Oh, seronoknya menghabiskan hujung minggu mencuba benda baru bersama keluarga. Anak-anak terutamanya, akan ingat detik-detik apabila ibu bapa mereka mengambil lebih inisiatif dan mendedahkan mereka kepada benda-benda baru. Grover, iaitu karakter dari Sesame Street telah berkesempatan singgah sebentar ke studio #5facts untuk menunjukkan kecantikan alam semula jadi melalui sains dan teknologi.

Kami berani mengatakan bahawa akan ada ibu bapa yang ternganga kerana kagum menonton eksperimen sains di bawah, kerana kami pun begitu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Mari mulakan eksperimen anda sekarang:

1. Oren: Terapung Atau Tenggelam?

Eksperimen ini adalah cara hebat untuk menerangkan hukum daya apung (buoyancy) dan meminta anak anda mencuci buah secara sukarela.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Buah oren biasa
  • Buah oren yang sudah dikupas kulit
  • Mangkuk atau kendi air

Salah satu dari buah oren ini akan terapung. Persoalannya, yang mana? Anda akan terperanjat dengan keputusannya.

Walaupun buah oren dengan kulit adalah lebih berat, ia akan terapung. Buah oren yang sudah dikupas kulit pula akan tenggelam. Ini kerana kulit oren menyimpan poket udara. Poket-poket udara ini akan memberikan buah oren ketumpatan yang lebih rendah daripada air di sekelilingnya, dan menyebabkan ia terapung. Prinsip ini dipanggil daya apungan.

2. Lada Sulah Berlari

Anda akan lihat lada-lada ‘berlari’ dengan eksperimen ketegangan permukaan air ini.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Serbuk lada sulah
  • Sabun pencuci pinggan
  • Semangkuk air

Tuang lada sulah ke dalam mangkuk air. Lada-lada sulah ini akan terapung di atas air. Letakkan beberapa titik pencuci pinggan ke jari anda dan titikkan jari anda ke permukaan air. Lada-lada sulah ini akan terserak ke tepi-tepi mangkuk!

Perkara ini berlaku disebabkan ketegangan permukaan – iaitu satu sifat air yang menghalang elemen-elemen luar. Sabun pencuci pinggan mengurangkan ketegangan permukaan air, menyebabkan air di dalam mangkuk anda terserak ke luar dan membawa lada bersama-sama dengannya.

3. Oobleck Menari

Oobleck adalah cecair non-Newtonian yang diperbuat daripada kanji jagung dan air. Jika dibiarkan, ia berfungsi seperti air, tetapi apabila ditolak atau dicubit ia terasa seperti pepejal. Macam flubber.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Mangkuk besar
  • Bungkusan plastik
  • Pita pelekat
  • Air (1 cawan)
  • Kanji jagung (2 cawan)
  • Subwoofer atau pembesar suara
  • Nada audio 40 Hz (melalui YouTube atau fail audio)
  • Peranti untuk memainkan nada (iPod, tablet atau telefon mudah alih)
  • Kabel stereo untuk menyambung peranti anda ke pembesar suara

Adunkan oobleck dengan mencampurkan satu bahagian air dengan 2 bahagian kanji jagung. Uji sifatnya dahulu. Ia patut melantun semula apabila dicubit dan patut bertindak seperti cecair apabila disentuh lembut.

Gelombang bunyi akan memberi kesan yang sama. Balut kon subwoofer dengan bungkusan plastik dan lekatkan pita di bahagian tepi. Tuangkan sedikit oobleck ke atas plastik dan biarkan ia berehat di ruang kon. Sambungkan peranti anda dan mainkan nada 40 Hz. Apabila bunyi sudah cukup kuat dan plastik sudah cukup merenggang, oobleck anda akan mula menari!

Gelombang bunyi memberi cukup tekanan untuk memberikan oobleck sifat pepejal. Dan apabila oobleck berehat, ia akan bertukar sifat menjadi cecair semula.

4. Pelangi Dalam Balang

Bestnya bila dapat buat pelangi dalam dapur rumah sendiri.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Balang besar
  • Sirap jagung
  • Minyak zaitun
  • Sabun pencuci pinggan berwarna biru
  • Air
  • Pewarna makanan (merah dan hijau)
  • Balang kecil untuk mengadun bahan

Sediakan setiap lapisan pelangi dalam balang berasingan. Gunakan kuantiti yang sama untuk setiap bahan (dua cawan).

  • Tambah pewarna makanan merah ke dalam sirap jagung
  • Tambah pewarna makanan hijau ke dalam air.
  • Minyak zaitun sudah sememangnya kuning.
  • Sabun pencuci pinggan sudah sememangnya biru.

Tuangkan cecair satu demi satu ke dalam balang yang besar mengikut turutan ini:

  1. Sirap jagung berwarna merah
  2. Sabun pencuci pinggan berwarna biru
  3. Air berwarna hijau
  4. Minyak zaitun berwarna kuning

Cecair ini tidak akan bercampur satu sama lain. Sebaliknya, anda akan mendapat lapisan berasingan bagi setiap warna. Eksperimen ini berjaya dilakukan kerana setiap cecair mempunyai ketumpatan yang berbeza, dan cecair tertentu (seperti minyak dan air) enggan bercampur.

5. Gunung Berapi Kebaboom!

Gabungkan ketakutan terhadap gunung berapi kebaboom dengan kegembiraan serbuk glitter untuk mencipta sesuatu yang luar biasa.

Apa yang anda perlukan:

  • Pasu tinggi
  • Serbuk penaik
  • Cuka
  • Pewarna makanan merah
  • Serbuk glitter berwarna biru
  • Dulang

Tuangkan serbuk penaik ke dalam bahagian bawah pasu. Tambah pewarna makanan merah dan serbuk glitter – lebih banyak, lebih bagus! Apabila anda sudah bersedia, tuangkan cuka dan jangan lupa untuk jauhkan diri anda sedikit daripada pasu. Gunung berapi akan meletup dan serbuk glitter yang berkilau akan menghiasi letusan ini.

Eksperimen ini dapat berlaku disebabkan tindak balas kimia. Serbuk penaik bersifat alkali dan cuka bersifat asid, apabila kedua-dua bertemu, berhati-hatilah! Serbuk glitter pula hanya untuk suka-suka :D.

BACA JUGA: Ajar anak anda buat silap mata dengan telefon bimbit. Memang cool!

Sumber: Mashable

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram