Ini kali ke-3 saya bertemu dengan pasangan suami isteri ini. Akhirnya semalam saya berjaya minta izin untuk naikkan cerita mereka ini di Facebook saya supaya jadi pemangkin inspirasi kepada kalian.

Pada tahun 2010, Kak Ayu (gambar berpurdah) diberhentikan kerja kerana disahkan mengandung anak yang ke-2. Oleh kerana gaji suami pada waktu itu hanya RM750 sebulan, Kak Ayu mengumpul duit simpanan dan membeli pengisar (blender) untuk menjual air buah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

photo6064594393362442165

Kenderaan yang ada pada waktu itu hanyalah basikal. Dan beliau mengayuh basikal dengan sarat mengandung bersama pengisar, kiri kanan air, belakang buah, dan bakul di hadapannya ada seorang lagi anak kecil beliau.

Kak Ayu sempat berjual di situ lebih kurang 6-7 bulan. Kemudiannya beliau mula belajar membuat roti dan menghantar roti (bun) seperti inti kaya, inti kelapa dan inti kacang merah kepada jiran dan saudara mara.

Setelah beberapa bulan, ada seorang kenalan memberi tawaran kepada mereka ini untuk menjual muffin di sekolah-sekolah. Mereka bersetuju walau langsung tidak ada ilmu tentangnya.

Waktu itu, mereka menyediakan beratus muffin seminggu dan menghantarnya ke sekolah-sekolah secara sendiri. Sampailah pada suatu ketika, ada pesanan yang mencecah ribuan biji muffin yang harganya ialah RM5,000.

Dari sehari ke sehari, akhirnya mereka tidak terima bayaran. Barulah mereka sedar yang transaksi ribuan biji muffin tersebut adalah sebuah penipuan. Mereka berkejaran mencari mereka yang membuat pesanan, telefon sana sini, cari juga ke sana ke mari. Namun tidak berjaya.

photo6064594393362442166

Abang Jaq (suami Kak Ayu) tekad dan bangkit. Mereka pun berangkat ke Kuala Lumpur dengan menyertai Festival Hari Peladang di AEON Wangsa Maju. Kak Ayu dan Abang Jaq mengusahakan muffin dan kek coklat moist selama 9 hari membuka meja berniaga di situ.

Dari hari pertama, mereka berjaya menjual ratusan kek dan muffin dan mereka terus menerus membuatnya tanpa henti. Pada hari terakhir, mereka tak sedar yang mereka sudah pun menjual lebih 1,500 kek coklat moist dan lebih 20,000 biji muffin. Jumlah jualan mereka mencecah RM30,000 selama hanya 9 hari sahaja.

photo6064594393362442161

Ini yang saya belajar dari mereka berdua ini.

1. Penyatuan Gaduh-Gaduh Suami Isteri Dalam Membuat Keputusan.

Abang Jaq dan Kak Ayu sentiasa bergaduh dalam hal-hal membuat keputusan. Gaduh mereka ini adalah gaduh bisnes. Mereka berdua tahu kekuatan masing-masing. Jadi, mereka akan membuat satu-satu keputusan dengan kekuatan yang berasingan.

Kak Ayu seorang yang cekap di dapur. Manakala Abang Jaq orang yang suka bersembang dan mencari kenalan. Jadi. Keputusan untuk berteam-work bagi mengusahakan kek coklat dan muffin adalah keputusan bersama.

Team work = kau uruskan kerja kau, aku uruskan kerja aku. Namun, di hujungnya mesti dapat hasil yang sama.

Mereka saling bantu. Saling percaya dan saling bertolak ansur dengan kekuatan dan kelemahan diri masing-masing. Malah, pembahagian kerja yang dilakukan, tidak menyebabkan mereka bertembung dalam membuat sebarang keputusan.

2. Yakin Dengan Usaha Yang Bersungguh-Sungguh = Kejayaan.

Kak Ayu dan Abang Jaq yakin, apabila seseorang itu berusaha, dia pasti berjaya. Perlu tekad dalam apa juga yang dilakukan. Sama ada kecil atau besar, ia perlu diperbuat dengan bersungguh-sungguh.

Semasa mereka berjaya memasuki sekolah-sekolah, Abang Jaq menguruskan semuanya dengan menggunakan runner. Runner tersebut hanya bekerja pada 1 hari sahaja iaitu hari isnin. Beliau ini akan menghantar muffin dan mengambil baki (jika ada) dengan tray sekali pada hari tersebut.

Dalam masa sama, Abang Jaq berjalan ke serata negeri untuk terus berjaya dapat masuk ke sekolah-sekolah. Akhirnya, dengan perancangan kecil menggunakan 1 orang runner, Abang Jaq seterusnya berjaya memasuki lebih 100 sekolah di Kedah, Perak, Perlis dan Selangor.

photo6064594393362442163

3. Letak Tuhan Di Hadapan.

Selepas ditipu, Abang Jaq dan Kak Ayu yakin yang semua itu merupakan ujian dari Tuhan. Malah mereka menganggap kesemua itu merupakan mehnah dan cabaran untuk menjadikan mereka lebih kuat.

Apa yang mereka buat ialah mereka terus meletakkan Tuhan di hadapan. Apa sahaja. Semuanya. Caranya ialah tidak tinggalkan solat sunat dhuha. Tidak juga tinggalkan bersedekah dan tidak sama sekali tertinggal berkongsi rezeki dengan keluarga dan kawan rapat.

Kesemua perkara ini mereka buat hingga ke hari ini, malah setiap kali membuat kek dan pemanis mulut yang lain, sudah terbiasa bagi mereka untuk beri percuma sahaja kepada sesiapa.

Lagi banyak mereka berkongsi, lagi banyak mereka mendapat. Walaupun kadang-kadang mereka dalam kesusahan, bab memberi, mereka teruskan tanpa pernah berbelah bagi.

Ini saya respek habis!

4. Simpan Duit Cara Kuno.

Oleh kerana Kak Ayu dan Abang Jaq memperoleh pengalaman berniaga dari jalanan, mereka kekal menggunakan cara penyimpanan duit berniaga itu secara kuno. Dan ia menjadi dengan baik. Kata mereka, inilah yang terbaik bagi setiap seorang peniaga. Caranya ialah:

Setiap kali ada jualan berlaku,

¼ hasil jualan dimasukkan ke tabung bahan mentah.

¼ pula di masukkan ke bahagian bayaran sewa dan hutang.

¼ lagi dimasukkan ke bahagian gaji dan overhead.

¼ lagi dimasukkan ke tabung untung bersih.

Dan yang untung bersih tersebut tidak digunakan langsung sehinggalah mereka mencapai kata putus untuk membuka lebih lagi empayar perniagaan mereka, ya kawan, sampailah pada suatu hari, akhirnya mereka membuat keputusan untuk membuka kiosk di dalam kompleks beli belah. Yang mana duit untung bersih yang dikumpulkan sudah pun mencecah RM28,000.

Dari sebuah kiosk, kini mereka mempunyai 4 buah kedai dan kiosk di beberapa Tesco dan AEON sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Pernah suatu masa lalu, mereka ini pernah membuka sampai ke berbelas-belas kiosk, namun apabila kompleks beli belah itu tutup atau bertukar pengurusan, mereka juga terpaksa menutupnya.

photo6064594393362442162

photo6064594393362442164

5. Kerja Mesti Bersistem Walau Gerak Gempurnya Ala-Kampung.

Hari ini, mereka sudah ada centralise kitchen. Yang mana dapur itu bertujuan untuk menyiapkan segala jenis kek dan pemanis mulut.

Dan kemudiannya akan dihantar ke semua kiosk dan kedai ini mengikut jadual dan hari mereka. Memang sudah tersedia segala penyusunan dari jadual membeli barang dan bahan mentah, hari memasak, hari menghantar, hari menerima tempahan ribu ribu dan hari menjual di majlis atau program besar, semuanya ada system yang bagus.

Ia dipraktikkan sehingga ke hari ini.

Orang kata, berniaga di kompleks beli belah susah nak ambil cuti, namun dengan system yang mereka bina (walau kata mereka nampak kampung sangat guna jadual bagai), mereka tetap boleh balik bercuti di kampung sampai 2 minggu. Kedai pula masih dibuka, ya, masih cuti namun duit masuk macam biasa.

Kawan-kawan,

Nak berjaya, memang kena usaha. Dan semua ini mereka dapat dengan menyimpul rapi aspek keTuhanan dan juga keseronokan berbuat kebaikan.

Kesemua yang saya coretkan ini merupakan sebuah perjalanan panjang pasangan suami isteri yang bagi saya sudah pun berjaya.

Hari ini, AT Cupcakes & Bakeri melangkah lagi dengan membuka lagi dan lagi cawangan mereka di dalam kompleks beli belah. Dengan menyediakan kelas bagi mereka yang ingin belajar selok belok berniaga kek dan bakeri, mereka semakin disegani dan dihormati.

Tak perlu lagi tanya berapa jualan mereka sebulan. Jika dulu RM30k dalam 9 hari. Sekarang, itu hanya jualan suku hari. Kalian kira sendiri sahajalah.

Tahniah Abang Jaq Osman dan Kak Nur Hidayu Hilmi, saya tabik. Semoga terus sukses ya!

Khairul Hakimin Muhammad,
Harap-harap masih Bapa Brownies Kebangsaan. Haha.