Dengan pengumuman Theerathon Bunmathan sebagai pemain terbaru Thailand disambar oleh kelab Jepun semalam, menjadikan beliau sebagai pemain ke 5 dari negara Gajah Putih itu berhijrah ke negara matahari terbit.

Perkara ini bukanlah satu kejutan kerana kami sudah menjangkakan dari awal selepas sahaja J.League membuat pengesahan akan membuka slot khas pemain-pemain dari ‘J.League Nations Partner’ untuk beraksi.

Apa yang lebih membuat kelab Jepun tidak teragak-agak adalah mereka boleh mendapatkan pemain-pemain yang mencapai kualiti J.League tanpa menggangu kuota pemain import yang telah ditetapkan kerana mana-mana pemain dari ‘J.League Nations Partner’ dikira sebagai pemain tempatan dan bukan sebagai pemain import.

Dirantau Asia Tenggara, J.League telah mengesan beberapa pemain berkualiti untuk dibawa sejak beberapa tahun lalu dari prestasi kelab-kelab yang beraksi dalam saingan AFC Champions League terutamanya.

Senarai 5 Pemain Thailand Disambar Kelab Jepun

1) Chanathip Songkrasin – Hokkaido Consadole Sapporo
2) Teerasil Dangda – Sanfrecce Hiroshima
3) Theerathon Bunmathan – Vissel Kobe
4) Jakkit Wachpirom – FC Tokyo U23
5) Chaowat Veerachat – Cerezo Osaka U23

-_10vmkmomshmrm15222w8ih2ko4

Dari senarai ini kita dapat melihat bahawa sekurang-kurangnya, Thailand mempunyai 3 pemain utama pasukan kebangsaan beraksi dalam liga yang kompetitif di Asia dan 2 lagi merupakan anggota kepada skuad U23 Thailand.

Perkara ini sudah pasti akan menggembirakan ketua jurulatih Thailand Milovan Rajevac, kerana mampu memberikan lebih pendedahan kepada pemain-pemain itu sebagai persiapan kejohanan akan datang – Piala AFF Suzuki 2018 dan Piala Asia 2019.

Muangthong United Hilang 3 Pemain Utama Dalam Masa 6 Bulan

Chanathip Songkrasin, Teerasil Dangda dan Theerathon Bunmathan, merupakan pemain utama kelab Muangthong United. Totchawan Sripan, ketua jurulatih Muangthong United, tidak menghalang pemain-pemain itu untuk berhijrah ke sebuah liga yang lebih baik walaupun beliau akan kehilangan 3 pemain ‘regular’ di 3 posisi berbeza.

Pihak Muangthong United juga bersetuju untuk melepaskan pemain ini untuk mengembangkan karier mereka walaupun mungkin terpaksa berusaha kera mencari pengganti yang akan meneruskan kesinambungan 3 pemain ini.

Status sebagai pemain pinjaman atau tidak bukan suatu isu kerana mereka tahu bukan mudah untuk mendapat tempat dalam sebuah liga yang diiktiraf antara paling berprestij di Asia.

Impak Penghijrahan Kepada Thailand

Pihak yang terlibat dalam penghijrahan ini samada secara langsung atau tidak sudah pasti memikirkan apakah kesan positif yang bakal diperolehi oleh skuad kebangsaan dan kelab di masa depan.

1) Menarik Pemain Untuk Beraksi Lebih Baik

Apabila sesebuah liga yang berprestij membawa pemain-pemain dari liga Thailand, ini bermakna mereka sudah mencapai satu standard yang tinggi baik dari segi pengurusan mahupun pemain.

1230-Sports2-PIC1

Banyak pihak yang akan terkena tempias ini terutama pasukan kelab yang mungkin akan menjadi destinasi pilihan pemain-pemain import berkualiti tinggi kerana peluang untuk ‘dilihat’ oleh liga yang berprestij lebih cerah.

Pemain-pemain tempatan juga akan lebih berdaya saing untuk mempamerkan aksi berkualiti untuk mengejar peluang yang sama dan terbentang luas.

2) Tunjang Pasukan Kebangsaan

IMG_0301

3 pemain itu juga akan mampu belajar dan mempertingkatan permainan mereka apabila mereka beraksi dengan pemain-pemain dari liga yang negaranya telah layak ke Piala Dunia 6 kali berturut-turut.

Mungkin akan ada yang berkata, ramai pemain utama skuad Jepun adalah yang berpangkalan diluar negara, tetapi sedar atau tidak, liga itulah yang membawa mereka ke eropah!

Ini adalah peluang mereka untuk mencabar pemain Jepun seterusnya memberikan aksi lebih berkualiti bersama pasukan kebangsaan.

3) Membuka Pintu Kepada Pemain Lain

Ini adalah satu tanggungjawab besar mereka kepada rakan-rakan pemain yang lain di liga Thailand.

DSCuqMKU8AA7w4q

Aksi terbaik mereka ditagih untuk membuktikan pemain Thailand mempunyai kualiti setanding pemain Jepun. Ia sebenarnya tidak mudah tetapi inilah tugas yang lebih besar berada dibahu mereka.

Jika mereka mampu menukar persepsi Jepun kepada Thailand, mereka akan menambah keyakinan untuk kelab-kelab J.League melihat pemain-pemain lain di Thailand seterusnya membuka pintu yang lebih besar untuk pemain berhijrah.

4) Kolaborasi Liga Thailand & Jepun Lebih Mudah

Jepun tidak mudah untuk mempercayai sesuatu tanpa mengkaji secara teliti.

Mereka telah lama terlibat dalam bola sepak Thailand dengan memberikan pelbagai bantuan dan kerjasama untuk membangunkan pemain dan kelab. Namun pada waktu dahulu, mereka bergerak melalui satu organisasi dan bukan secara ‘direct’ melalui kelab sendiri.

bangkok

Sekarang model ini sudah berubah dan mereka telah ‘percaya’ dengan apa yang dilakukan oleh kelab Thailand dan menjadikan proses kolaborasi kelab bola sepak kedua-dua buah negara lebih senang.

Berapa buah pasukan dari Malaysia yang mempunyai kolaborasi dengan kelab Jepun?

5) Syarikat Gergasi Jepun Senang Memberikan Tajaan

Perkara berkait dengan penajaan ini cukup kritikal kepada liga mahupun pasukan bola sepak itu sendiri.

Kita tidak perlu lihat secara mendalam kepada setiap kelab dan siapakan penaja mereka. Cukup untuk melihat liga divisyen tertinggi mereka mempunyai penajaan dari gergasi pengeluar kereta dunia TOYOTA.

toyota

Nilai tajaan mungkin akan dipersoalkan, tetapi apa yang lebih penting dalam kelangsungan adalah ‘hubungan’ yang dibina liga bola sepak Thailand dan TOYOTA.

Mungkin ada yang belum tahu berapa nilai tajaan TOYOTA kepada Thai Premier League. Menurut pengumuman rasmi pada 17 Januari 2017, TOYOTA bersetuju memanjangkan kontrak penajaan selama 4 tahun bermula 2017 hingga 2020 dengan nilai USD19.76 juta (RM78.8 juta).

Angka itu bermakna setiap musim TOYOTA akan memberikan tajaan berjumlah RM19.7 juta semusim sehingga tahun 2020!

Masih banyak lagi perkara positif yang diterima oleh Thailand hasil dari perkara ini dari pelbagai sudut termasuk diluar dari terma bola sepak.

Imej mereka sudah semakin dipandang tinggi, dihormati dan tidak akan diperlekehkan.