Semalam, isteri saya beritahu dia sudah install Pokemon Go. Siap tangkap dua Pokemon lagi. Terkejut juga saya. Setahu saya dia bukan kaki game.

Candy Crush yang sangat legenda di kalangan wanita pun dia tak berapa layan, jadi macam mana dia boleh layan Pokemon?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tapi saya tidaklah menjerit sambil terlempar ke belakang. Saya tetap baring sedap. Selepas tanya-tanya, rupa-rupanya dia cuma mahu tahu apa yang hype sangat pasal Pokemon.

Kemudian, datanglah soalannya yang saya terkenang-kenang sampai sekarang.

“Mengapa mufti haramkan Pokemon?” (merujuk pada kenyataan Mufti Wilayah)

Isu Pertama

Gambar: Astro Awani
Gambar: Astro Awani

Termenung saya. Setahu saya (betulkan sekiranya saya silap), Mufti Wilayah tidak gunakan perkataan ‘haram’ (yang untuk orang Malaysia sangat keras, dan menimbulkan putus harapan/menerakakan).

Dia gunakan ayat, ‘tidak dibenarkan’, ‘perlu dijauhkan’, ‘tidak terlibat’ (walaupun hakikatnya maksudnya lebih kurang sama, tapi ia bersifat memujuk/memberi peluang).

Saya fikir, isteri saya cuma baca berita yang disensasikan sahaja. Tetapi itulah kita manusia, apabila tidak terjumpa ‘kata-kata’ yang kita mahu, kita akan mudah terjumpa ‘kata-kata’ yang tidak ada.

Lihat sahaja lelaki yang tidak menjumpai kata ‘saya pun cintakan awak’ daripada seorang perempuan, akan menemui kata, ‘dia benci aku’ dalam hatinya. Sedangkan perempuan yang baik itu, anggap dia sebagai sahabat.

Saya tidak beritahu isteri saya sebab mengapa Pokemon Go ‘perlu dijauhkan’, kerana yakin dia pun sudah baca. Lagipun, akan timbul terlalu banyak persoalan yang bersifat dot dot dot, dan dia hanya perlu connect the dot untuk membawa perbincangan lari daripada pokoknya.

Misalnya, “Jadi game lain tak melalaikan ke?” Belum lagi soalan, “Mufti tak tegur si polan si polan pun.” Sedangkan saya belum punya ilmu untuk menerangkan bahawa dot dot dot itu sama sekali tidak bersambung. Saya cuma jawab, “Sebab dia mufti. Dia ada tanggungjawab yang besar.”

Saya terkenangkan diri saya sebagai ayah. Tanggungjawab saya kepada anak-anak bukan untuk memenuhi segala kemahuan hiburannya, terutamanya berkaitan dengan hiburan telefon bimbit.

Tanggungjawab saya adalah memastikan dia mendapat yang terbaik. Lalu, apabila anak saya yang masih kecil, meminta telefon bimbit untuk menonton kartun lagi selepas sudah 15 minit menontonnya, saya kata tak boleh. Sanggup saya lihat dia menangis-menangis. (Semestinya selepas itu saya pujuk dia kembali sampai dia ketawa suka) Itu saya.

Jadi memikirkan tanggungjawab mufti yang lebih besar dan berat, yang lebih takwanya, lebih alim, lebih ilmu, pasti ‘ketakutan’ dan ‘beban’ itu sangat besar atas dirinya. Mufti ini bukan sahaja bertanggungjawab pada manusia-manusia yang alim, cukup kesedaran diri, ilmu banyak, tetapi juga kepada anak-anak yang masih sekolah.

Memilih untuk menutup pintu-pintu menuju kerosakan adalah yang utama untuk orang yang takwanya sangat tinggi. Mufti/mereka yang bertanggungjawab, akan pilih apa yang selamat untuk manusia, berbanding apa yang yang disukakan oleh mereka.

Isu Kedua

Isu kedua (ini perenggan yang tidak tahu malu kerana terpaksa menggunakan contoh diri sendiri). Saya sendiri, memang ada pendapat mufti (tidak terhad pada Mufti Wilayah) yang saya ‘belum setuju’ dalam sesuatu perkara.

Tetapi saya sentiasa ingatkan diri saya, yang mufti adalah orang alim, ilmu banyak, otak sangat cerdas, pasti dia nampak kebaikan pada pendapat tersebut berbanding saya.

Jadi menetapkan diri dalam mode ‘belum setuju’/’belum faham’, adalah lebih selamat. InsyaAllah tidak ada marah-marah/kecaman yang tidak perlu kepada seorang yang alim.

Semoga nanti akan terbuka hati/fikiran dan sampai ilmu saya untuk memahami semua pendapat itu. Atau mungkin juga sebaliknya, mufti pula yang akan selari pendapatnya dengan apa yang saya fikir.

Isu Ketiga

Isu ketiga, dalam dunia sekarang, terlalu banyak perkara yang bercampur-campur. Misalnya, buku/manga/komik/kartun, juga filem-filem luar.

Jalan cerita yang penuh ilmu/penuh pengajaran/penuh idea/dapat dijadikan contoh/penuh inspirasi, tetapi ilustrasi/lakonan pula sangat 18sx.

Kita sudah tahu halal dan haram, kita diam-diam baca/tonton ambil yang baik dan usahakan buang yang jahat. Tidak perlu tanyakan perkara yang sangat obvious itu kepada ustaz/mufti. Nanti keluar fatwa ‘haram’ untuk tajuk buku/manga sekian-sekian, tajuk filem sekian-sekian, kamu juga yang susah.

Tidak juga perlu beria-ia dipromosikan dan dipertahankan. Setakat minat/iktibar untuk diri sendiri. Kerana tidak semua orang sama wavelength dengan kita semasa membaca/menonton hal-hal itu.

Takut-takut, kita mahu promosi kebaikan, tetapi sisi negatif pula yang lebih diambil. Diam-diam sudah. Jadikan sahaja isu ini antara kita dengan Tuhan.

Tidak perlu panjangkan ia menjadi isu antara kita sesama manusia dengan kutukan dan kecaman. Adakah Pokemon Go juga termasuk dalam hal ini? Hanya anda sendiri yang dapat menjawabnya.

Isu Keempat

Gambar: e24.no
Gambar: e24.no

Isu keempat, isu Pokemon ini bolehlah kita lihat seperti isu merokok itu haram. Walaupun masih ramai merokok atas pelbagai sebab, tetapi ‘tekanan’ tetap ada kepada perokok untuk tidak lupa tanggungjawab kepada Tuhan dan semestinya ‘harapan’ untuk berhenti pada suatu hari nanti.

‘Tekanan’ yang sama jugalah yang akan datang kepada pemain Pokemon Go. Tekanan untuk menjaga keselamatan diri, untuk tidak lalai, untuk terus menjaga agama, kerana pada akhirnya, ayat yang paling mereka tidak mahu dengar apabila ‘terlalai/tereksiden‘ dalam bermain adalah, “Sebab itulah mufti tak benarkan main Pokemon Go ni!”

Penutup

Pada akhirnya, kita semua sedar yang kita sedang berbicara tentang hiburan hati. Persamaan paling hampir isu hiburan hati ini dengan benda, adalah madu.

Kedua-duanya rasa manis. Tetapi madu, tidak semuanya asli. Ada yang sudah dicampur air, sama ada 10%, 30%, malah ada 80%. Lebih malang, ada yang semata-mata air gula yang dilabel madu.

Hiburan juga begitu. Kita semua pasti sedar banyak hiburan yang rasanya manis, tetapi bercampur-campur sumbernya. Khasiatnya kurang. Malah ada yang langsung tidak memberi khasiat, tetapi penyakit.

Semoga sahaja, kita semua dimurahkan rezeki/dibukakan hati untuk merasa manisnya ‘madu yang 100% asli’. Sekian.

Baca: Kesan Berita Tanpa Tabayyun, Ini Penjelasan Agar Anda Memahami Situasi Sebenar Pokemon Go