Hari Kebangsaan tahun ini dilihat menyerlah dengan semangat yang amat dahsyat. Berdasarkan reaksi dan aneka video pendek yang membanjiri ruang media sosial, tidak dapat dinafikan lagi bahawa sambutan Hari Kebangsaan tahun ini sungguh luar biasa.

Kekalkan momentum tersebut dengan filem pendek istimewa bertajuk ‘3 Sekawan’. Kisah menarik ini dibawakan khas oleh Media Prima Berhad bersempena kempen #BebasBersama yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik dan mengajak rakyat Malaysia terutamanya generasi baharu untuk memahami erti sambutan peristiwa bermakna ini.

Baca Juga:

Ikuti kisah tiga sekawan iaitu Faiz, Ah Chong dan Danush yang bersatu semula di kampung mereka untuk menyambut Hari Kebangsaan.

Setelah melaksanakan rancangan nakal mereka yang menjanjikan kebebasan untuk segala-galanya, keadaan huru-hara melanda kampung mereka. Maka, tiga sekawan itu hendaklah mengatur langkah untuk memulihkan keadaan sebelum tibanya tarikh keramat.

Anda boleh saksikan treler filem ini di bawah:

Macam seronok, kan? (Spoiler alert: Memang seronok pun!) Tapi kalau anda masih ragu-ragu, berikut adalah empat sebab kenapa anda perlu menonton ‘3 Sekawan’ pada Hari Malaysia:

1. Ia berdasarkan peristiwa sebenar

Menurut pengarah ‘3 Sekawan’, Izuan Mokhtar, semua peristiwa huru-hara yang dipaparkan dalam filem pendek ini adalah berdasarkan peristiwa benar. Semasa proses sumbang saran, Izuan menceritakan bahawa salah seorang penulis telah berkongsi pengalaman yang dilaluinya sewaktu dia masih kecil. Penulis tersebut telah pulang ke kampungnya untuk menyambut Hari Raya. Pada suatu pagi, dia bangun dan melihat keadaan huru-hara dek sekumpulan angsa yang terlepas di luar rumah di kampungnya itu.

Penulis berkata, penduduk kampung telah mengorbankan sebahagian besar waktu pagi mereka pada hari itu untuk mengejar angsa-angsa dan memasukkan mereka semula ke dalam sangkar. Penulis kemudian mendapat tahu bahawa haiwan itu terlepas angkara sekumpulan kanak-kanak nakal yang menganggap perbuatan itu sebagai suatu gurauan.

Izuan dan seluruh ahli kumpulan penulis amat tertarik dengan cadangan itu sehinggakan mereka membuat keputusan untuk menggunakan pengalaman penulis tersebut sebagai asas kepada kisah ‘3 Sekawan’.

2. Kampung tulen, haiwan asli

Untuk memperlihatkan realiti yang sebenar, Izuan mendedahkan bahawa syarikat produksi, Zeel Production Sdn Bhd, telah menjalankan penggambaran bagi keseluruhan filem itu di sebuah kampung sebenar di Perlis dalam masa seminggu sahaja. Pemandangan menakjubkan termasuk kemegahan bukit-bukau yang menghijau serta ketenangan tasik mewarnai latar tempat bagi filem ini.

Bukan itu sahaja. Semua haiwan ternakan yang anda lihat dalam ‘3 Sekawan’ ini adalah haiwan sebenar. Izuan berkongsi cerita tentang bagaimana beberapa ahli kru ditugaskan untuk ‘mengembala’ lembu, ayam, burung dan angsa yang membuat penampilan khas dalam filem pendek ini.

Apabila tiba masanya untuk memulakan rakaman, haiwan-haiwan tersebut akan dikumpulkan bersama, dilepaskan dan dibiarkan berkeliaran sebelum dikumpulkan semula selepas selesainya sesi penggambaran. Memang menggunakan banyak tenaga!

3. Ia dibintangi barisan pelakon terkenal Malaysia

Filem pendek ini bersinar dengan bakat bintang-bintang tanah air. Selain daripada tiga kanak-kanak comel dan sangat berbakat yang memainkan watak utama – Ummar Shakur (Faiz), Camans Kong (Chong) dan Rudtra a/l Manivanan (Danush) – ‘3 Sekawan’ turut dibintangi barisan pelakon terkenal di Malaysia seperti Dato’ Rahim Razali (Sarjan Rahim), Kazar Saisi (Tok Wan), Redza Rosli (Fikri), Sherry Ibrahim (Shiha), Mandy Chong (Mei Ling) dan Sathiya (Muthu).

4. Tontonan PERCUMA

Sebagai rakyat Malaysia sejati, kami amat memahami daya tarikan perkara percuma! Oleh demikian, filem pendek ini akan disiarkan bagi tontonan percuma. Anda boleh saksikan ‘3 Sekawan’ pada Hari Malaysia, 16 September, di TV3 pada jam 9 malam, TV9 pada jam 8.15 malam, DIDIKTV KPM pada jam 9.30 pagi dan 8TV pada jam 11.45 malam.

Anda juga boleh menstrimnya dalam talian di www.tonton.com.my. Akhir kata, memang tak ada alasan lagi untuk anda tidak menonton filem ‘3 Sekawan’ ini. Percayalah, anda pasti akan menyukainya.