Sejak dibentangkan pada 1 November 2019 yang lalu, Belanjawan Selangor 2020 disambut baik oleh penduduk Selangor secara keseluruhannya.

Sejak itu, kami meneliti Belanjawan Selangor 2020 ini secara mendalam dan mendapati ada beberapa keistimewaan Belanjawan Selangor 2020 yang tidak ada di negara lain. Berikut merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang dilihat sangat membantu penduduk Selangor terutamanya golongan belia.

1. Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE)

Lesen Motosikal

Sebanyak RM1 juta subsidi diperuntukkan Kerajaan Negeri Selangor bagi Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang menawarkan subsidi RM350 bagi pengambilan lesen motosikal. Kerajaan Negeri dilihat sentiasa peka dan prihatin dengan ‘gig economy’ yang semakin meluas di negara ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, inisiatif itu bakal memberi manfaat kepada hampir 3,000 anak muda di seluruh Selangor terutama golongan miskin bandar. Pengenalan subsidi untuk lesen motosikal ini dilihat sebagai salah satu cara Kerajaan Negeri membantu golongan belia mencari pekerjaan menerusi aplikasi penghantaran seperti Grab, Bungkusit dan banyak lagi.

Selepas membuat sedikit tinjauan harga kursus mendapatkan lesen motosikal di Selangor, untuk kenderaan bawah 250cc, anak muda perlu membayar sekitar RM350 hingga RM450. Jadi, secara dasarnya mereka tidak perlu membayar atau menambah wang sedikit untuk mendapat lesen motosikal.

2. Keistimewaan Rumah Idaman

Rumah Idamanku
MENTERI Besar, Amirudin Shari melawat tapak pembinaan pada majlis pelancaran Pangsapuri Selangorku Idaman Residensi di Seksyen 6, Selangor Cyber Valley (SCV), Cyberjaya. Kredit gambar: Luqman Hakim Zubir/Berita Harian

Selain Rumah Selangorku, Rumah Idaman adalah tawaran terbaru daripada Kerajaan Negeri Selangor bagi membantu rakyat Selangor membeli hartanah di Selangor.

Berbeza dengan Rumah Selangorku, Rumah Idaman merupakan unit rumah yang mempunyai kelengkapan lengkap seperti pendingin hawa, katil, almari, peti ais serta parkir khas untuk setiap unit rumah. Boleh dikatakan rumah ini adalah rumah hampir fully furnished dan setiap unit Rumah Idamanku dijual pada harga RM250,000.

Satu lagi keunikan Rumah Idaman adalah jika anda tidak mampu untuk membelinya (ketika ia ditawarkan kepada umum), anda boleh menyewanya terlebih dahulu. Selepas cukup setahun anda menyewa dan buat keputusan untuk membelinya, harga rumah tidak akan berubah. Jika mahu meneruskan sewa, anda dibenarkan untuk menyewa selama 3 tahun maksima.

Ini adalah salah satu solusi pemilikan rumah yang ditawarkan kerajaan Selangor buat rakyat. Solusi pemilikan rumah sebegini juga merupakan yang pertama di seluruh Malaysia, dan Selangor jadi negeri pertama berbuat demikian.

3. Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan diluaskan

PTS
Kredit gambar: SMK Sijangkang Jaya

Bagi Menteri Besar Selangor, rakyat yang berilmu akan menjana Selangor menjadi negeri terunggul. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Selangor telah melaksanakan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang telah dilaksanakan secara bersepadu pada tahun 2019.

PTRS telah memberikan manfaat kepada 10,000 pelajar bagi tahun 2019 berbanding 4,453 pelajar pada tahun 2018. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM10 juta bagi tujuan pelaksanaan PTRS, melalui pendanaan khusus oleh Menteri Besar (Pemerbadanan) dan Kumpulan Perangsang Selangor.

Mekanisme pelaksanaan turut dikembangkan bukan hanya persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi turut meliputi persediaan Ujian Pelajaran Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2020.

4. Rawatan penyakit Tuberkulosis (TB)

Disebabkan Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi bagi penyakit Tuberkulosis (TB) bagi tahun 2018, kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM2 juta yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 3,750 pesakit tibi yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM1,000 bagi mendapatkan rawatan sempurna selama enam (6) bulan.

Punca utama penularan penyakit ini adalah disebabkan pesakit lewat menerima rawatan atau pesakit gagal mendapatkan rawatan yang sempurna. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, sebanyak 74% pesakit yang berpendapatan kurang daripada RM1,000 gagal mendapatkan rawatan sempurna kerana menghadapi masalah kewangan dan kos sara hidup.

Program ini merupakan program julung-julung kali diadakan di Malaysia bagi menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri mengurangkan kes penyakit tibi.

5. Program Food Bank Selangor

food bank
Kredit gambar: Malay Mail

Satu inisiatif murni daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk keluarga yang kadangkala ‘sesak’ dan memerlukan bantuan dari segi makanan. Berdasarkan laporan United Nations Sustainable Development Goals (SDG) 2019, setiap satu dari 9 orang manusia mengalami masalah kekurangan khasiat dari makanan.

Kerajaan Negeri Selangor bakal menyediakan Program Food Bank Selangor bagi golongan miskin bandar ataupun ‘urban poor’ di sekitar Selangor dengan dana permulaan RM5 juta.

Program Food Bank Selangor ini akan dilaksanakan di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) dengan pengkhususan pada keluarga dalam golongan ‘urban poor’ ataupun miskin bandar.

Program ini dilihat dapat memberi manfaat kepada hampir 2,000 keluarga di seluruh negeri Selangor. Inisiatif Food Bank Selangor ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak PeBT, sukarelawan Team Selangor, Pejabat Khidmat Masyarakat DUN serta Pejabat Parlimen.

Setiap inisiatif yang dibuat Kerajaan Negeri Selangor ini adalah untuk keselesaan setiap rakyat Selangor. Moga apa yang dibuat oleh Kerajaan Selangor ini dapat dijadikan panduan kerajaan negeri yang lain dalam meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.

Berikut merupakan respon orang ramai berkenaan cas RM1 untuk warga asing yang bakal dikenakan untuk perkhidmatan Bas SMART Selangor. Apa pula kata anda?

Patutkah Caj RM1 Dikenakan Buat Warga Asing Yang Naik Bas SMART Selangor?

Dua Aplikasi Ini Sangat Membantu Anda Membayar ‘Parking’ Di Kuala Lumpur Dan Selangor