Ingat lagi, saya menjejaki bumi Scotland pada tahun 1990. Setahun di sekolah Morrison’s Academy, Crieff. Bulan Julai 1996, saya menerima ijazah sarjana perubatan dari University of Edinburgh setelah 5 tahun.

Selepas itu, bekerja di Glasgow. Gambar, atas kiri adalah tempat saya tidur semasa menjadi Houseman 6 bulan. Teringat saya semasa itu sampai tak tengok dunia luar.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Hidup saya di dua tempat sahaja: samada di wad, atau di bilik berehat dan tidur. Enam bulan selebihnya saya di Edinburgh Western General Hospital. Semuanya nostalgia.

Pejam celik dah hampir 21 tahun saya menjadi seorang Doktor. Perjalanan kareer ini memerlukan banyak sangat pengorbanan. Allah sahaja yang tahu.

Baru-baru ini kami dikejutkan dengan seorang lagi pegawai perubatan kemalangan jalanraya selepas on-call, bekerja 33 jam. Al-Fatihah untuk beliau.

Yang belum pastinya adalah apakah punca sebenar kemalangan. Ya memang ramai mengaitkannya dengan on-call. Tetapi hakikatnya inilah kehidupan kami.

Senang kita kata tukar itu ini, tetapi realitinya susah untuk direalisasikan. Hospital tak akan boleh tutup lepas pukul 5pm! Orang sakit bukan mengira masa.

Beginilah, apa sistem pun bukan semua orang akan setuju. Sementara kita tunggu apakah langkah seterusnya, saya memohon agar:

1. Masyarakat

Elakkan datang hospital waktu malam jika bukan betul-betul kecemasan. Ada yang tunggu anak balik ke kampung atau pulang kerja untuk dibawa ke hospital. Masa itu, dah tenat. Rawatan menjadi sukar dan rumit.

Takat demam selsema, sakit hujung tumit kaki ke, elok pergi klinik biasa. JANGAN ganggu Jabatan Kecemasan terutamanya datang tengah-tengah malam.

Ikut nasihat Doktor yang merawat. Kalau Doktor Pakar Buah Pinggang kata perlu dialisis, terus kan sahaja lah. Jangan nak pergi cuba Gilamaxx, ***out, P***ga, homeopati, bomoh bagai.

Lepas itu, tengah-tengah malam datang hospital semua nak buat secepat mungkin. Masa itu lah risiko komplikasi tinggi. Tak pasal-pasal Doktor tak tidur malam menyelesaikan masalah yang anda sendiri wujudkan dan boleh elakkan.

2. Nasihat saya untuk Ketua-Ketua Unit

Mohon semua lebih peka kepada keperluan anak-anak buah anda. Perjuangkan lah nasib mereka. Mereka bergantung kepada anda. Ayat-ayat bermula “during my time…..” tak boleh pakai sudah.

Kalau biasa oncall “jonah” dan keadaan unit itu memang sibuk, saya cadangkan berikan mereka tidur atau rehat secukupnya hari selepas itu. “Power nap” pun sudah cukup. Boleh saja digunakan bilik oncall itu untuk berehat.

3. Nasihat saya kepada para Doktor dan pengamal perubatan

Bukan hanya Doktor yang kerja malam ye, staf sokongan juga ada. Kalau penat, beritahulah Boss anda. Insyaallah mereka akan tolong anda. Hargai lah diri sendiri. Kalau tak larat, jangan memandu. Jangan paksa diri. Uber, Grab, atau mohon orang lain ambil dari tempat kerja.

Nasihat saya ini ditujukan untuk semua orang yang bekerja malam; bukan hanya pengamal perubatan. Nak mencari rezeki bukan senang.

Siapa lah yang akan menjaga kita, kalau bukan diri kita sendiri. Jika diri sendiri pun tak terjaga, macamana lah nak menjaga orang lain.

Sekadar pesanan.

Rafidah Abdullah
Pakar Perubatan & Buah Pinggang

Baca lagi: Kita Bakal Hilang Ramai Doktor Berbakat Jika 2 Perkara Ini Tidak Ditangani Segera