk.

Screenshot (465)

Kami di bawa ke Masjid Razaleigh yang masih berada dalam proses pembinaan. Kemudian ke kawasan penempatan pertama kaum cina di Kelantan sejak 500 tahun dahulu iaitu Tokong Swee Nyet. Di sebelah petang ke Taman Herba dan terakhir sekali adalah Masjid Buluh sebelum menaiki keretapi menuju ke Wakaf Bharu.

Kami bangun awal pada esoknya. Penat masih ada. Perjalanan dari Gua Musang ke Wakaf Bharu menggunakan keretapi shuttle semalam adalah yang paling fun dengan pemandangan hijau serta ada rasa kampung yang segar.

Screenshot (502)

Tempat pertama yang menyambut kami adalah Pasar Siti Khadijah, ruang buat wanita menunjukkan sisi berani mereka. Mengambil peranan sejarah Khadijah yang suka berniaga, tidak heran jika lebih separuh peniaga di pasar ini adalah wanita.

Selepas itu kami di bawa berjumpa dengan Pak Dain, seorang tokoh wayang kulit yang masih berjuang untuk seni dan budaya negeri Kelantan. Kami duduk dan dengar dia cerita. Dia tinggal pesan pada kami, katanya wayang kulit adalah seperti lilin, bila-bila boleh mati. Kami angguk, tanda memahami.

Screenshot (539)

Habis isi ilmu, kami isi perut. Ada dua tempat makan yang kami singgah, pertama Nasi Ulam Cikgu dan kedua di RS Serunding. Di dua tempat ini, datang jawapan kepada persoalan kami. Rupanya Kelantan tidak layak digelar syurga makanan, ia sebenarnya lebih.

Kenapa kami bersetuju bahawa Kelantan bukanlah syurga makanan semata, kerana Kelantan sebenarnya mempunyai tarikan yang lebih daripada itu. Khazanah alam dan budaya yang menjadi tempat kepada rakyat Kelantan memahami asal usul mereka adalah kekayaan yang jarang dipandang orang.

Screenshot (522)

Dari cerita tentang sebuah Kerajaan Chermin yang hilang di Danau Tok Ban hinggalah menyusul kepada kisah Star Wars versi wayang kulit oleh anak kelahiran Kelantan. Ini adalah perkembangan budaya yang membentuk jati diri negeri Kelantan.

Adunan budaya di antara Melayu, Siam dan Islam telah menghasilkan Kelantan yang unik. Sebagai contoh, Mak Yong dipengaruhi oleh budaya Siam (Thailand), sementara Dikir Barat pula mempunyai unsur-unsur Islam, manakala Main Puteri pula dikatakan diresapi oleh budaya Hindu.

Screenshot (547)

Kepelbagaian budaya dan sejarah yang ada di negeri Kelantan telah menjadikan negeri dengan lebih 1 juta penduduk ini layak untuk diteroka dan dipelajari. Rugi jika kita habiskan sesuatu perjalanan itu hanya untuk makan tanpa mempelajari sedikit sebanyak sisi budaya yang wujud di sana.

Untuk bacaan lanjut mengenai negeri Kelantan, klik pautan di bawah.

Penyelidik Temui Fosil Tapak Kaki Dinosaur Berusia 66 Juta Tahun Di Kelantan

Tarikan Terbaharu Di Kelantan, Restoran Ini Jual ‘Ketum Float’ Dengan Harga RM3.00

Tiga Remaja Di Kelantan Buli Dan Belasah Budak Berusia 13 Tahun Disebabkan Ayam Goreng