Pejam celik pejam celik, Alhamdulilah hampir 3 minggu kita berjaya berpuasa dengan jayanya. Syawal pun bakal menjelma beberapa hari lagi dan rasanya ramai yang sudah dalam mood untuk berhari raya. Lagi-lagi yang bakal dapat gaji awal bulan ini sempena hari raya. Bagi penjawat awam di Selangor pula, amboi lagi seronoklah nak berhari raya nanti kan?

Kalau nak cari baju Melayu memang mudah sekarang ini. Pergi PKNS Shah Alam ada, Bangi Sentral ada, Uptown ada dan banyak lagi lokasi menjual baju untuk dipakai sepanjang Syawal nanti. Tapi kalau nak cari persalinan yang lebih rare, vintaj atau murah pula nak pergi mana?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sesungguhnya barangan preloved atau bundle ini mempunyai peminatnya yang tersendiri. Pandai bergaya, memang nampak handsome dan cantik. Jadi di sini saya akan senaraikan 5 lubuk untuk anda selam baju-baju rare dan lokasinya semuanya di Lembah Klang sahaja. Ada masa lebih kurang 10 hari lagi. Sempat untuk anda terjah semuanya. Mari kita usya satu-persatu.

1. Campbell Shopping Complex

Mat-mat bundle tegar mesti kenal kompleks Campbell ini. Kalau anda tak tahu, anda kena cuba masuk Campbell Shopping Complex. Di sini terdapat banyak kedai bundle yang legend, terkandung ‘harta karun’ di dalamnya. Pandai selam, dapat barang power. Tapi jika ke sini, saya akan singgah ke Zolo Collection. Di Zolo,anda boleh beli seluar denim rare, kebanyakkannya jenama dari Jepun yang anda tidak dapat membelinya di tempat lain seperti Momotaro Jeans, The Flat Head dan banyak lagi. Barang rare, harganya pun rare jugalah.

Lokasinya terletak seberang jalan sahaja dari Sogo KL. Andai keluarga anda mahu bershopping di Sogo KL, yang lelaki boleh datang ke sini. Rambang mata anda nanti. Tetapi di sini juga ada menjual jeans atau kasut baharu, tidak semuanya barangan preloved. Jadi ikut selera anda untuk beli yang mana. Owh, bukan sekadar terhad kepada pakaian, kalau anda nak beli baju band atau album band luar negara pun ada!

2. Jalan Raja Bot (JRB Vintage Market)

Terletak di Jalan Raja Bot, Chow Kit berderet seadanya peniaga-peniaga bundle meniagakan barangan jualan mereka. Dari segi harga pula? Bermula dari satu ringgit! Kalau yang tidak pernah sampai ke JRB sebelum ini, silalah berkunjung ke sini. Harga-harga barangan di sini pun semuanya mampu milik. Kalau anda nak barang vintage seperti beg Louis Vuitton pun ada!

Sempena bulan Ramadhan ini, mereka beroperasi setiap malam, bermula dari 8.30 malam sehingga 5 pagi. Di JRB ini juga ada beberapa tempat makan yang boleh anda singgah, mungkin untuk sesi bersahor selepas penat menyelam semalaman. Saya jamin, apa yang anda nak cari, mesti ada di sini. Sediakan ongkosnya sahaja.

3. Bandoru

Kalau yang biasa guna Federal Highway, mesti akan nampak kedai ini. Kedainya bersebelahan Al-Ikhsan Federal Highway. Saya memang sejak dari mula jadi pelanggan Bandoru kerana barangannya yang berkualiti. Harganya pun memang sangat reasonable bergantung kepada jenama. Dengar-dengar stok raya mereka melimpah ruah sampai mereka buka lagi khemah di luar kedai untuk pamer barangan mereka. Dahsyat!

Lagi satu yang best dengan Bandoru adalah pilihan pakaiannya sesuai untuk seisi keluarga. Dari baby, sampai mak baby boleh shopping di sini. Dan andai anda mahu berbuka puasa di Bandoru pun tak ada masalah. Ada food truck di bahagian luar kedai untuk anda membeli juadah berbuka.

4. Klumby

Kalau anda malas nak selam atau terus nak cari barangan preloved yang premium dan rare, sini adalah tempatnya. Terletak di Bandar Tasik Permaisuri, kedai ini bukan biasa-biasa. Memang power. selvedge jeans dari pelbagai jenama bergantungan menghiasi kedai ini. Anda petik sahaja; Evisu, Raplh Lauren, Schott, Levis dan Denime ada dijual di sini.

Bukan itu sahaja, Klumby juga ada jual aksesori untuk meng-handsome-kan anda lagi seperti tali pinggang, kasut, wallet dan macam-macam lagi. Helmet vintaj pun ada! Saya geram betul dengan helmet Bell Moto 3 Made In USA yang Klumby display dalam kotak kacanya. Bila sarung memang terus macho untuk buat naik motor. Ini antara kedai wajib yang anda perlu datang.

5. Baden Baden Bundle

Baden Baden Bundle (BBB) ada cawangannya di Port Dickson dan beberapa lagi cawangannya di sekitar Klang Valley. Cuma cawangannya yang terbaru di Jalan Genting Klang (sederet dengan Festival City) memang besar sekali! Saya sempat buat kunjungan dan memang barangan di cawangan terbaru BBB ini memang awesome belaka.

BBB KL ini memang sangat besar; tingkat bawah baju wanita dan kanak-kanak, atas pula untuk lelaki. Bukan hanya pakaian, aksesori seperti beg, topi, kasut barangan dapur seperti pinggan mangkuk dan alatan raket tenis pun ada. Mainan pun ada! Tapi barang di sini anda kena selam betul-betul. Semalam saya dapat dua jaket rare, satu Levis Big E dan satu The Flat Head Vintaj dengan harga RM15 sahaja setiap satu! Memang power BBB KL ini.

Extra: Car Boot Sales Kota Damansara

Saya belanja satu lubuk kegemaran saya yang cuma muncul setiap hari Ahad pagi. Di CBS Kota Damansara ini, memang ramai yang menjual barangan pelik-pelik dari koleksi sendiri. Semuanya berkonsep Car Boot. Di sini kalau anda nak cari barangan askar ada, Hot Wheels rare ada, barangan antik pun ada. Memang macam-macamlah! Ianya beroperasi dari 8.30 pagi sehingga 12 tengah hari. Nak meriah datang dalam jam 9.30 ke atas. Memang selalu penuh CBS Kota Damansara ini.

Jadi ini adalah antara lokasi yang saya fikir memang berbaloi untuk anda kunjungi. Saya sendiri sudah lama tidak membeli di shopping mall kerana saya jumpa pakaian yang bargain price dan tidak dijual di butik di 5 lokasi ini. Berbelanja di lokasi bundle dan preloved ini boleh bantu untuk anda berjimat sebenarnya. Iyalah. Bulan ini nak guna wang untuk pulang ke kampung lagi, nak beri duit raya lagi. Jadi barangan preloved ni sedikit sebanyak alternatif untuk anda berbelanja sambil berjimat.

Semua lokasi ini boleh diakses dengan aplikasi Waze. Taip je nama lokasi di atas Insya Allah ada. Kalau malas menempuh traffic jam, boleh guna Grab atau Uber. Dengan ini saya ucapkan selamat ber-shopping raya dan semoga kelihatan rare, cantik dan handsome di hari raya!