Selepas artikel berkenaan dengan kegagalan saya mendapatkan biasiswa sebanyak 43 kali itu disiarkan, berpuluh-puluh yang cuba mendapatkan respon, meluahkan rasa, meminta pendapat dan sebagainya.

Seminggu juga diambil masa untuk menjawab pertanyaan yang diajukan tetapi tidak semua dek kekangan masa dan komitmen.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca: Akhirnya Saya Berjaya Sambung Belajar Selepas 43 Kali Gagal Mohon Biasiswa PhD

Oleh kerana tidak mempunyai kesempatan untuk memberitahu secara terperinci maka saya diminta untuk cuba menerangkan disini sekali lagi. Moga-moga ada sedikit manfaat buat semua.

Sebenarnya selain daripada biasiswa utama daripada kerajaan Malaysia seperti Mybrain, Slab/Slai, JPA, YDP Agong, dan MARA, terdapat banyak peluang biasiswa lain di luar sana.

Buktinya saya sendiri berjaya mendapatkan tawaran biasiswa antarabangsa selain daripada tajaan pihak kerajaan. Formula untuk mencari dan mendapatkan biasiswa ialah Peka & Cuba.

Tawaran biasiswa selalunya dibuka pada awal tahun sehingga pertengahan tahun dan tempohnya sekejap. Jadi sentiasalah peka dengan setiap tarikh tutup tawaran dan syarat yang dikenakan.

Konsep memburu biasiswa ialah cuba sahaja sebanyak yang mungkin. Belum cuba, belum tahu. Saya sendiri gagal diterima untuk 39 biasiswa, tetapi tidak bermakna akan gagal buat selamanya kerana akhirnya saya berjaya mendapat 4 tawaran biasiswa lain.

cara-mohon-biasiswa-phd-2
Selfie sewaktu temuduga biasiswa kerajaan Taiwan

Saya akan terangkan caranya di bawah.

1. Sediakan semua dokumen dalam 1 fail

Sediakan kesemua dokumen seperti sijil pengenalan diri, akademik, dokumen sokongan, proposal kajian pengajian dan surat sokongan penyelia di dalam satu fail khusus untuk memudahkan proses mengisi borang.

Tidak perlu tercari-cari dokumen tersebut lagi untuk memohon biasiswa seterusnya.

Apa yang boleh dibuat adalah menyunting sahaja maklumat pada borang-borang biasiswa tersebut oleh kerana kebanyakan permohonan biasiswa adalah di atas talian dan ada juga yang perlu diposkan.

2. Tampilkan kelebihan diri

Sewaktu mengisi borang biasiswa, jadilah cekap dalam pengurusan masa dan teknik untuk menjadikan diri mempunyai kelebihan tersendiri berbanding dengan orang lain.

Pengalaman ketika memohon biasiswa ke luar negara untuk peringkat sarjana, letakkan bidang kemahiran tidak hanya kepada satu pengkhususan.

Contohnya, ijazah sarjana muda saya adalah Perancangan Bandar dan Wilayah. Manakala pengkhususan dijustifikasikan adalah perumahan, perancangan pelancongan dan perancangan bencana.

Atas faktor ini saya memilih untuk melanjutkan sarjana dalam jurusan hartanah dan perancangan bandar dan untuk peringkat PhD pula geografi perbandaran.

3. Pilih kursus yang kurang persaingan dan ada nilai akreditasi

Pemilihan kursus juga penting dalam menarik minat panel pemilih agar jatuh cinta pandang pertama pada resume kita.

Pilih kursus yang mempunyai nilai pasaran kerja dan jarang kebanyakan orang memilihnya supaya kurang persaingan.

Pilih juga kursus yang mempunyai akreditasi daripada pihak penilai luar atau badan professional sebagai contoh Royal Town Planning Institute, Royal Institute of Chartered Surveyor, Malaysia Institute of Planner dan seumpanya bagi jurusan seperti saya supaya adanya nilai komersial untuk mendapat pengiktirafan.

Selain itu, ia merupakan alasan kukuh untuk berhujah di hadapan panel pemilih.
Ironinya, bukannya niat untuk mempromosikan diri tetapi perkara ini merupakan contoh bagaimana cara untuk mengalih segala kekurangan dan menjadikan ia sebagai kekuatan.

Dalam permohonan biasiswa, kita perlu ‘menjual diri’ untuk menarik perhatian pihak penaja tetapi ia perlu dilakukan dengan berhemah, bermaruah dan kelihatan bijak.

Sebenarnya kalau ditaip di laman Google dengan ‘Scholarships for Malaysians’, pasti akan terjumpa banyak tawaran biasiswa yang berkaitan.

Ada tawaran daripada negara, universiti, institusi, yayasan, syarikat dan sebagainya untuk tajaan pengajian di dalam mahupun di luar negara.

Jika menaip ‘Scholarships for international students’, anda akan turut akan menjumpai pelbagai tawaran biasiswa daripada universiti atau institusi luar negara khas untuk pelajar antarabangsa.

Tetapi berdasarkan pengalaman saya, agak sukar sebenarnya untuk memperolehi biasiswa dengan cara seperti ini kerana biasiswa seperti ini terlalu umum dan peratusan untuk berjaya juga agak tipis kerana jutaan orang akan mengaksesnya.

Saya mencari alternatif lain dengan memfokuskan kepada penaja yang kurang diketahui umum. Strategi ini juga sesuai kepada golongan yang mempunyai latar belakang akademik sederhana seperti saya.

Jika anda mempunyai keputusan akademik yang cemerlang seperti penerima anugerah diraja, dan gred skor kelas pertama pasti tidak mempunyai masalah untuk bersaing untuk merebut biasiswa terkenal seperti Chevening Award dan Fullbright.

cara-mohon-biasiswa-phd-3

Di sini saya jelaskan strategi ‘rare’ saya untuk mendapat beberapa biasiswa dari luar negara.

1. Kedutaan setiap negara

Cuba semak di setiap laman web atau pergi terus ke pejabat kedutaan setiap negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Boleh juga hanya menelefon dan menghantar email kepada sekretariat yang terlibat.

Pesanan saya cuba mohon biasiswa dari negara yang kurang popular seperti Taiwan, China, Iran, Turki, Belanda, Brunei dan negara Eropah yang menawarkan kos yuran pengajian percuma seperti Finland, Jerman, Norway yang mana ada peruntukan elaun sara hidup buat pelajar.

Cuma ia tidak diiklankan secara umum atas faktor-faktor tertentu. Masih ramai yang tidak tahu tentang perkara ini.

Saya mohon biasiswa daripada Kementarian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Sains dan Teknologi (MOST) dari Taiwan. Syukur kedua-duanya berjaya dapat.

Boleh semak iklan biasiswa ini bermula dari februari setiap tahun. Selain itu, permohonan saya turut disenarai pendek hingga peringkat terakhir untuk biasiswa kerajaan Korea (KGSP) tetapi gagal dalam ujian fasa akhir bahasa Korea.

Pesanan saya, cuba ubah haluan berfikir dari melihat negara terkemuka seperti United Kingdom, Australia dan United State sahaja dalam permohonan biasiswa dan tempat belajar.

Cubalah mohon ke negara-negara yang agak kurang popular ini melalui tawaran iklan tertutup daripada pejabat kedutaan itu sendiri.

Jangan terkejut kerana universiti Taiwan yang ditawarkan kepada saya, juga berada dalam kedudukan 100 terbaik dunia.

Saya cabar kalian pergi ke Mexico, Arab Saudi (masih dibuka), Iran, UAE, dan mungkin kutub utara selatan seperti Greenland, Finland.

2. Peruntukan tersendiri universiti

Untuk makluman, setiap universiti dan fakulti mahupun institut penyelidikan university sememangnya mempunyai peruntukan tertentu dalam memberi tajaan khususnya di peringkat pasca siswazah.

Keperluan untuk mendapatkan tutor, felo dan penyelidik, dalam menjalankan sesuatu projek penyelidikan adalah tinggi bagi sesebuah universiti.

Terdapat fakulti yang menawarkan geran penyelidikan bersama dengan tajaan untuk pengajian.

Saya mendapat tawaran biasiswa daripada National Cheng Kung University di Tainan yang menawarkan pembiayaan kos yuran pengajian dan elaun sara hidup.

Apa yang boleh dilakukan adalah dengan menyemak di setiap fakulti universiti sekiranya ada yang menawarkan skim sebegini.

3. Geran penyelidikan pusat pengajian

Cara lain adalah dengan menghantar email kepada dekan fakulti, timbalan dekan (akademik) ketua jabatan atau pensyarah yang berpontensi sebagai penyelia sambil bertanyakan sekiranya ada kekosongan geran penyelidikan di bawah beliau.

Mulakan dengan memperkenalkan diri, latar belakang akademik dan yatakan bidang kepakaran.

Kemudian, tanya mengenai hal untuk menjadi pembantu penyelidik, tutor, atau sebagainya.

Saya sendiri telah menghantar email seperti ini kepada lebih daripada 50 ahli akademik untuk bertanyakan mengenai geran penyelidikan.

Tidak dapat dinafikan bukan mudah untuk melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi khususnya dibawah tajaan kerajaan Malaysia berikutan situasi negara yang berada di dalam ketidaktentuan ekonomi dan kejatuhan mata wang ringgit.

Walau apa sekalipun, kata kuncinya adalah jangan hanya melihat pada kekangan sahaja tetapi jadilah orang yang oportunis yang bijak mencari alternatif.

Bak kata pepatah, yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang. Malaysia Boleh!

Hidup untuk keras melawan.
Mohd Muzzammil Ismail
Felo Akademik, Universiti Utara Malaysia
Pusat Pengajian Kerajaan, Jabatan Pengurusan Pembanggunan

Baca lagi: 11 Petua Menyiapkan Penulisan Tesis PhD Dalam Masa 3 Bulan