Hari ini duit gaji saya dah masuk. Ingat bulan ini nak simpan sikit untuk buat modal beli rumah nanti. Jadi, saya kena keluarkan dulu duit untuk bayar hutang dekat bank.

Saya nak buat kira-kira kejap, berapa nak keluarkan duit di ATM ini?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Gaji bersih saya RM 2800. Ini pula hutang-hutang yang wajib saya bayar setiap bulan:

1. Hutang kereta: RM 800
2. Hutang pembiayaan peribadi: RM 300
3. Hutang PTPTN: RM 200

Jadi, kena keluar RM 1300 untuk bayar di bank. Alamak baru teringat, pemilik rumah dah minta awal sewa rumah, kena keluarkan lebih ini.

Maka, perlu keluarkan lagi RM500 untuk sewa rumah. Jumlah keseluruhan kena keluar ialah RM1800.

Semasa perjalanan balik kerja, ada pasar malam lah. Tak apalah spend sikit beli makanan luar hari ini, bukan selalu. Pakai dululah duit yang baru dikeluarkan tadi.

Fuh! Tak sangka pula dah spend RM 30 di pasar malam.

Sampai di rumah, isteri beritahu tentang kehabisan barang dapur:

“Bang, barang dapur dah habis. Abang baru dapat gaji kan, malam ini kita pergi beli barang sikit di Tesco ya. Susu dengan pampers anak pun kena beli gak.”

“OK sayang, lepas maghrib kita gerak,” jawab saya.

Di kaunter Tesco, perbelanjaan beli barang dapur cecah 3 angka:

“Bang total semua RM 450″

“Pakai dululah duit yang abang cucuk tadi ni, nanti abang cucuk balik kalau tak cukup nak bayar pada bank,” balas saya.

Dalam perjalanan balik, isteri teringin sesuatu pula:

“Bang rasa teringin pula nak makan pizza, boleh ya bang, bukan tiap hari saya minta,” katanya dengan nada mendayu-dayu.

“Makanan yang kat pasar malam tadi kan ada lagi?” soal saya.

“Bukan selalu saya minta abang, takkan tu pun nak berkira,” isteri seakan merajuk.

“Hmm yalah, nah ambil RM 50 ini, awak belilah apa yang awak mengidam tu,” ujar saya kembali.

Tit tit tit tit. Skrin lampu bercahaya. Terima mesej pesanan ringkas:

En Farid, duit insurans RM 300/bln dah boleh bayar, bayar sebulan dulu pun tak apa. Dah 2 bulan pending payment ni.

Alamak, baru teringat yang duit insurans saya tak bayar lagi. Nak terminate nanti saya tak ada perlindungan pula kalau jadi apa-apa nanti. Tak apalah kejap lagi saya transfer online pada ejen takaful ini.

bajet

Sampai di rumah, saya duduk dan kira semula perbelanjaan hari ini. Saya takut terlebih pakai duit.

1. Hutang kereta: RM 800
2. Hutang pembiayaan peribadi: RM 300
3. Hutang PTPTN: RM 200
4. Sewa rumah: RM 500
5. Pasar malam: RM 30
6. Belanja barang dapur, susu dan pampers anak: RM 450
7. Isteri nak makan pizza: RM 50
8. Insurans: RM 300

Jumlah hari ini dah pakai ialah RM 2630.

Alamak! Ada baki lagi dari gaji RM 170. Ni saja yang ada untuk isi minyak pergi kerja selama sebulan. Nampak gayanya tak dapat saya nak simpan duit bulan ini. Tak apalah saya cuba simpan bulan depan pula.

Pengajaran dari kisah ini ialah:

Kesalahan yang di lakukan:
❌ Membuat simpanan selepas berbelanja dan membayar komitmen.
❌ Komitmen bank yang tinggi especially kereta ditambah dengan pembiayaan peribadi.
❌ Membayar kos takaful yang tinggi.

Sepatutnya:
✅ Menyimpan dahulu selepas dapat gaji dan sebelum berbelanja.
✅ Komitmen bulanan kereta seharusnya tidak melebihi 15% dari gaji.
✅ Komitmen bulanan takaful seharusnya tidak melebihi 10% dari gaji.

Maka, jangan jadi macam ‘saya’.