Nota Editor: 19 tip mengembara lebih murah di Australia ini telah dikongsikan oleh Karima Hussin yang telah travel ke Australia selama 362 hari. Karima juga aktif menulis pengalaman travel beliau di website KarimaDiMana.com.

tips-travel-bajet-australia-22

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

19 tips mengembara lebih murah di Australia

Australia merupakah salah satu negara yang paling mahal dalam dunia untuk dilawati. Tambahan pula dengan matawang ringgit yang tidak berapa kukuh sekarang, melancong ke Australia memerlukan kos yang agak besar.

Tapi, kalau hati sudah meronta-ronta, dan Air Asia pula ada tiket murah, redah sajalah. Dan disini saya sediakan beberapa tips yang mungkin berguna untuk anda mengurangkan sedikit kos disana nanti.

TEMPAT TINGGAL

1. Tinggal dalam dorm

tips-travel-bajet-australia-9

Bagi backpackers tegar, ini memang pilihan yang biasa kerana ia biasanya paling murah. Harga satu katil adalah sekitar 25-30 dollar.

Saya secara peribadi menyukai Female Dorm walaupun ia sedikit mahal dari Mixed Dorm, tapi lebih selesa. Kalau pergi ramai-ramai boleh ambil mixed dorm dan penuhkan satu bilik terus.

2. Mohon kad YHA

tips-travel-bajet-australia-2

Youth Hostel International atau Hostelling International, kedua-duanya adalah organisasi yang sama. Berbanding hostel lain, biasanya hostel YHA biasanya lebih selesa walaupun harganya dua atau tiga dollar lebih mahal.

Tetapi dengan adanya kad hostel YHA, kita akan dapat 3 dollar (atau 10%) diskaun. Bukan hanya hostel, kad ini juga diterima di agensi-agensi pelancongan yang lain. Dan jangan mohon kad ini di Australia, ia boleh dipohon di Malaysia dengan hanya 40 ringgit sahaja. Kad YHA sah digunakan di seluruh dunia!

3. Couchsurfing

tips-travel-bajet-australia-3

Couchsurfing adalah cara dimana kita boleh tinggal di rumah warga tempatan dengan percuma. Ia adalah salah satu cara paling baik untuk mengembara mengenali cara hidup penduduk tempatan.

Anda perlu mendaftar dahulu sebelum menggunakan perkhidmatan dan pastikan semua maklumat telah diisi supaya anda dapat meyakinkan mereka untuk menerima anda ke rumah mereka. Kalau mengembara sendirian atau dua orang sangat sesuai guna cara ini.

4. AirBnb

tips-travel-bajet-australia-10

Berbanding hostel biasa, AirBnb lebih murah kerana orang tempatan yang menyewakan bilik atau rumah mereka sendiri. Tapi anda perlu pilih betul-betul supaya dapat bilik yang berpatutan, dekat dengan pengangkutan awam dan mempunyai review yang bagus.

Kadang-kadang cara ini lebih murah dari tinggal di hostel, terutamanya di bandar besar seperti Melbourne dan Sydney.

5. Camping (berkhemah)

tips-travel-bajet-australia-11

Kalau anda melakukan road trip, anda boleh berkhemah di tapak perkhemahan yang jauh lebih murah dari bermalam dalam bilik. Ada juga syarikat kereta sewa yang menyediakan barang-barang perkhemahan yang lengkap seperti syarikat Autobarn Traveler dan Wicked Campers.

Harga tapak khemah di Caravan Park adalah antara 10 dollar sehingga 20 dollar seorang, dan ada juga yang percuma. Ada juga Caravan Park yang menawarkan harga pakej yang lebih murah.

6. Install Wikicamp

tips-travel-bajet-australia-12

Dan untuk memudahkan anda mencari tapak khemah percuma atau murah, saya cadangkan anda install aplikasi Wikicamp di telefon bimbit. Bukan setakat senarai tapak perkhemahan, ia juga ada review pengguna, gambar dan update semasa.

Ia memudahkan anda untuk mencari tapak khemah yang sesuai dengan bajet. Ia adalah aplikasi yang saya gunakan sewaktu roadtrip sejauh 6000 kilometer sepanjang Western Australia dahulu. Memang berbaloi.

MAKAN

7. Memasak

tips-travel-bajet-australia-4

Kerana makanan di Australia biasanya mahal, cara paling baik mengurangkan kos adalah dengan memasak. Yang menariknya, Australia penuh dengan makanan mentah yang murah-murah.

Rempah dan pes makanan Asia juga biasanya mudah didapati di Asian Shop atau di pasaraya besar. Daging halal mudah didapati (biasanya jenama Lilydale di pasaraya Coles). Kalau di Melbourne, saya suka beli sayur dan buah buahan di Queen Victoria Market.

Bukan setakat segar, ia juga penuh dengan pilihan dan berwarna-warni. Saya suka beli marinara mix iaitu campuran makanan laut kerana ia sangat sedap untuk dibuat tomyam.

8. Cari hostel yang menyediakan sarapan

tips-travel-bajet-australia-5

Terdapat banyak hostel di Australia yang menyediakan sarapan pagi, biasanya roti, bijirin, kopi, teh, mentega kacang, jem. Ada juga yang menyediakan buah-buahan. Jadi tak perlu keluar duit untuk makan pagi.

Sarapan di luar agak mahal. Kalau seketul muffin dan satu cawan kopi di 7Eleven pun sudah 4 dollar, bersamaan 12 ringgit Malaysia. Sambil sarapan di hostel, anda juga boleh beramah mesra dengan pengembara yang lain juga.

PENGANGKUTAN

9. Beli tiket bila ada promosi

tips-travel-bajet-australia-13

Biasanya dalam setahun Air Asia akan ada promosi besar-besaran untuk tiket tahun berikutnya. Jadi rancang awal-awal dan beli tiket awal. Biasanya saya buat beginilah.

Setahun sebelum sudah beli tiket. Atau paling kurang 6 bulan sebelum. Biasanya semakin dekat dengan tarikh perjalanan, semakin mahal harga tiket. Rasanya kebanyakan anda sudah tahu perkara ini juga.

10. Beli kad prepaid pengangkutan awam

tips-travel-bajet-australia-14

Untuk berjalan-jalan di dalam bandar, jangan beli tiket setiap kali mahu naik bas atau LRT. Beli kad prepaid kerana ia biasanya lebih murah. Ada juga bandar-bandar yang menyediakan kad untuk pelancong yang sesuai untuk jangkamasa pendek.

Di Melbourne mereka menggunakan Myki di Melbourne, Opal kad di Sydney, Smart Rider di Perth dan Go Card di Brisbane.

11. Naik pengangkutan awam di luar waktu sesak (peak hour)

tips-travel-bajet-australia-6

Biasanya 6-9 pagi dan 4-7 petang adalah waktu orang pergi-balik kerja, jadi pengangkutan awam sesak. Jika anda mengelak waktu ini, anda boleh dapat sehingga 30% diskaun dengan kad prepaid. Itu adalah penjimatan yang besar.

12. Bas / tram percuma di bandar besar

tips-travel-bajet-australia-15

Ada diantara bandar-bandar besar di Australia mempunyai bas percuma yang membawa anda mengelilingi kawasan CBD. Jadi apa salahnya menggunakan bas ini sepenuhnya kerana biasanya ia juga berhenti di tempat tempat yang menjadi tumpuan pelancong. Macam bas hop on hop off juga, cuma ianya percuma!

AKTIVITI

13. Pergi tempat percuma

tips-travel-bajet-australia-7

Tempat-tempat seperti muzium, galeri seni dan taman botani adalah antara tempat-tempat percuma yang anda tak patutu tinggalkan ketika melawat di Australia. Ada juga muzium dan galeri seni yang berbayar tapi harganya jauh lebih murah dari aktiviti yang lain.

Bagi saya secara peribadi, muzium adalah ‘must visit place’ bagi semua tempat kerana disitu kita dapat macam-macam maklumat tentang tempat tersebut dan membuatkan pengembaraan kita lebih make sense. Itu bagi sayalah. Setiap orang ada kesukaan yang berbeza-beza.

14. Free Walking tour

tips-travel-bajet-australia-16

Jangan tak tahu bahawasanya di Melbourne dan Sydney ada free walking tour dimana seorang pemandu pelancong akan membawa anda di sekitar bandar dan menerangkan tentang bandar itu. Biasanya mereka ini adalah anak jati bandar itu sendiri.

Well, sebenarnya, ia bukanlah seratus peratus percuma, cuma mereka mengharapkan tips dari anda. Tapi suka hati anda mahu beri tips banyak mana.

15. Pergi ke pantai atau pulau berdekatan

tips-travel-bajet-australia-17

Kalau di Melbourne ada St. Kilda atau Mornington Peninsular, di Perth ada Rottnest Island dan Sydney ada Manly Island, dan banyak lagi kerana banyak penempatan di Australia dibina berdekatan pantai.

Anda boleh berkelah atau melakukan aktiviti lain ketika kesini. Biasanya ia dihubungkan dengan pengangkutan awam dari pusat bandar.

Kalau anda ke Rottnest Island, anda boleh berbasikal di seluruh pulau dan mungkin akan terjumpa quokka, haiwan unik yang hanya terdapat di pulau itu sahaja.

Dan jika anda ke Manly Island di Sydney, anda akan dapat lihat bangunan Sydney Opera House dari sudut yang paling cantik.

16. Taman Negara (National Park)

tips-travel-bajet-australia-18

Anda tidak perlu ke zoo untuk melihat haiwan natif Australia. Jika anda ke taman-taman negara (terutamanya di Western dan Northern), anda akan dapat melihat kanggaru atau wallabi di mana-mana.

Di Nitmiluk National Park di utara Australia contohnya, terdapat walabi yang amat jinak dan sentiasa merayau-rayau di sekitar kawasan khemah.

LAIN-LAIN

17. Wi-fi percuma

tips-travel-bajet-australia-19

Kalau mahu mencari wifi percuma, anda boleh ke perpustakaan sahaja. Biasanya ia percuma.
Tak perlu beli pas internet atau sim-card kalau hanya pergi sekejap sahaja. Di café-café pun biasanya ada juga wi-fi percuma, cuma anda perlu makan disitu lah.

18. Pergi beramai-ramai dan sewa kereta

tips-travel-bajet-australia-20

Jika anda mahu roadtrip, ini adalah digalakkan. Selain boleh memandu sendiri, anda juga boleh berhenti di mana-mana sahaja yang anda suka. Dan di Australia ada banyak tempat-tempat outback yang menarik untuk di jelajahi dan berkhemah di sepanjang jalan.

Saya lebih suka West Coast berbanding East Coast kerana di situ tidak terlalu sesak dengan pelancong.

19. Ambil pakej di Uluru

tips-travel-bajet-australia-1

Kalau anda mahu ke Uluru, saya cadangkan anda ambil pakej sahaja. Ia lebih murah dari mengembara sendiri kerana pengangkutan awam disini tidak banyak.

Setahun di Australia, saya hanya mengambil pakej ini kerana ini sahaja pilihan yang masuk akal untuk meneroka Uluru, Kings Canyon dan Kata Tjuta yang letaknya di padang pasir terpencil di tengah-tengah negara Australia yang besar ini.

tips-travel-bajet-australia-8

Memang Australia negara mahal, tapi kalau kena caranya, kita boleh mengembara dan menikmati keindahan, mengenali cara hidup dan mendapat pengalaman baru di negara orang dengan cara yang lebih murah.

Semoga tips di atas membantu anda meyediakan bajet dengan lebih berhemah. Selamat mengembara!

Dan Jika Anda Ke Australia, Pastikan Anda Selfie Dengan Quokka. Super Cute!

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram