Mengapa doktor lelaki bertugas di dewan orang bersalin? Sudah tiada doktor perempuan kah? Tahu tak itu semua aurat?

Pastinya persoalan-persoalan itu selalu menerjah status-status media sosial saban tahun. Nampak gayanya macam tiada kesudahan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tapi sebelum nak menyalahkan mana-mana pihak, adakah anda benar-benar faham akan keperluan mengapa doktor lelaki perlu belajar dan tahu sambut kelahiran bayi?

Ini saya petik dengan izin daripada Dr. Afiq Rahim tentang sebab-sebab mengapa doktor lelaki bertugas di dewan bersalin. Semoga bermanfaat.

1. Teori tidak sama seperti praktikal

Ada pihak mengatakan ilmu perbidanan di sekolah perubatan sudah memadai untuk mengajar pelajar perubatan. Maka tidak perlu doktor lelaki menyambut kelahiran wanita. Lagi-lagi doktor pelatih/pelajar perubatan yang kerjanya asyik nak menyeluk sahaja dengan alasan mahu belajar.

Masyarakat perlu faham bahawa ilmu perubatan adalah sangat kompleks. Pengajian perbidanan di sekolah perubatan masih menghadkan penglibatan pelajarnya kepada ‘real-life situation’ demi mengurangkan risiko tindakan perundangan kepada sekolah tersebut.

Mannequin atau patung latihan, video dan segala teknologi yang digunakan untuk mengajar hanya dapat menyiapkan pelajar tersebut sebanyak 40% yang mana kebanyakkannya dipelajari secara TEORI bersama limitasi PRAKTIKALITI.

Seusai para pelajar ini menghabiskan pengajian perubatan maka mereka memerlukan baki 60% lagi iaitu pengalaman dan aplikasi TEORI yang dipelajari di sekolah perubatan dalam menguruskan pesakit sebenar untuk memberikan keyakinan dan menjadi doktor yang kompeten serta mengurangkan risiko melakukan kesilapan pada masa hadapan.

2. Lokasi penempatan tempat bertugas

Pada masa ini, doktor-doktor pelatih terutama lelaki bujang selepas menghabiskan tempoh latihan mereka selama dua tahun akan ditempatkan di kawasan-kawasan yang kurang kemudahan asas kesihatan atau kawasan terpencil seperti di Borneo.

Ada sebahagiannya ditempatkan di kawasan pedalaman yang jauh daripada perkhidmatan hospital. Kebiasaannya mereka ini ditempatkan berseorangan di klinik kesihatan yang jauhnya beratus kilometer daripada bandar besar.

Takkan nak tempatkan doktor perempuan di kawasan pedalaman berseorangan. Bagaimana pula doktor perempuan yang telah berkeluarga. Pihak KKM tetap prihatin akan dilemma ini dan ianya ternyata sukar diselesaikan.

Tidak dinafikan dengan lambakan doktor selepas tamat latihan nanti, kemungkinan besar, pihak KKM akan tetap menghantar juga doktor-doktor perempuan ini ke kawasan tersebut untuk memenuhi keperluan semasa khidmat kesihatan di negara kita.

Buat masa ini, sekiranya berlaku kes-kes ibu bersalin di kawasan mereka, jururawat masyarakat akan mengendalikan dahulu kes tersebut dan merujuk kepada doktor-doktor ini untuk tindakan susulan jika perlu.

Oleh itu, jika doktor-doktor lelaki ini tidak pernah menjalani latihan di jabatan perbidanan, apakah mereka ini dapat menguruskan ibu bersalin dengan baik tanpa sebarang pengalaman dan bantuan pakar?

Ya, doktor tersebut boleh menghubungi pakar untuk konsultasi akan tetapi bagaimana berlakunya kes kecemasan seperti tumpah darah selepas bersalin. Mengetahui teori dan pengalaman praktikal yang sedikit sahaja belum tentu membantu doktor tersebut menyelamatkan nyawa pesakitnya.

3. Selamatkan pesakit adalah matlamat utama

Bidang perbidanan ini melibatkan dua nyawa iaitu ibu dan anak yang dikandungkannya. Jika doktor lelaki ini kurang pengalaman, bagaimana dia boleh membuat keputusan tepat pada saat getir demi menyelamatkan nyawa pesakitnya?

Saya masih bersetuju, doktor lelaki hanya dibenarkan merawat pesakit perempuan dalam keadaan darurat sahaja atau masalah tertentu.

Namun, perlu kita berikan perhatian bahawa doktor lelaki ini juga perlulah mempunyai ilmu dan kemahiran asas serta terlatih terlebih dahulu sebelum diberi tanggungjawab mengendalikan sebarang kes perbidanan.

Kita tidak mahu terjadi kecelakaan kerana kecelaruan masyarakat dalam memahami maksud darurah seperti di Arab Saudi. Sebuah tragedi kebakaran di asrama perempuan dan akhirnya semua penuntut perempuannya mati terbakar.

Sebab apa? Sebab Bomba tidak dibenarkan masuk kerana BOMBA KESEMUANYA LELAKI.

Anda boleh baca artikel penuh di blog Dr. Afiq Rahim