“Pa, pampers anak dah habis. Barang dapur pun dah kosong, tak tahu nak masak apa,” keluh isteriku.

“Tit tit..tit tit..” bunyi mesej baru masuk.

“Abang Long, ada duit sikit? Mak nak buat bayar yuran sekolah adik.” Itulah kandungan mesej yang baru sahaja diterima dari emak di kampung.

Hati risau. Mana nak cekau duit ni. Sekarang baru pertengahan bulan. Ada lagi 2 minggu sebelum dapat gaji. Duit gaji bulan lepas dah habis buat bayar duit kereta.

Gaji aku baru RM2500. Lepas tolak KWSP, baki bersih dalam RM2100. Tolak pula installment bank kereta dah RM1000. Ada baki RM1100 untuk buat belanja seisi keluarga.

Nak buat overtime (OT), bos tak bagi, alasan nak cut labour cost. Nak buat side income aku tak pandai berniaga. Nak berniaga pun modal tak ada. Simpanan pula dari mula bekerja sampai sekarang tak pernah ada simpanan cecah 4 angka.

Aset lagilah tak ada. Jangan cerita bab rumah dengan aku sebab aku tak mampu. Sekarang ini mampu sewa saja. Itu pun kadang-kadang sangkut bayar dengan tuan rumah.

Apabila pertengahan bulan tiba, duit gaji pun dah habis pakai. Terpaksa tebalkan muka pinjam duit dengan bos dan kawan-kawan.

Arrrrggggggggghhh!!! Tension hidup aku macam ini. Aku dah silap buat percaturan dalam hidup ini. Aku dah tersalah urus kewangan aku.

Kerana nafsu dan nak nampak hebat di mata orang lain, aku beli kereta yang di luar kemampuan sebenar aku. Nikmat hanya seketika tapi setiap bulan aku yang sengsara.

Nak jual balik kereta, harga kereta dah jatuh, kena topup duit lagi. Nak tak nak aku kena tunggu sampai 9 tahun untuk kereta ini habis bayar.

Aku ingat nak apply personal loan, boleh kurangkan sikit beban aku kalau ada cash di tangan ini.

Mujur aku ni kerja government. Bolehlah nak buat pinjaman sampai RM50000. RM50000 tu aku ingat nak buat berniaga dengan masuk pelaburan yang bagi untung bulan-bulan.

Setiap bulan dapat untung bolehlah aku buat bayar installment personal loan, ada lebih lagi boleh buat belanja family.

Pelaburan apa yang sekarang ni bagi untung bulan-bulan ya? Kalau beli rumah tak ada untung bulan-bulan. Kalau melabur dekat ASB pun tak ada untung bulan-bulan. Kalau melabur unit trust tak dapat untung bulan-bulan juga.

Tak apa. Aku Google lah kejap. Nak tengok pelaburan apa yang untung dan laju.

Hah jumpa pun! Skim pelaburan moden terbaru. Wow menarik dia punya marketing plan. Terliur aku dibuatnya.

Kiraannya begini:

  • Modal RM10000 bulanan dapat RM1000
  • Modal RM20000 bulanan dapat RM2000
  • Modal RM30000 bulanan dapat RM3000
  • Modal RM40000 bulanan dapat RM4000
  • Modal RM50000 bulanan dapat RM5000

Alhamdulillah ini lah pelaburan yang aku cari-cari selama ni. Boleh cover instalment bank dan ada lebihan tunai lagi.

Dalam masa 10 bulan dah balik modal aku RM50,000. Bulan ke-11 aku dah start collect untung. Tak payah pening kepala nak cari orang. Tak payah pening kepala nak jual barang. Hanya duduk diam goyang badan.

Nak daftar pun senang melalui website sahaja, komisyen dapat pun tinggal transfer ke account bank saja.

Aku kena cuba ini untuk ubah kehidupan keluarga aku. Niat aku baik. Pasti OK. Lagipun aku biasa dengar, “Peluang datang tanpa kita bersedia.”

Selepas 3 bulan sign up pelaburan tersebut, aku diduga dengan satu tamparan hebat.

“Ya Allah, kenapa tak boleh buka website ni.”

Aku dah cuba dari minggu lepas lagi. Takkanlah sistem tergendala selama seminggu.

Aduh! Duit aku dah lebur!

Kisah realiti bukan fantasi:
❌ Salah urus kewangan
❌ Beli kenderaan di luar kemampuan
❌ Melabur menggunakan hutang
❌ Terpengaruh dengan skim duduk diam goyang badan

Tiada jalan singkat untuk hidup senang melainkan anda anak jutawan.