Sedikit perkongsian tip dan persediaan untuk berhadapan dengan pegawai imigresen jika mengembara secara sendirian.

Walaupun paspot Malaysia berada pada ranking ke 5 dunia, tidak bererti kita boleh terlepas dari prosedur sesebuah negara biarpun negara tersebut tidak memerlukan visa. Bak kata pepatah backpackers berpengalaman, nak redah biar berilmu, apa-apa jadi taklah buntu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

1. Sentiasa tunjukkan muka yang ceria dan sopan ketika melangkah ke kaunter imigresen, ucapkan sepatah dua seperti ‘Selamat pagi’ sebelum mereka mula bertanya. Jangan kedekut senyuman walaupun mungkin senyuman kita itu tak ikhlas.

2. Berpakaian kemas, ini penting, mungkin kita ni jenis backpackers sempoi pakai baju koyak bawah pun tak kisah.

Kerana pada pandangan kebanyakkan orang, berpakaian selekeh itu seperti orang miskin dan tidak berduit, pegawai imigresen juga manusia, tak mustahil mereka juga akan beranggapan begitu.

Jika itu berlaku, akibatnya berbagai soalan yang akan ditanya, anda nak pergi mana? Berapa duit yang anda bawa? Bla bla bla. Bila sudah lepas masuk, nak pakai baju koyak bawah pun ikut suka, pegawai imigresen dah tak nampak.

3. Hanya perlu jawab soalan apa yang ditanya sahaja, tidak perlu beri jawapan sampai ke laut.

4. Serlahkan wajah dengan penuh keyakinan, jangan buat muka cuak, kita bukannya mahu pergi langgar undang-undang negara tersebut, kita hanya mahu pergi mengembara.

5. Lepas tidur berjam-jam atas kapal terbang, bangun tidur mesti muka tak segar, mata kelihatan merah dan mulut juga berbau. Jadi sebelum ke kaunter imigresen, basuh muka bagi segar dan gosok gigi dulu, barulah pegawai imigresen senang untuk menerima kunjungan anda.

6. Jika sebelum ini anda pernah ke negara tersebut dengan menggunakan paspot lama, bawa sekali paspot lama sebagai bukti yang anda pernah ke negara tersebut sebelum ini. Itu juga akan membantu untuk berhadapan dengan pegawai yang banyak songeh gitu.

7. Sediakan tiket penerbangan pulang, buat dua salinan, satu cetak atas kertas, dan satu lagi simpan dalam smartphone anda.

8. Sediakan aturcara perjalanan sepanjang berada di negara tersebut, ke mana dan di mana anda akan pergi. Biarpun tak semua yang ditulis akan anda pergi, tetapi sekurangnya kita ada perancangan, kerana perjalanan tanpa perancangan ibarat perjalanan tanpa arah tuju.

9. Sediakan bukti tempahan bilik penginapan beserta alamat dan no telefon di setiap tempat yang anda akan pergi.

10. Jika anda ada buat tempahan kereta sewa, sediakan salinan bukti tempahan anda, jika ditanya anda boleh tunjukkan salinan tempahan kereta sewa, ini akan menguatkan lagi bukti yang anda betul-betul mahu pergi mengembara.

11. Dah lengkap semua dengan tiket pulang kapal terbang, bilik penginapan bagai, takkan tak bawa duit pula kan.

Bagian ini yang paling ramai pengembara terkandas, ikut logiknya memang perlukan duit tunai di tangan untuk mengembara, mungkin kita boleh hitchhike kereta tepi jalan yang tidak memerlukan kos, tapi takkan itu jawapan yang kita nak beri pada pegawai imigresen bila diminta untuk tunjukkan duit belanja yang kita bawa.

Setiap negara lain kos sarah hidupnya, ada negara yang murah belanja dan ada yang mahal. Jadi bawa tunai seikhlas hati mengikut kesesuaian sesebuah negara, jika ke negara seperti Australia, sediakan bajet tunai di tangan sekurangnya AUD40 sehari, jika pergi tujuh hari darabkan tujuh kali jadi AUD280.

12. Jika ada kad kredit, bawa sekali. Ini juga salah satu bukti kukuh yang anda punya sumber kewangan untuk mengembara. Mungkin kad kredit tu dah blacklist tak boleh pakai, tapi sekurangnya boleh dijadikan sebagai shadow income. Huhu.

13. Jika tiada kad kredit, bawa beberapa kad debit, lagi nampak hebat jika anda bawa kad debit dari bank HSBC, kerana rangkaian bank HSBC sangat meluas di seluruh dunia.

14. Sebelum berlepas terbang, buat sedikit carian di Google tentang imigresen negara yang ingin dituju, ada sesetengah negara perlu isi kad ketibaan dan sebagainya, jadi bila sudah sampai tak lah kita jadi kelam kabut tak tahu nak isi borang.

15. Jika masih bekerja, bawa sekali surat cuti dari syarikat yang anda kerja.

Ini juga boleh dijadikan sebagai bukti yang anda akan berada di negara tersebut hanya untuk tempoh tertentu sahaja, seterusnya dapat meyakinkan pegawai imigresen yang anda memang betul-betul datang untuk mengembara dan bukannya datang untuk bekerja secara haram.

16. Baca dan buat sedikit kajian tentang tempat-tempat yang akan dikunjungi sebelum berangkat, maklumat-maklumat yang anda baca mungkin berguna jika ditanya oleh pegawai imigresen.

17. Jangan sesekali membuka telefon di hadapan pegawai imigresen tanpa sebab. Ini akan mendatangkan rasa curiga pegawan imigresen pada anda.

18. Jika anda berjalan dalam kumpulan, beratur sebaris ketika di imigresen, jangan berpecah banyak kaunter.

19. Akhir sekali, jangan lupa bawa pen bersama, jika negara tersebut memerlukan anda untuk mengisi borang dan kad, takdalah anda berpusing-pusing cari orang sebab nak pinjam pen!.

20. Walau apa pun yang bakal terjadi, yakin dan berserah pada tuhan yang esa, kerana itu merupakan ibu segala kunci setiap perancangan yang kita buat.

Nota: Perkongsian di atas adalah hasil pengalaman peribadi, saya tidak menjamin akan keberkesanannya, kerana lain orang lain pengalaman dan cara. Semoga bermanfaat.

Baca lagi: Kami Dipenjara 3 Hari Di Norway Dan Dihantar Pulang Ke Malaysia Kerana Sekeping Tiket