Hidangan salad sering dikaitkan sebagai hidangan diet atau sejenis sajian sihat. Ya, salad sememangnya salah satu hidangan yang menyihatkan serta mudah disediakan dengan menggunakan beberapa jenis bahan sahaja dan pada umumnya tidak perlu dimasak.

Salad disediakan bersama dressing. Antaranya seperti vinaigrette, caesar dressing, dan italian salad dressing. Salad boleh dibahagikan kepada empat kategori, secara asasnya. Jom kenali keempat-empatnya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

1. Tossed Salad

Merupakan salad yang paling biasa disediakan. Hanya gaulkan daun salad dan bahan sampingan seperti bawang besar, tomato atau timun bersama dressing. Daun salad yang sering digunakan pula adalah seperti lettuce, bayam atau watercress.

Perlu diambil perhatian bahawa daun-daun salad ini perlu ditos dan dikeringkan terlebih dahulu sebelum digaul bersama dressing dan bahan lain.

Ini untuk mengelakkan salad menjadi berair, lalu kurang enak. Disebabkan itu, dressing hanya digaulkan bersama salad ketika mahu dihidangkan sahaja kerana kandungan asid dalam dressing akan membuatkan daun salad cepat layu dan lembik.

Kekacang, keju, buah-buahan atau sayur-sayuran lain juga boleh digaul bersama dalam salad ini untuk memberi lebih warna dan kepelbagaian rasa. Semua jenis dressing sesuai digandingkan dengan salad ini.

2. Composed Salad

Salad dalam kategori ini disediakan dengan lebih teratur dan teliti serta disediakan mengikut 4 lapisan iaitu base, body, garnish dan dressing.

Base adalah bahagian paling bawah dan asas yang terdiri daripada daun salad. Body pula terdiri daripada bahan utama yang lain seperti daun salad atau sayuran yang lain. Boleh juga ditambah bahan yang dimasak contohnya cebisan ayam atau udang.

Garnish pula merupakan bahan-bahan yang ditambah ke dalam salad untuk memberikan lebih variasi warna, tekstur dan rasa. Antara bahan yang boleh digunakan adalah herba yang dicincang atau hirisan ayam gril. Salad ini juga boleh dihidangkan sejuk jika suka.

Dressing pula, dihidang dalam bekas berasingan dan diletakkan di tepi salad atau di atas salad (tanpa digaul dahulu). Hanya digaulkan semasa mahu menikmatinya sahaja.

Aturan menyediakan Composed Salad yang asas:
1. Kumpulkan semua bahan dan cuci bersih, potong atau siapkan mengikut keperluan.
2. Susunkan bahan di atas pinggan, mengikut aturan 4 lapisan tadi (dimulakan dengan base, body, garnish dan dressing).
3. Jika ada bahan yang perlu dimasak, pastikan ia telah dimasak terlebih dahulu sebelum disajikan.

3. Bound Salad

Salad kategori ini dihasilkan dengan menggabungkan daging, ikan, makanan laut yang telah dimasak dengan/atau legum bersama dressing dan hiasan.

‘Bound’ sebenarnya memberi maksud semua bahan dicampur bersama dalam satu bekas. Untuk me’mesra’kan semua bahan, lazimnya dressing yang berasaskan mayonis digunakan.

4. Farinaceous Salad

Nama salad ini mungkin agak asing bagi kebanyakan kita tetapi sebenarnya kita tak sedar yang kita biasa menikmatinya. Salad kategori ini dihasilkan daripada kentang, pasta atau bijirin.

Kebanyakan salad pasta menggunakan gabungan dressing ringan dan bahan yang mempunyai rasa yang kuat. Salad farinaceous yang paling popular tentulah salad kentang.