Ini antara soalan paling popular yang sering ditanyakan oleh bakal-bakal pembeli hartanah. Sejauh manakah pentingnya status pegangan hartanah (freehold atau leasehold) memainkan peranan dalam menentukan kesesuaian satu-satu hartanah semasa membuat pembelian?

Pokok pangkal keputusan anda semasa membuat plihan bakal berkisar kepada matlamat asal pembelian. Tanya diri anda, adakah untuk tujuan pembelian hartanah ini kerana ingin dijadikan kediaman sendiri atau mahu disimpan sebagai satu bentuk instrumen pelaburan?

Image-30
HYPE
Pra-Tempah HUAWEI MatePad Pro Sekarang Untuk Dapatkan Hadiah Bernilai Lebih Dari RM1,000
Baca lagi →

Seandainya bertujuan ingin didiami, maka faktor pegangan hartanah (freehold atau leasehold) tidak memainkan peranan besar dalam proses membuat keputusan. Selagi anda selesa dengan faktor-faktor lain seperti lokasi, spesifikasi dan harga, maka kurang penekanan yang perlu diberikan dalam memilih hartanah samada ianya freehold atau leasehold.

Sebaliknya jika objektif asal anda adalah untuk menjadikan pembelian ini sebagai satu medium pelaburan, maka status pegangan hartanah memainkan peranan yang sangat kritikal ketika membuat pertimbangan.

Realiti penting yang perlu anda hadam termasuklah:

1. Populariti Hartanah Freehold

Hartanah freehold selalunya lebih popular dan mendapat permintaan yang lebih tinggi berikutan kurangnya kuantiti unit hartanah freehold di pasaran berbanding dengan hartanah leasehold.

Namun begitu, faktor lokasi juga memainkan peranan yang lebih besar berbanding status pegangan. Sekiranya lokasi itu memiliki permintaan yang tinggi, maka hartanah dengan status leasehold tetap menikmati kenaikan nilai yang senantiasa tinggi dan stabil saban tahun.

2. Proses Pindah Milik

Hartanah freehold lebih senang dipindah milik. Secara amnya, tiada kekangan yang dikenakan dalam proses penukaran hak milik bagi hartanah freehold. Ini bererti pemilik bebas menjual kepada mana-mana individu tanpa perlu melihat kepada status pemilikan bumiputera.

Sebaliknya bagi hartanah leasehold, kebenaran pindahmilik tertakluk kepada kebenaran (consent) kerajaan negeri. Umumnya di Selangor, hartanah leasehold milik bumiputera tidak boleh dipindah milik kepada pembeli bukan bumiputera (syarat tersirat).

Syarat tersirat ialah syarat yang tidak dinyatakan oleh kerajaan negeri di mana ia lebih kepada budi bicara. Contoh syarat tersirat ialah seperti di Selangor iaitu tidak dibenarkan perpindahan status hak bumiputra ke non-bumiputra.

3. Risiko Leasehold

Hartanah leasehold yang berbaki tempoh pajakan di bawah 50 tahun sukar mendapat pembiayaan daripada bank. Jika anda ingin membeli hartanah dalam kes sebegini, minta pemilik asal memperbaharui premium pajakan kepada kerajaan negeri sebelum membuat pembelian.

4. Tempoh Pindah Milik

Tempoh pindah milik yang lebih lama diperlukan dalam kes penjualan hartanah leasehold. Ini terjadi kerana hartanah leasehold memerlukan kebenaran (consent) daripada kerajaan negeri untuk dipindah milik.

Keseluruhan proses boleh mengambil masa di antara 6 bulan hingga ke setahun bergantung kepada jumlah aplikasi yang diuruskan oleh kerajaan negeri. Kesannya, anda mungkin terpaksa menunggu lebih lama sebeleum berpeluang pindah ke rumah baru berbanding pembeli yang memilih untuk membeli hartanah berstatus pegangan freehold.

Kesimpulannya, walaupun kriteria pegangan hartanah freehold atau leasehold memberi impak yang signifikan dalam menentukan kesesuaian jual beli sesebuah hartanah namun ada faktor-faktor lain yang turut perlu diperhalusi dan diberi pertimbangan yang sewajarnya.

Sebagai pembeli, anda perlu mengetahui kelebihan dan kekurangan hartanah yang bakal anda beli dengan mengambil kira segala isu dan proses yang terlibat dan lakukan penilaian secara teliti dan tuntas.

Artikel di atas disumbangkan oleh Syakir Zainol. Perunding Hartanah Berdaftar. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka