Siapa sangka, kembar yang berada dalam sebuah kantung ibu yang sama telah ‘dipisahkan’ sejak lahir akhirnya disatukan semula. Kisah yang bagaikan sinetron ini didakwa berlaku disebabkan kecuaian pihak petugas yang tertukar bayi sewaktu kelahiran di sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.

Lebih mengejutkan, kejadian itu hanya diketahui Adryani Iwani Ibeni Yanin,’kembarnya’ Adryana Iwani dan kembar sebenarnya Noratirah Husin menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada September lalu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kisah bagaimana kembar ‘terpisah’ ini disatukan semula

ezgif-4-1e693b12f295
Sumber: NST

Menerusi perkongsian Adryani Iwani, kisah awal pertemuan beliau bersama kembarnya bermula sewaktu mereka di tingkatan empat di sebuah kem motivasi di mana mereka dipertemukan secara tidak sengaja selepas terdapat dakwaan daripada pelajar lain yang memaklumkan mereka mempunyai rupa paras yang serupa.

Beliau kemudiannya meminta gambar Noratirah daripada pelajar itu sebelum masing-masing berkongsi akaun Instagram. Perkongsian cerita beliau bersama ‘kakak’, Adryana Iwani selaku adik beradik yang disangka kembar turut membuatkan kakaknya bersetuju kedua mereka mempunyai persamaan wajah yang ketara.

Walau bagaimanapun, ibu mereka berpandangan sebaliknya sekaligus membuatkan beliau tidak lagi mengambil peduli serta menganggap wajah beliau bersama Noratirah Husin hanyalah mirip secara kebetulan.

‘Dipertemukan semula’ buat kali kedua

Kata orang, ‘kalau jodoh tak kemana’. Pasangan kembar ini sekali lagi berjumpa kembali pada sebuah program Karnival Jom Masuk U secara kebetulan di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Mac 2019 membuatkan masing-masing terpana melihat persamaan pada wajah dan juga bentuk badan.

Akibat terlalu terkejut, masing-masing hanya berpandangan antara satu sama lain dan berlalu tanpa menyapa namun perkara tersebut sekali lagi disedari oleh pelajar-pelajar yang lain.

Bermula daripada pertemuan kedua ini, masing-masing seolah menemui jawapan satu per satu selepas dua beradik ini ‘ditakdirkan’ mempunyai tarikh lahir yang sama iaitu pada 19 Ogos.

Selepas daripada kejadian tersebut, Noratirah terus menghubungi pasangan kembar beliau di Instagram untuk pertanyaan lanjut dan masing-masing seolah mempunyai banyak persamaan yang sama membuatkan mereka memilih untuk menjalankan ujian DNA.

Selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua keluarga, ujian DNA telah dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang, Kerian, Kelantan bagi mengesahkan pertalian. Difahamkan ujian DNA yang dilakukan itu dilakukan menggunakan sampel darah melibatkan ibunya, Siti Aminah Ismail, Adryana Iwani, Noratirah dan ‘bapa’ Noratirah, Husin Omar.

Disahkan kembar dengan keputusan DNA 99.99%

Bermula dengan sekadar sangkaan, keputusan ujian DNA seolah menjawab segala teka-teki apabila disahkan Adryani Iwani Ibeni Yanin dan Noratirah Husin adalah pasangan kembar dan merupakan anak kepada Ibeni Yanin Mohd Salleh dan Siti Aminah.

Adryana Iwani yang sebelum ini didaftarkan sebagai pasangan kembar Adryani Iwani pula disahkan anak kandung kepada Husin Omar dan Rahmah Isa.

Menurut kakak Adryani Iwani, Ayu Haryani, ibu mereka memaklumkan doktor yang bertugas tidak pernah memaklumkan sama ada kembar yang dilahirkan ketika itu adalah kembar seiras atau sebaliknya.

Akan tetapi disebabkan tag nama di kaki kedua-dua mereka nama Siti Aminah maka keluarga mereka tidak pernah terfikir tentang perkara itu dan beranggapan mereka kembar tidak seiras.

Ayu Haryani berkata, berdasarkan rekod pada sijil kelahiran, Noratirah dilahirkan pada 1.14 pagi, diikuti Adryana Iwani (1.27 pagi) dan kemudiannya Adryani Iwani (1.34 pagi).

Berdasarkan laporan, ibu pasangan kembar ini seolah tidak dapat menerima keputusan yang dikeluarkan pada peringkat awal serta tidak mahu berita tersebut dikongsikan kepada sesiapa kerana risau mampu memberi kesan psikologi terutama kepada Adryana Iwani.

Lebih menyayat hati, ibu kandung Adryana Iwani dilaporkan sudah meninggal dunia pada tahun 2018 manakala ayahnya meninggal dunia dua bulan selepas ujian DNA diketahui.

Noratirah Husin yang sebelum ini tinggal bersama ‘ayahnya’ di Kampung Pulau Kundur, Kota Bharu dimaklumkan sudah berpindah dan tinggal bersama keluarga kandungnya di Kampung Langgar, Kota Bharu sejak Januari lalu.

Keluarga pasangan kembar ini telah melantik pihak peguam dan kini sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berkenaan.

Tular pada minggu ini apabila Avril Lavigne membuat kemunculan di aplikasi TikTok dengan wajah yang seolah tidak berubah selepas 19 tahun membuatkan para peminat terpegun.

Selepas 19 Tahun, Peminat Terpegun Lihat Wajah Terkini Avril Lavigne

Isa Isarb ‘Cabar’ Aedy Ashraf Untuk Lawan Tinju Secara Sah?