Saya, isteri dan anak kecil kami telah berpeluang bercuti di New Zealand. Secara kasarnya route kami adalah:

KLIA2- Gold Coast – Auckland – Christchurch – Lake Tekapo – Mount Cook – Lake Pukaki – Queenstown -Milford Sound – Te Anau – Dunedin -Timaru – Christchurch  -Auckland-Gold Coast -KLIA2

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Berikut 40 tip mengembara di New Zealand yang ingin saya kongsikan.

1. New Zealand adalah sebuah negara cantik yang sangat selamat untuk dikunjungi.  Pergilah sendiri tidak perlu guna ejen. Trip 10 hari ini hanya saya, suami dan anak kecil kami. Rajinkanlah diri buat kajian dan susun itinerari. Seperti saya sendiri, berbulan-bulan saya buat kajian tentang New Zealand. Terdapat kaunter informasi di setiap pekan untuk pertanyaan, jangan risau.

2. Ambillah travel insurans untuk persediaan takut jadi apa-apa di sana nanti seperti gempa bumi dll. Untuk penjawat awam, sila isi borang kelulusan ke luar negara dan borang perlindungan insurans. Kerajaan telah memperuntukkan RM300k insurans sekali setahun bagi penjawat awam.

3. Di New Zealand  kami sewa campervan. Sebenarnya ada 3 jenis, caravan, campervan & motorhome. Cuma di Malaysia kita biasa sebut caravan. Caravan adalah seperti kontena yang diubahsuai menjadi seperti mini rumah tetapi perlu ditarik mengggunakan kenderaan. Campervan adalah van yang di ubah suai dengan katil, meja makan, dapur masak manakala bumbung diubahsuai menjadi hitop. Motorhome seperti yang disewa oleh Dato Alif Shukri pula lebih besar dengan bayaran sewa lebih dari RM1000 sehari jika sewaan kurang daripada 15 hari. Boleh survey di motorhomerepublic.com.

4. Flight AirAsia dari KLIA2 ke Auckland memakan masa 12 jam. Pastikan ada tiket balik. Transit di Gold Coast 1 jam (pergi) 1 jam suku (balik) untuk urusan imigresen dan kastam Australia. Ini adalah prosedur wajib, bawa turun semua barang handcarry untuk scan dan naik semula ke dalam kapal terbang yang sama dan seat yang sama.
Boleh guna apps berikut untuk carian tiket murah:

www.skyscanner.net

www.kayak.com.my

5. Disebabkan masa penerbangan yang terlalu lama, booking makanan siap-siap secara online untuk harga lebih murah (beza RM3). Hidangan kegemaran saya nasi Lemak Pak Nassir & Sate Ayam.  Pergh!

6. Airport Australia dan New Zealand adalah antara yang paling ketat, siap ada anjing pengesan lagi. Pastikan siap sedia untuk segala pertanyaan contohnya datang untuk tujuan apa? Dengan siapa? Berapa lama? Tinggal di mana? Ada tiket balik?

7. Kepada yang membawa bayi, susu dan termos berisi air boleh dibawa naik ke kabin. Jika tiada air panas, boleh minta daripada pramugari / pramugara untuk buat susu. Klia2 terbaik, boleh sorong kereta bayi sampai depan pintu kapal. Masa balik mereka siap letak kereta sorong depan pintu. Yang ini tiada di New Zealand, sobs! Sila maklumkan pihak kaunter semasa check in untuk dapatkan tag stroller dan timbang.

8. Setibanya di Auckland, umumkan semua barang makanan dan ubatan (jika ada). Senaraikan barangan, kandungan dan quantity. Print siap-siap untuk salinan agar memudahkan urusan kastam. Print sekali tiket balik, bukti booking hotel atau booking caravan. Letak dalam 1 file. Saya siap fotostat semua passport, lesen memandu & IC. Kalau hilang senang nak buat rujukan dengan kedutaan. Simpan nombor telefon kedutaan Malaysia siap-siap. New Zealand adalah negara berisiko tinggi untuk gempa bumi.

9. Negara mereka sangat menjaga industri pertanian dan penternakan. Mereka pantang dengan buah-buahan, sayur-sayuran segar dan madu. Jangan bawak masuk ok!

10. Bawalah 1 universal adapter siap-siap dari Malaysia. Di sini boleh dapat dalam RM15, tiba New Zealand jadi RM50. Bawa sekali extension wire yang simple. Memang remeh tapi sangat diperlukan di sana.

11. Kami tiba di Auckland dah petang, untuk jimat masa dan duit kami tidur di Musolla Airport. Musollanya memang tidak dikunci. Terletak berhampiran foodcourt. Mat salleh pun ada tidur dalam tu, siap pasang khemah lagi. Belilah simcard untuk memudahkan segala urusan. Kita tak pakai ejen maka wajiblah simcard tu. Yang terkenal di sini adalah Vodafone & Spark. Saya beli Vodafone. NZD 45 untuk 3gb mobile data dab free 200 miit panggilan termasuk panggilann percuma ke Malaysia (hanya untuk negara-negara terpilih sahaja).

12. Auckland ada international & domestic airport. Boleh naik bas percuma dari international ke lapangan terbang domestik atau jalan kaki dalam 10 minit ikut garisan warna hijau yang dicat pada lantai jalan. Flight ke Christchurch dengan Jetstar, pesawat tambang murah seperti AirAsia . Nak lebih selesa naiklah Air New Zealand, mahal sikit. Tapi perjalanan hanta 1 jam saja jadi tidak perlu membazir.

Baca: 12 Tip Travel Dengan Karavan Di New Zealand

13. Masa ambil campervan, pastikan semua berada dalam keadaan baik. Jika ada kesan calar, sila ambil gambar sebagai bukti. Mesti pulangkan ikut masa ditetapkan, mesti isi minyak penuh ketika pemulangan. Semuanya ada dalam kontrak dan perlu tandatangan perjanjian. Denda akan dikenakan jika ingkar.  Ambil sekali insurans kenderaan kerana jika kemalangan lagi berganda-ganda perlu dibayar. Semua peralatan memasak ada di dapur. Untuk hilangkan rasa was-was bawalah sabun Taharah dan basuhlah kesemua peralatan sebelum digunakan.

14. Tidak perlu lesen memandu antarabangsa. Lesen memandu Malaysia laku di sana.

15. Belilah bekalan makanan di Pak n Save, ala-ala Tesco kalau di Malaysia. Murah dan banyak pilihan. Ada juga daging mentah halal seperti jenama Turks dan Bricks.

16. Jika menaiki kereta booking awal motel atau boleh cuba Airbnb. Tetapi jika menaiki campervan atau motorhome jangan risau walk in saja ke campsite supaya tidak terkejar-kejar. Campsite banyak kosong. Boleh berhenti ikut suka manakala bayaran campsite ikut per kepala. Saya pilih Top 10 Holiday Park. Ada tandas, bilik mandi, dapur dan dobi turut disediakan. Buat macam rumah sendiri. Di sini anda akan jumpa ramai kawan dari pelbagai negara. Seronok!

17. Sepanjang perjalanan di South Island sangat awesome! Ibarat seperti dalam sebuah lukisan. Tasik dan air sungai berwarna turquoise di sepanjang jalan. Biri-biri, lembu dan kuda bersepah di sepanjang jalan.

18. Di New Zealand  tiada haiwan pemangsa. Ular, serigala, buaya semua tiada. Jadi binatang peliharaan bebas tanpa penjaga tetapi berpagar. Saya dan suami masuk ke dalam hutan semak samun tanpa rasa was-was bawa anak, dah tahu mmg tiada ular.

19. Masa buat itinerari sila masukkan sekali bajet masa untuk berhenti ambil gambar sebab New Zealand sangat cantik.  Asyik nak berhenti tak kira tempat, semua cantik!

20. Paling cantik pada saya Lake Tekapo, Lake Pukaki dan Mount Cook. Memang tak pejam mata tengok. Sampai sekarang terbayang-bayang. Bunga lupin di sepanjang jalan dengan pemandangan gunung yang dilitupi salji. Awesome!

21. Di Mount Cook, walaupun musim panas masih boleh lihat salji atas gunung dab glacier. Ala-ala Gerua gitu. Jika pergi ketika winter memang akan dipenuhi salji. Pelancong dinasihatkan supaya berhati-hati dan bersedia dengan iklim di New Zealand kerana cuaca boleh berubah secara tiba-tiba.

22. Satu lagi pemandangan yang paling superb sekitar Central Otago dan sepanjang perjalanan ke Milford Sound. Pernah tonton Lord Of the Ring? The Hobbit? Ha, memang sebijik macam dalam filem. Serius cantik!

23. Berjalanlah di bandar-bandar seperti Queenstown, Christchurch dan Dunedin. Free parking untuk hari ahad. Di New Zealand mereka amat menghormati pejalan kaki, lebih-lebih lagi yang bawa bayi. Memang selamat kat sana!

24. Souvenir murah-murah boleh dibeli di DF Souvenir. Ada di Queenstown Mall dan Christchurch. Jangan sesekali beli di lapangan terbang cekik darah. Habiskanlah duit syiling dengan beli barang kecil-kecil, sebab dah sampai Malaysia duit syiling tak laku di money changer.

25. Wajib singgah di Cadbury World, Dunedin, coklat murah! Kalau minat pendidikan macam saya boleh lawat University of Otago, Dunedin. Boleh singgah the Steepest Street in the world, Railway Station, 1st Church of Otago. Struktur bangunan di Dunedin semua cantik-cantik dan dekat antara satu sama lain. Kami jalan kaki sahaja. Sempat singgah makan Turkish Kebab di Nesli Cafe, paling sedap di South Island.

26. Pengangkutan awam di New Zealand sangat bagus dan cepat. Cuba la naik bas untuk rasai pengalaman. Kerusi mereka boleh lipat, sorong je kereta sorong bayi masuk ke dalam. Tidak perlu lipat kereta sorong bayi, ada ruang khas untuk kerusi roda dan kereta sorong.

27. Boleh cuba naik tram di Christchurch jika nak merasa jadi Kajol sekejap. Bayaran NZD 20 untuk pusing bandar.

28. Rasailah nikmatnya ikan salmon di New Zealand  masak sendiri. Rugi pergi ke New Zealand dan tidak merasa salmon segar. Salmon, kiwi, kopi, susu segar, buah-buahan segar, aisktim, coklat semua itu wajib cuba.

29. Ketika lalu di pekan Cromwell, boleh singgah ke Jones Family Fruit Shop dan nikmatilah buah segar dan aiskrim. Serius memang sedap! Dijamin buahnya sangat manis.

30. Teringin nak bungy jumping? New Zealand adalah negara paling sesuai. Dengan landskap menarik, terjunlah sambil menikmati keindahan alam walaupun jantung dah separuh gugur. Saya dan suami sempat bungy jumping di Ledge Bungy Queenstown. Ada 3 lokasi bungee yang disediakan oleh AJ Hackett (trusted company) iaitu di Kawarau Bridge, Ledge Bungy Queenstown dan yang paling seram, Nevis Bungy. Boleh booking melalui https://www.bookme.co.nz/
Price : 149nzd(RM476)
Video: 45nzd( RM144)
Video + pic: 80nzd(RM256)
Free tshirt + sijil
* Bergantung kepada harga promosi

31.Masa kami pergi ni musim bunga + panas (hujung November – awal Disember). Walaupun musim panas, suhu boleh mencecah 6 darjah celcius, tak boleh bayang diorang punya musim sejuk macam mana. Anginnya sangat sejuk walaupun matahari terpacak di atas kepala. Jangan pelik bila tiba-tiba muka jadi terbakar. Sila bawak sunblock! (Sis tak bawak, uwaaa).

32. Jika di Korea masyarakatnya semua kelihatan kurus, di New Zealand orangnya berbadan besar dan tegap. Tidak hairanlah pasukan rugby New Zealand  (All Black) adalah pasukan No 1 di dunia. Contoh orang berdarah Maori, siapa tak kenal, The Rock aka Dwayne Johnson.

33. Melaburlah sikit untuk kamera, pergi tempat jauh-jauh,  bayar ribu-ribu sekali gambar menghampakan tak guna jugak. Gambar nak tengok sampai ke tua kan?

34. Aktifkan kad debit untuk pengeluaran antarabangsa, dan untuk kecemasan. Saya guna CIMB, caj RM10.60 untuk setiap pengeluaran.

35. Di Christchurch tidak dibenarkan bermalam dalam lapangan terbang melainkan memang jika penerbangan adalah malam tu. 2 kali kami dihalau. Makanya tidurlah di lounge airport. NZD 10/pax dari 8pm-5am.

36. Di sekitar department hall Auckland International Airport ada bilik sembahyang disediakan. Jangan terkejut sebab bilik sembahyang tersebut bercampur antara surau dengan ala-ala mini gereja. Al Quran pun disusun sebaris dengan Bible. Semua itu tidak menjadi masalah, solat je.

37. Ketika penerbangan balik kami ambil premium flex.  Malas nak beratur lama, nak pilih hot seat, nak minta bassinet baby, nak lunjur kaki, nak dekat dengan tandas, free baggage 20kg seorang, makan 2 kali.

38. Secara asasnya bajet untuk 2 dewasa + 1 bayi (belum campur lain-lain lagi)

Tiket pergi balik AirAsia (KLIA2 – Auckland) = RM4450 (premium flex masa balik untuk keselesaan bayi)

Tiket pergi balik Jetstar (Auckland -Christchurch) = RM700

Sewa Campervan =RM1800
Fuel=RM1400

Campsite=RM530

39. Kos boleh dikurangkan jika anda pergi berempat atau lebih. Boleh jadi tak sampai RM4500 sorang. Lebih jimat kalau naik campervan kongsi 6 orang, 1500-2000 je untuk seorang. Paling jimat sewa kereta dan menginap dalam khemah di campsite (10-15 NZD per orang, boleh guna semua kemudahan), kalau ada duit lebih boleh sewa campervan/motorhome. Disebabkan ini adalah trip keluarga dan cuti sekolah (kami suami isteri guru) maka banyaklah kos terpaksa dikeluarkan. Total RM9500 untuk 3 orang (tanpa bungy jumping). Namun jimat banyak berbanding guna khidmat ejen.

40. Duit boleh dicari, pengalaman tiada dijual di supermarket. Pada saya buatlah apa yang saya rasa nak buat sekarang. Sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang saya tidak akan rasa menyesal atas apa yang tidak sempat saya lakukan. Sekian.

Baca lagi: Inilah 20 Tip Cara Saya Berjimat Sewaktu Travel Di New Zealand