Dari pemerhatian saya, 4 punca ini penyebab orang muda ‘tersangkut’ dalam berbisnes.

1. Terlalu mudah putus asa

Buat bisnes sebab dorongan duit semata-mata.

Buat bisnes sebulan dua, tak dapat duit kemudian kecewa. Salahkan sekeliling, salahkan guru, salahkan rakan kongsi. Terus berhenti buat.

Orang yang betul-betul berjiwa bisnes ada satu kegilaan. Apakah kegilaan itu?

Kegilaan untuk buat sesuatu sampai jadi, tidak kira apa yang berlaku.

“Tidak jadi 5 kali, aku cuba lagi 6 kali. Kali ini dengan cara lebih bijak. Apa ada hal….”

2. Kurang daya tahan

Kurang ‘survival skill’.

Kurang daya tahan sementara menunggu titik lonjakan berlaku.

Buat ini sekejap tak jadi, kemudian buat projek lain pula. Buat projek lain tak jadi, tukar pula buat projek baru.

Risau perut tidak kenyang. Padahal mungkin titik lonjakan untuk nampak hasil lumayan itu hanya perlukan beberapa langkah sahaja.

Sabar. Belum pernah lagi kedengaran orang bisnes di Malaysia ini mati kebuluran.

3. Tidak cermat ketika duit banyak masuk. Lalu bisnes kehabisan tunai.

Apabila bisnes mula jatuh, duit sikit-sikit yang masuk itu bukan lagi digunakan untuk menaikkan kembali bisnes, tapi digunakan untuk kekalkan lifestyle yang sudah dinaiktaraf ketika duit banyak dulu.

Takut nanti apa orang kata. Buat macam itu, situasi akan bertambah teruk. Akhirnya sudahlah bisnes lingkup, kita sendiri pula berhutang.

Bisnes sedang sesak nafas, usah kekal berhutang untuk hidup dalam persepsi orang lain. Orang ini tiada kaitan pun dengan kemajuan bisnes kita. Mereka tidak bayar pun bil-bil kita ketika bisnes kita jatuh.

Sindrom keterujaan melampau apabila pertama kali berjinak-jinak dengan duit banyak dorong kita buat banyak silap. Berdamai dengan diri dan akui kesilapan itu. Bermula semula daripada kosong, bangkit dan jalan terus.

4. Ego.

Ini saka paling besar dalam diri!

Saka jenis ini bomoh jarak dekat, jarak jauh pun tak boleh nak buang. Diri sendiri sahaja yang mampu dengan ilmu dan rendah diri.

Nasihat orang lama tidak didengar. Rasa diri betul sebab duit tengah masuk banyak.

Apabila bisnes mula semput, dari situ baru sedar ada betulnya nasihat orang lama dulu-dulu.

Siapa orang lama itu?

Mereka ini ialah senior bisnes atau guru bisnes kita dalam bidang sama yang sudah lalui banyak jalan gelap sebelum capai kejayaan.

Mereka nasihat supaya kita tidak lalui jalan yang sama.

“Buat apa kau nak masuk lubang aku dah masuk dulu!”