Saya kongsikan di sini tip travel ke Korea untuk rujukan korang. Ini merupakan trip kali ke 4 saya ke negara ini. Saya dan kawan travel sendiri di Korea tanpa tour guide.

Pengangkutan awam

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

1. Medium pengangkutan utama di Korea adalah train (subway). Jadi mesti download apps ‘Subway’ kat Google Playstore. Tak perlu susah-susah nak fahamkan route subway yang berselirat tu. Pakai je apps ini sepanjang di Korea, insyaAllah tak sesat. Apps tu boleh juga guna offline.

2. Dah namanya naik subway, mestilah kadang-kala kena transfer dan tukar line. Klik ‘detail’ kat apps tu, dia ada bagitau gerabak mana yang terdekat untuk transfer line. Kalau boleh cari gerabak tu, tak ada lah jauh sangat nak jalan semata-mata untuk transfer line.

3. Kos naik subway paling murah kalau nak dibandingkan dengan kos naik bas atau teksi. Tapi, kalau travel dalam kumpulan seramai  4 orang dan jarak antara stesen cuma 1 atau 2 stesen, seelok-eloknya naik saja teksi sebab tambang teksi 3,000 won bahagi 4 = 750 Won seorang. Kalau naik subway, tambang permulaan 1,250 won seorang walaupun cuma satu stesen. Dah boleh jimat 500 Won kat situ.

Ni lah dia apps ‘Subway’ tersebut. Tanda biru bermaksud stop yang ada, tanda oren bermaksud transfer line.
Fokus kat column merah tu. Gerabak terdekat untuk transfer line adalah 5 car 1 door.

4. Tapi kalau nak naik teksi, pastikan naik teksi oren. Jangan naik teksi hitam sebab teksi tu mahal. Harga di meter teksi Korea adalah 2,800 Won. Kalau takut kena tipu, tanya awal-awal berapa tambang ke destinasi yang nak dituju. Kalau dia cakap ikut meter, should be okay.

5. Tambang Airport Limousine Bus dari Incheon International Airport ke Myeongdong adalah 15,000 Won. Sedangkan kalau naik subway (All-Stop Train) baru 4,150 Won. Banyak beza tu.

3-4 bermaksud 3 car 4 door. So, kalau nak cari 5 car 1 door, silalah cari 5-1. Senang kan.
Harga permulaan di meter teksi adalah 2,800 won.
Tambang Airport Limousine Bus adalah 15,000 won.

6. Sesiapa yang tak banyak beg, lebih baik naik All-Stop Train. Keburukan All-Stop Train adalah kemungkinan korang tak dapat tempat duduk kalau ramai sangat orang. Dan kena transfer line kat Seoul Station untuk ke Myeongdong. Kalau naik bas, dapat duduk dengan selesa dan tak perlu transfer line.

7. Selain All-Stop Train, ada jugak Express Train (AREX). Beza 2 train ni cumalah All-Stop Train banyak kali berhenti sedangkan AREX tak ada berhenti langsung. Direct je dari Incheon International Airport ke Seoul Station.

Bahagian lain tak ada beza sangat sebab AREX tetap kena transfer line kat Seoul Station. Tambang AREX lebih mahal iaitu 8,000 Won.Jadi untuk korang yang tak kejar masa dan nak jimat lebih baik naik All-Stop Train.

8. Sesetengah subway station kat Korea tak ada eskalator. Jadi bersedialah untuk terkejut kalau kena usung beg naik tangga. Lift ada tapi jauh dari pintu subway. Sebab tu lah jka korang ada banyak beg lebih baik naik Airport Limousine Bus. Kena pilih antara jimat atau kudrat.

T-Money card
Keadaan dalam subway. Makcik pakcik semua sibuk dengan gajet. Kihkih.

9. Sebelum naik subway, lebih baik beli kad T-Money. Kad ni macam Touch&Go. Kalau nak beli tiket biasa boleh je. Tapi lebih senang pakai T-Money. Tak perlu beratur untuk beli tiket. Dan tambang guna T-Money 100 Won lebih murah daripada tiket biasa. Cepat dan jimat kan.

10. Boleh beli T-Money kat mana-mana convenience mart yang ada kat Korea. Contoh paling mudah, 7-Eleven, GS25 atau CU Mart. Kad ni kosong tak ada duit.

Jadi lepas beli kad kosong kenalah preload terus. Kalau beli T-Money kat airport, harganya 4,000 Won. Kalau beli luar dari airport, 3,000 Won. Preload minimum 20,000 Won untuk 5 hari.

Penginapan

11. Terpulang nak menginap di hotel, hostel, motel atau guesthouse. Yang membezakan semua jenis penginapanan ini hanya lah kos per malam. Kalau nak jimat, lebih baik menginap di hostel, motel atau guesthouse. Hotel mahal.

12. Kos tempat tinggal juga berbeza ikut lokasi. Jika di Seoul lagi-lagi Myeongdong, dah tentu lebih mahal berbanding di Busan. Jika tempat tu dekat dengan subway station, hentian bas dan tempat shopping, lagi lah mahal.

Tapi bagi aku, memang berbaloi lah. Untuk di Seoul, aku suka  menginap di sekitar Myeongdong. Sebab senang nak beli barang dan makan. Cuma per malamlah yang sakit sikit. 30,000 Won seorang. Sekali lagi, kena pilih antara jimat atau kemudahan.

Ni lah guesthouse feveret aku kat Myeongdong. Namsan Guesthouse. Macam-macam kemudahan ada.

13. Kos menginap di dorm lebih murah berbanding menginap di bilik peribadi (private room). Tapi, aku lebih selesa menginap di private room. Dah pernah menginap di dorm masa travel ke Jeju dan Busan.

Susah sikit bila menginap di dorm ni sebab tetamu lain bukan geng kita. Nak hu-ha dalam bilik pun tak dapat. HAHA. Bagi sesetengah dorm kena guna tandas umum pula tu. Tandas dia selesa je, tak kotor pun. Tapi, susah sikit lah bagi perempuan muslim pada pandangan aku. Jadi kenalah pilih antara jimat atau keselesaan.

Wifi

14. Wifi free bersepah-sepah di Korea. Sesetengastesen h subway ada wifi free. Kebanyakan kedai ada wifi free. Convenience mart pun ada wifi free. Guesthouse jangan cakap. Dah lah wifi free, tahap LTE pulak tu. Jadi kalau tak nak sewa portable wifi pun tak apa. Dah boleh jimat banyak kat situ.

15. Tapi kalau tak boleh survive langsung tanpa sambungan internet, bolehlah sewa portable wifi. Kebanyakan guesthouse ada buat servis sewaan portable wifi. Boleh lah terus upload gambar on the spot. Kihkih. Setakat dah 4 kali ke Korea, aku tak pernah lagi sewa portable wifi.

Ni dia bangunan KTO yang ada surau tu.
Surau kat KTO building.

Bilik solat

16. Setakat yang aku tau, ada 3 surau atau masjid di Seoul. 1 di Everland, 1 di Nami Island dan 1 lagi di Itaewon. Jadi kalau pergi ke 3  lokasi tarikan pelancong ni tak perlu risau pasal surau.

17. Baru-baru ni, Korea Tourism Organisation (KTO) ada buat surau kat building dia. Jadi kalau nak solat, boleh berhenti di Jonggak Station, Line 1, EXIT 5. Keluar dari exit tu jalan terus sampai nampak bangunan tulis K-Style Hub sebesar alam. Pergi tingkat 2 untuk cari surau. Tapi surau dia kecil je. Boleh muat 2 orang dalam satu masa.

18. Tapi surau yang saya sebutkan di atas tu semua di Seoul. Di Busan dan Jeju masih lagi susah nak cari surau. Di Busan ada 1 masjid iaitu Busan Al-Fatah Mosque. Kalau pergi Busan dan Jeju, kena pandai-pandai lah nak cari tempat solat.

Coffee malt uyu, instant rice dan rendang ayam Brahim sebagai lunch.
Banana uyu (banana milk). Selain banana flavour, ada jugak strawberry, melon dan coffee.

Makanan

19. Kebanyakan restoran di Korea tak halal. Jadi jangan suka-suka hati main masuk je. Sebelum pergi, kena buat kajian dulu restoran mana yang halal, mana yang tak. Nah boleh baca kat sini senarai Muslim Friendly Korean Restaurants.

20. Masalahnya makanan halal kat Korea sangat mahal lepas tukar ke RM. Sesiapa yang nak jimat, boleh bawa lauk segera Brahim siap-siap dari Malaysia. Kemudian beli nasi segera dan banana milk di Korea untuk makan tengah hari atau makan malam.

Kebanyakan convenience mart kat Korea ada microwave untuk panaskan nasi. Harga nasi segera berbeza ikut saiz. Paling murah 1,300 Won. Banana milk 1,300 Won sebotol.

21. Ada yang cakap kalau nak murah, boleh beli nasi segera dan banana milk di Lotte Mart. Beli banyak terus lebih murah berbanding beli satu-satu di convenience mart.

Masalahnya, nak bawak nasi segera dan banana milk banyak-banyak naik subway agak leceh. Jadi sekali lagi kena pilih antara jimat atau kesenangan.

Shopping

22. Kalau nak shopping skincare dan kosmetik, Myeongdong lah tempatnya. Ramai yang cakap skincare kat sini lebih murah berbanding kat Malaysia. Aku tak tau kebenarannya sebab tak pakai skincare tu semua. Hehe.

23. Kalau lalu depan kedai tu semua mesti promoter akan hulur facemask kat korang. Nak ambil facemask tu ada syarat iaitu korang kena masuk kedai dia. Alah pura-pura tengok-tengok sikit skincare yang ada pastu blah lah. HAHA.

Tak pasal-pasal dapat facemask free. Sebab tu aku suka menginap di Myeongdong. Tiap-tiap malam secara purata boleh dapat 2-3 facemask free.

Hasil tangkapan kat Myeongdong. Semua dapat free.

24. Kalau nak shopping souvenir secara besar-besaran, lebih baik beli di Namdaemun Market atau Migliore Mall (tingkat 6) kat Dongdaemun. Souvenir di Myeongdong mahal.

25. Bila nak tanya harga barang, cuba tanya dalam bahasa Korea walaupun tak pandai cakap Korea. First impression tu penting. Ahjussi dan ahjumma ni suka kalau kita pandai cakap bahasa mereka. Barulah depa murah hati sikit bagi diskaun.

26. Nak tanya how much – Ahjussi / ahjumma, olmayeyo? Lepas tu mereka akan bantai cakap Korea panjang berjela sebab menyangka kita pandai cakap Korea. Haha. Lepas tu geleng-geleng sikit sebab tak faham, mintak tunjuk harga kat kalkulator.

27. Kalau nak minta diskaun – Ahjussi/ahjumma, kaka juseyo. Sambil buat muka paling comel minta pelempang. Jika mereka tak bagi diskaun, puji sikit cakap dia handsome / cantik. Contoh – Ahjussi, neomu motjida? Ahjumma, neomu yeppoyo? PR beb.

28. Tapi orang Korea pantang kalau korang dah minta diskaun tapi tak beli. Jadi pastikan korang dah ambil keputusan nak beli baru minta diskaun okay.

29. Kalau tengok penjual tu muda lagi, janganlah bantai panggil dia ahjussi / ahjumma. Memang kirim salamlah nak dapat diskaun. Jika penjual tu lelaki panggil oppa / hyung. Kalau perempuan panggil unni / nuna.

Sesat di Korea

30. Kalau sesat atau tak tau jalan, jangan segan-silu tanya sesiapa yang wujud di tempat tu. Korang cuma perlu sebut nama tempat tu je. Confirm mereka akan tunjukkan arah yang sebenar. Kalau yang baik hati sangat siap bawa kita sampai ke pintu masuk tempat tu lagi.

31. Tapi, nak minta tolong pun agak-agak lah. Jangan minta tolong kat orang yang kelam-kabut nak pergi kerja atau sekolah. Kalau kita tengah rushing pun takkan tolong orang punya. Lepas tu sesuka hati nak cop depa sombong.

32. Kalau mereka pun tak tau tempat tu kat mana, korang tanya je mana subway station yang terdekat – “Metro (subway), odiseyo?” Asalkan dah jumpa subway station, kira selamat lah tu.

33. Kebiasaannya, yang muda-muda atau yang nampak student lebih pandai cakap English. Tapi, depa ni tak berapa rajin sangat nak tolong. Yang tua-tua pulak memang sepatah haram English pun tak reti. Tapi, semangat nak membantu dia tu memang superb.

Ada sorang ahjussi ni siap tolong telefon tempat yang aku nak pergi tu, tanya bangunan dia kat mana. Kemudian bawa aku sampai ke pintu masuk. Rasa terharu gila walaupun tahap curiga kat ahjussi tu dah sampai 7 petala langit.

Jangan sesekali percaya 100% kat orang asing walaupun muka dia nampak baik. Aku ikut ahjussi tu pun jauh-jauh just in case dia bawa pergi ke tempat pelik sikit aku boleh cabut lari.

Declaration form and arrival card.
Duit-duit Korea yang menjadi idaman kalbu. Muahahahaha. Tapi rate Korean Won sekarang mahal gila. Nak nangis bila convert ke RM. Huhu.
Seoul – Nami Island – Taebaek – Busan – Jeju DONE. Daejeon, Daegu dengan Gwangju belum lagi nih.

34. Okay tips yang akhir ni khas untuk yang pertama kali ke Korea. Korang kena si 2 borang masa dalam kapalterbang. 1 tu arrival card, 1 lagi declaration form. Arrival card kena isi sorang satu. Declaration form 1 group 1 borang dah cukup.

35. Arrival card kena bagi kat kaunter imigresen. Declaration form pulak bagi kat pak guard kat arrival gate. Seelok-eloknya isi dulu kedua-dua form ni awal-awal dalam kapal terbang. Jangan dah sampai imigresen baru sibuk nak isi. Yang beratur kat imigresen tu panjang tak hengat.

Okay rasanya tu je kot tips & tricks ke Korea. Ni semua berdasarkan pengalaman aku je. Maaflah kalau noob tapi memandai nak bagi tips.

Sekarang ni demam Song Joong Ki belum reda kat Korea. Ceruk mana semua ada gambar dia. Haha.
Tak dapat jumpa Captain Yoo Si Jin secara live, jumpa kapten celup pun jadi lah. Haha.

Baca lagi: Ini 30 Cara Anda Boleh Rancang Dan Travel Di Korea Tanpa ‘Tour Guide’