Xiaomi bukanlah sebuah syarikat yang sudah lama bertapak di dalam industri. Dibangunkan pada tahun 2010, syarikat yang bertapak di Beijing ini tidak mengambil masa yang lama untuk berjaya membuka mata orang ramai dengan penawaran barangan elektronik dan smartphone dengan harga yang berpatutan.

Kehadiran Hugo Barra pada tahun 2013 sedikit sebanyak telah merancakkan lagi bisnes syarikat China. Untuk pengetahuan anda beliau merupakan watak penting dalam memasarkan smartphone keluaran Xiaomi ke serata dunia. Terima kasih Hugo Barra, tanpa beliau mungkin pengguna tidak dapat dapat menikmati smartphone dengan spesifikasi hebat pada harga mampu milik. 

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
Hugo Barra selaku Vice President Xiaomi bermula 2013 sehingga 2017

Apa yang membuatkan saya tertarik dengan syarikat Xiaomi ini adalah bagaimana syarikat ini berjaya menukarkan sentimen produk keluaran China yang dianggap tidak berkualiti kepada premium dan mampu milik.

Selain spesifikasi yang ditawarkan, saya turut teruja melihat bagaimana syarikat ini melakukan pemasaran dengan gimik-gimik yang berjaya menarik perhatian orang ramai seperti flash sales, penggunaan media sosial dengan lebih kretif serta pembelian atas talian bagi mengurangkan kos operasi.

Berdasarkan usaha yang ditampilkan Xiaomi, tidak hairanlah syarikat ini berjaya dinobatkan sebagai syarikat yang paling cepat meningkat naik pada tahun 2014 dengan nilai syarikat sebanyak $46 billion USD.

Tidak cukup dengan sekadar menawarkan peranti beharga rendah, usaha Xiaomi untuk membantu orang ramai terus berkembang dengan penawaran barangan kelengkapan rumah seperti pembersih udara, periuk nasi pintar serta lampu pintar dengan harga mampu milik.

Pada pendapat saya, selagi sesebuah syarikat ini berjaya menyelesaikan masalah orang ramai, menawarkan proses yang cepat, produk yang berkualiti dan murah syarikat tersebut akan terus berkembang dengan jayanya namun ternyata telahan saya salah selama ini.

Mereka juga terpaksa menanggung risiko tentang masa depan syarikat mereka di masa akan datang berikutan keputusan yang dibuat.

Sebab disebalik apa yang menimpa Xiaomi

Seperti apa yang anda tahu, misi Xiaomi adalah meningkatkan bilangan pengguna dengan penawaran smartphone berspesifikasi tinggi dengan harga yang berpatutan. Ternyata USP mereka tidak cukup kuat untuk membuatkan mereka bertahan lama di dalam industri.

Segala usaha keras yang dilakukan Xiaomi tidak menghalang syarikat besar China ini untuk tidak mempunyai prestasi yang baik. Jumlah penjualan Xiaomi berkurang 5% pada Q1 2016 dan semakin susut sehingga 38% pada suku bulan kedua 2016.

Mereka juga terpaksa menerima hakikat dimana mereka tidak lagi tersenarai di dalam 5 jenama terbaik dalam penjualan smartphone. Berikut merupakan 3 sebab yang menggangu perjalanan bisnes Xiaomi di masa akan datang.

1. Menjual smartphone dengan margin yang rendah

Menawarkan smartphone dengan margin yang rendah turut menjejas masa depan Xiaomi. Hasilnya, mereka tidak mampu untuk membuat pemasaran dengan lebih meluas yang secara tidak langsung bakal meningkatkan kos penjualan sesebuah smartphone.

Pemasaran yang kurang dari pelbagai media membuatkan Xiaomi semakin ketinggalan berbanding Vivo dan Oppo yang lebih banyak berbelanja untuk pemasaran.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan yang ditawarkan, pelanggan Xiaomi kini telah mula beralih arah kepada smartphone yang lebih premium dimana Xiaomi gagal untuk realisasikan kehendak pelanggan.

Saya yakin Xiaomi mampu lakukan pemasaran yang meluas serta hasilkan smartphone yang lebih premium, namun menawarkan harga yang rendah pada masa yang sama dilihat agak tidak realistik dan sukar.

2. Terlalu banyak promosi

Siapa sahaja tidak suka promosi. Tidak dinafikan promosi berjaya meningkat penjualan namun tahukah anda promosi juga mempunyai keburukannya jika dilakukan dengan kerap?

Penawaran barangan dengan harga diskaun secara kerap turut mengajar pengguna untuk cuma berbelanja ketika waktu promosi sahaja. Hasilnya, penjualan smartphone Xiaomi cuma meningkat naik ketika promosi dan sewaktu keluarnya smartphone terbaru sahaja.

Berdasarkan apa yang berlaku pada Xiaomi, kini baru saya faham mengapa Apple jarang melakukan flash sales. Keputusan untuk mengurangkan harga model terdahulu ternyata berjaya setelah iPhone 6S masih dibeli pengguna meskipun iPhone 7 sudah dilancarkan.

3. Kekurangan peminat

Tidak dinafikan, Xiaomi telah banyak menjual smartphone mereka. Kini, boleh dikatakan sebahagian besar pengguna Malaysia juga menggunakan peranti Xiaomi. Dalam pada itu, Xiaomi ternyata gagal untuk menarik perhatian pengguna untuk menjadi peminat atau dalam istilah bisnesnya adalah ‘raving fans‘.

Keputusan pengguna untuk memilih smartphone Xiaomi berdasarkan spesifikasi dan harga secara tidak langsung membuatkan pengguna mudah beralih kepada jenama yang lain.

Masalah ini saya lihat kurang terjadi kepada jenama-jenama besar yang lain seperti Samsung, Apple dan juga Sony. Ketiga-tiga syarikat ini berjaya membuatkan pengguna membeli berulang kali meskipun menawarkan smartphone dengan harga yang sedikit mahal.

Masa depan Xiaomi

Agak sukar untuk menjangkakan masa depan syarikat lebih-lebih lagi jika syarikat tersebut merupakan syarikat teknologi. Seperti yang anda tahu, niche teknologi merupakan niche yang paling cepat naik dan turun di dalam industri bisnes. Mana-mana syarikat gagal mengikuti trend bakal menimpa nasib yang sama seperti Nokia.

Mujur sekarang Nokia sudah ‘insaf’ dan mula membuat comeback dengan smartphone mengikut citarasa pengguna.

Saya lihat Hugo Barra tinggalkan Xiaomi sejurus selepas Xiaomi mula memasuki fasa Maturity. Sepanjang 3.5 tahun beliau telah berjaya meningkatkan kredibiliti sebuah syarikat smartphone China kepada pencabar jenama besar smartphone.

Kini tugas berat bakal dipikul Xiang Wang untuk memastikan Xiaomi terus bertahan di dalam industri untuk jangka masa yang panjang. Dikatakan pemasaran yang lebih meluas serta pengeluaran smartphone yang lebih premium antara misi yang bakal dibawa Xiang Wang.

Melihat kepada pelan yang dibawa Xiang Wang agak mustahil untuk Xiaomi mengekalkan konsep harga yang rendah seperti yang dilakukan. Walaubagaimanapun, saya masih optimistik terhadap Syarikat Xiaomi setelah apa yang dilakukan sepanjang 5 tahun terakhir ini di dalam industri smartphone. Selamat berjaya Xiaomi!