Aku baru dapat update pasal kejadian tragedi pagi tadi selepas seharian aku agak sibuk hari ni. Ianya rentetan tragedi kebakaran yang berlaku di Grenfell Tower London yang berlaku dalam lingkungan kawasan kejiranan tempat aku tinggal saja. Untuk ke lokasi, aku hanya mengambil masa 20 minit berjalan kaki.

Pagi tadi aku tergerak hati untuk pergi menyaksikan dan merasai sendiri suasana di tempat berlakunya kejadian tragedi kebakaran yang berlaku. Kejadian ini telah menggemparkan dunia secara amnya. London antara negara yang menitikberatkan keselamatan tempat tinggal, terutama yang berkaitan dengan sistem mengelak kebakaran.

Tetapi bagaimana hebat pun manusia tetap ada kekurangannya, aku tidak mahu tulis bab teknikal di sini kerana bukan itu yang nak disampaikan. Lagipun punca kebakaran masih di siasat.

Bukan senang. Blok bangunan setinggi 24 tingkat dan mempunyai 120 buah flat. Bukan kecik anak, mayat pula kalau dah rentung jadi abu dan bercampur pula dengan abu alat perabut dan segala jenis abu lagi? Allahurabbi. Betapa sukarnya para petugas yang bakal menjalankan siasatan nanti.

Ada beberapa perkara menarik yang aku ingin kongsikan. Ia berkaitan bagaimana kejadian ini sebenarnya membuka mata masyarakat tentang Muslim.

Imej masyarakat Muslim di sini rata-rata agak tercalar kerana di kaitkan dengan beberapa siri serangan yang berlaku akhir-akhir ini di sini. ‘Terrorist’ atau pengganas dikaitkan. Nauzubillah. Islam tidak pernah menggalakkan sebarang bentuk keganasan. Tiada ajaran sebegini dalam Al-Quran.

Allah maha besar. Dalam tragedi ini, ada sisi lain yang boleh kita renungkan dan ambil iktibar.

1. Kalau bukan sebab seorang budak lelaki Islam yang baru balik dari menunaikan solat di masjid mengejutkan para penghuni Grendfell Tower, dipercayai lebih ramai yang akan mati.

Ini keranan kejadian berlaku lebih kurang jam 1 pagi, saat ramai yang tengah nyenyak tidur dan ada juga yang kemungkinan besar sedang bersahur. Waktu imsak sini lebih kurang jam 2 pagi.

Penghuni dipercayai terdiri dari pelbagai etnik dan agama. Flat ini merupakan City Council House, iaitu penempatan yang disediakan oleh kerajaan untuk penduduk yang berpendapatan rendah dan sederhana. Lebih kurang begitulah, kalau silap tolong betulkan.

2. Semasa dalam perjalanan aku guna Google Maps. Sikit lagi nak sampai, internet lost connection. Aku cuba jalan sendiri ikut arah bangunan tu. Sebab aku dah nampak separuh bangunan yang penuh dengan asap dari celah-celah bangunan lain.

Makin jalan makin jauh aku rasakan. Kaki mulai penat dan aku berhenti sekejap, duduk di satu bangku. Mungkin sebab puasa dan cuaca yang agak panas hari ini, tu yang jadi penat sikit.

Kawasan ini dipenuhi deretan kereta bomba dan para petugas berehat. Aku duduk sendirian memerhati keadaan keliling. Hingar dengan bunyi siren dan helikopter yang berlegar diudara.

Tiba-tiba 2 orang perempuan mat saleh dan seorang warga kulit hitam yang sedang berjalan, berhenti lalu menegur aku. Diorang tanya samada aku ok atau tidak. Mereka ingat aku tengah lost sebab ada keluarga yang terbabit dalam kebakaran.

Aku pun bagitahu aku cuma nak berehat sekejap je. Aku tengok muka diorang semua ni sugul. Rupanya keluarga dan kawan-kawan mereka ada terlibat dalam tragedi, ada yang kritikal di hospital dan ada yang masih gagal dihubungi. Aku rasa sebak dalam tekak, aku dapat rasai kesedihan mereka bertiga.

Aku bagitahu mereka aku dari Malaysia. Aku juga sampaikan salam simpati dan turut bersedih mewakili umat Islam seluruhnya. Diorang peluk aku dan cakap “I know Muslim are not terorist“.

Salah seorang dari mereka menunjukkan plastik berisi makanan panas dan sebotol mineral Evian bersaiz 1.5 liter, setiap seorang menjinjit plastik yang sama.

Katanya ini buah tangan pemberian beberapa orang Muslim yang menghulurkan bantuan. Mereka memuji pemuda-pemuda Islam yang menyantuni mereka dengan sangat baik. Cukup untuk membuat aku bahagia mendengarnya. Berbunga-bunga hati ini. Alhamdulillah Allah memberi perspektif baru buat mereka tentang penganut Islam.

3. Semasa aku berada di lokasi. Aku lihat sendiri bagaimana anak-anak muda Islam sedang mengagihkan pizza dan kopi kepada ahli keluarga, kawan dan kenalan mangsa yang berada di sekitar kawasan.

Mereka datang dekat dan menyapa, memberi salam. Pakaian mereka biasa-biasa sahaja, ada yang gaya hip hop dan ada yang bertopi. Standard style anak mat saleh la, macam-macam ada. Kebanyakan mereka berbangsa Arab dan Somalia.

Aku bersyukur dengan apa yang aku saksikan berlaku di bumi London ini. Pelbagai ilmu dan ibrah yang aku perolehi. Setiap kejadian itu ada hikmahnya.

Cukuplah aku coretkan sedikit perkongsian ini. Let spread the love. Tonton video di bawah. Perempuan tu bercerita tentang seorang budak lelaki yang baru balik dari masjid.

 

Baca kisah di sebalik Kenapa Aku Merantau Dan Kini Berada Di London