Tahun lepas kita dikejutkan dengan berita harimau dilanggar tanpa sengaja oleh pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) pada waktu malam di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Sebelum ini kucing, anjing, monyet, lembu dan kambing antara binatang yang biasa isi perut dan kepala terburai dan berdarah di jalan raya.

Baru-baru ini saya sendiri dua kali dapat melihat kawanan gajah liar di tepi jalan Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan pada waktu malam. Kali pertama, nampak badan gajah di luar pagar lebuhraya dan kali kedua, dapat bertentangan mata dengan gajah yang sedang menunggu trafik reda agar dapat menyeberangi jalan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Di luar negara ada pihak yang berusaha membina jambatan yang akan dapat mengurangkan risiko ke atas binatang liar dan juga nyawa pemandu seperti 5 gambar di bawah ini. Ia boleh jadi inspirasi buat kita semua bahawa binatang juga ada perjalanan yang perlu dilalui dalam kehidupan dengan selamat.

1. Highway 69, Ontario

Jambatan pertama seumpamanya dibina di selatan Sudbury, Ontario agar dapat mengurangkan kemalangan kerana sebelum ini sekitar 10,000 kemalangan melibatkan binatang seperti rusa dilaporkan setiap tahun.

Bagi menjayakan objektif, pagar sepanjang 6 kilometer dipasang agar binatang didorong ke arah jambatan tersebut. Lebih menarik, binatang sudah menggunakan jambatan itu walaupun pagar belum dipasang lagi.

2. B38, Birkenau

Dari jauh ia kelihatan seperti jambatan biasa. Apabila menghampiri baru nampak ada laluan di atasnya buat binatang liar. Jambatan B38 Motorway Wildlife Overpass ini dibina di Birkenau di Jerman.

3. Eco-Link@BKE

Eco-Link@BKE ialah sebuah jambatan ekologi yang menghubungkan Bukit Timah Nature Reserve dan Central Catchment Nature Reserve. Terletak di Bukit Timah Expressway, Singapura ia dikatakan yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara.

4. Christmas Island

Jambatan khas untuk ketam merah ini dibina di Christmas Island kerana berjuta-juta ketam merah akan migrasi dari hutan ke pantai untuk bertelur. Jadi, bagi memastikan perjalanan mereka selamat jambatan ini dibina dan sepanjang jalan raya diletakkan penghadang agar ketam merah tidak melintasi jalan. Selain jambatan ini, turut ada kira-kira 31 lorong di bawah jalan.

5. Nutty Narrow Bridge

Jambatan sebegini direka untuk binatang-binatang kecil seperti tupai. Dinamakan Nutty Narrow Bridge, ia memegang rekod sebagai jambatan paling sempit di dunia dan juga jambatan untuk binatang melintas paling kecil di dunia. Ia dibina di Longview, Washington dengan kos USD1000 sepanjang 60 kaki.