TMJ iaitu Tunku Mahkota Johor, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim adalah pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Takzim (JDT). Baginda berjaya memimpin kelab yang berusia 3 tahun merangkul 4 kejuaraan di peringkat negara dan Asia.

tmj

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Fasa 3 tahun pertama adalah fasa berpuaka bagi setiap bisnes. Berikut adalah 21 perkara yang boleh dicontohi oleh usahawan muda dalam mengharungi fasa permulaan.

1. Mempunyai Visi Yang Besar.

Apabila TMJ mengambil alih pengurusan bolasepak negeri, baginda mahu menjadikan sukan ini sebagai wadah penyatuan Bangsa Johor. Hal ini kerana bolasepak adalah sukan yang paling popular dalam kalangan rakyat. Kaki bangku pun suka mengambil tahu tentang sukan bolasepak.

2. Mempunyai Motivasi Yang Kuat.

TMJ sanggup memimpin Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) kerana terkesan oleh rayuan penyokong supaya menyelamatkan bolasepak negeri. Rayuan itu dijadikan sebagai motivasi oleh baginda bagi mengembalikan kegemilangan pasukan yang sekian lama pudar.

3. Mengkaji Masalah Dengan Terperinci.

Semua orang tahu betapa lantangnya TMJ mengkritik Football Association of Malaysia (FAM). Kritikan baginda disebut-sebut dan disokong di seluruh negara kerana kebenarannya. Baginda tidak serkap jarang sebaliknya memperincikan masalah-masalah yang berlaku.

4. Mencadangkan Penyelesaian Masalah.

Tidak hanya mengkritik, baginda menyenaraikan cadangan yang praktikal bagi menyelesaikan masalah. Sikap ini berjaya menambat hati ramai ahli gabungan FAM sehingga undian pemilihan Presiden terpaksa dibuat dua kali akibat Tengku Abdullah tidak cukup sokongan.

5. Menetapkan Matlamat Yang Realistik.

TMJ bersikap realistik apabila menetapkan matlamat. Sebagai contoh, sasaran JDT dalam saingan Piala AFC adalah suku akhir sahaja. Hal ini kerana matlamat yang melampaui kemampuan hanya meruntuhkan motivasi ahli pasukan. (Apa yang berlaku kemudian menjadi kenangan paling manis.)

6. Mengutamakan Konsistensi Dalam Kejayaan.

Kejayaan yang konsisten ibarat kapal yang tidak besar, tetapi tidak pula terumbang-ambing. Begitulah cara TMJ apabila menyasarkan JDT sentiasa berada dalam kelompok empat teratas dalam saingan Liga Super. Hasilnya, JDT berjaya menjuarai liga itu dua kali berturut-turut.

7. Menggunakan “Unfair Advantage” Terhadap Pesaing.

Persaingan tidak boleh dielak lebih-lebih lagi apabila semua orang mengajak kita bersaing. Bagi menghadapi pesaing, TMJ menggunakan “unfair advantage” seperti aset kewangan yang banyak dan pengaruh yang luas. Sebab itulah JDT mencapai banyak kejayaan dalam masa yang singkat.

8. Mementingkan Jenama Organisasi.

Sebaik sahaja mengambil alih persatuan, TMJ menjenamakan semula pasukan. Beberapa perubahan dibuat sehingga terhasilnya jenama yang seragam – Johor Darul Ta’zim. Semua aspek diambil kira dengan teliti sehingga lambang ditukar apabila menyerupai pasukan lain dari luar negara. Jenama JDT akan turut digunakan dalam sukan-sukan lain di negeri Johor.

9. Melantik Kakitangan Yang Lebih Pakar.

Walaupun mempunyai minat sejati (pure passion) dalam bolasepak, TMJ mengakui tidak tahu semua perkara. Oleh itu, baginda melantik pakar-pakar dari negara yang lebih maju bagi memastikan matlamat JDT tercapai. Baginda suka berbincang waima di dalam kolam renang sekalipun.

10. Mengubah Pesaing Kepada Pengikut (Peniru).

Senario bolasepak negara berubah apabila perubahan drastik yang dilakukan oleh JDT dicontohi oleh pasukan-pasukan lain. Hal ini menunjukkan TMJ adalah pemimpin (leader) perubahan yang signifikan sehingga pesaing mahu menjadi pengikut (follower) – atau secara nakalnya, peniru.

Instagram @diyanaar
Instagram @diyanaar

11. Menjarakkan Diri Daripada Peniru.

Oleh kerana peniru itu adalah pesaing, TMJ tidak boleh biarkan mereka lebih sikit. Piawaian JDT mestilah lebih baik daripada semua pasukan di Malaysia. Bukan sahaja pada kemudahan stadium, malah video promosi pun TMJ sanggup buat lagi sekali dengan lebih baik. Orang Cina menamakan sikap ini sebagai “kia su” (takut atau enggan kalah).

12. Memotivasikan Ahli Pasukan Dengan Kerap.

Ahli pasukan di mata TMJ bukan sekadar kakitangan dan pemain, malah termasuk para penyokong JDT di seluruh dunia. Oleh itu, TMJ selalu berkongsi kata-kata semangat yang dipaparkan dalam bentuk grafik premium beserta penjelasan dalam dwibahasa. Baik JDT menang ataupun kalah, TMJ tidak pernah meruntuhkan semangat ahli pasukan.

13. Melengkapkan Keperluan Ahli Pasukan.

Kata-kata semangat adalah motivasi dalaman, dan itu sahaja tidak cukup. Seseorang pemimpin harus juga memastikan keperluan ahli pasukan tersedia dengan lengkap. Hal ini kerana ahli pasukan adalah pelaksana, manakala pemimpin adalah pendorong. Dorongan mesti merangkumi aspek dalaman dan luaran. Sebab itulah sesetengah pemain sanggup bergadai kontrak bagi menyertai JDT.

14. Memecat Ahli Pasukan Yang Tidak Sesuai.

TMJ tidak peduli jikalau wang menjadi taruhan. Apabila baginda berasakan seseorang itu tidak sesuai dengan JDT, perkhidmatannya akan ditamatkan serta-merta. Sikap pemimpin yang tegas ini diperlukan dalam organisasi yang baru bermula dan mesti bergerak laju.

15. Mewujudkan Budaya Yang Menyeronokkan.

Semua pasukan boleh meniru JDT secara fizikal, tetapi di dunia ini hanya ada satu TMJ. Apabila TMJ memimpin, baginda membawakan budaya kerja yang menyeronokkan ahli pasukan. Tidak keterlaluan jikalau dikatakan bahawa seorang bintang seperti Luciano Figueroa ingin terus berkhidmat untuk JDT semata-mata kerana TMJ dan budaya yang dipimpin oleh baginda.

16. Mendengar Maklum Balas Pelanggan.

Pelanggan JDT adalah para penyokong, kerana tanpa mereka, tiket perlawanan, jersi, dan cenderamata JDT pasti tidak laku. TMJ faham benar perkara ini, dan kerana itulah baginda suka mengadakan sesi pertemuan dengan penyokong bagi mendengar maklum balas mereka secara langsung.

17. Mesra Media.

Segala jenis media iaitu media sosial, media cetak, media elektronik, televisyen, dan radio, di Malaysia dan di luar negara, telah diterjah oleh TMJ. Semua itu dilakukan bagi mempromosikan jenama JDT ke seantero dunia. Wartawan turut dijemput bagi bertanyakan apa-apa sahaja kepada TMJ. Langkah bijak ini mengurangkan spekulasi dan gosip media yang tidak benar.

18. Memimpin Dengan Telus Dan Bersikap Terbuka.

Setiap kali memulakan sesi pertemuan dengan penyokong dan wartawan, TMJ berkata, “Macam biasa, tanyalah apa yang awak hendak tanya; tentang JDT, apa sahaja.” Sikap baginda itu menyebabkan pelanggan (penyokong) berasa yakin, terjamin, dan selamat apabila bersama-sama JDT. Tidak cukup dengan itu, TMJ membuka hak pemilikan kelab kepada penyokong melalui sebuah yayasan.

19. Menumpukan Gerak Kerja Bagi Mencapai Visi.

Lazimnya, apabila sesebuah organisasi menjadi maju, banyak pihak mahu mendapatkan sesuatu. Ada yang menawarkan kerjasama, dan ada yang cuba meruntuhkan semangat. Tawaran kerjasama boleh dipertimbangkan, tetapi cubaan meruntuhkan semangat tidak dilayan oleh TMJ. Baginda berpesan kepada ahli pasukan supaya fokus kepada visi tanpa mempedulikan kata-kata negatif.

20. Mengabaikan Gangguan.

Bagi menyatukan Bangsa Johor dengan bolasepak, TMJ mahu supaya bangsa ini memiliki identiti yang unik. Antara keunikan itu adalah menggunakan pemikiran paralel (parallel thinking) apabila berhadapan dengan peminat gelap (haters). Berkali-kali TMJ mengingatkan supaya penyokong JDT tidak mempedulikan mereka, sebaliknya fokus kepada kejayaan pasukan. (Nanti mereka tiru juga.)

21. Memilih Pasangan Yang Baik.

Choose your lady wisely. She represents you.

Demikian kata-kata TMJ yang ditafsirkan oleh sesetengah pengguna Facebook sebagai sindiran kepada tokoh tertentu. Carilah siapa gerangan YM Che Puan Khaleeda binti Bustamam, isteri TMJ dari kalangan rakyat biasa. Selepas itu, baru kita faham mengapa semakin banyak rezeki dan kejayaan memihak kepada TMJ.

Ada lagi yang ingin ditambah? Boleh nyatakan di ruangan komen.