Minggu ketiga bulan Mac ini akan ada cuti sekolah selama seminggu. Jika anda tidak ada apa-apa lagi perancangan untuk anak-anak, anda boleh pertimbangkan aktiviti berkebun kerana ia merupakan salah satu aktiviti luar yang baik untuk anak belajar banyak perkara tentang kehidupan.

Anak bukan sahaja berpeluang belajar tentang sayur-sayuran, buah-buahan, tanah, bunga-bungaan dan kemahiran bercucuk tanam. Mereka akan didedahkan dengan pelbagai lagi perkara seperti yang dinyatakan di bawah ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

1. Belajar Erti Hidup

Anak yang didedahkan dengan aktiviti berkebun akan mempunyai hubungan yang rapat dengan tanah. Mereka akan berasa teruja bermain dengan tanah dan apa yang mereka boleh lakukan dengan tanah tersebut. Ibu bapa usah terlalu risau tentang kekotoran, sudah fitrah berkebun begitu.

Anak akan terdidik dengan sifat sabar; contohnya dalam menunggu pokok tumbuh dan mengeluarkan hasil. Selain itu, dapat juga belajar nurturing a life, apakah yang perlu dilakukan untuk memastikan sesuatu benda hidup itu terus hidup.

Dari segi beraktiviti di kebun pula, anak dapat belajar amalan bekerjasama dan berkongsi. Amalan begini dapat merangsang deria anak untuk menjadi lebih baik lagi.

Paling menarik, anak dapat memahami bagaimana sesuatu makanan itu terhasil (dalam berkebun, makanan seperti sayur dan buah). Anak boleh membanding dan membeza antara sayur dan buah yang ditanam sendiri dengan yang dibeli di pasar. Pasti menyeronokkan!

2. Pilih Kebun Untuk Anak

Sebelum memulakan aktiviti berkebun, tentukan dahulu lokasi dan jenis tanaman atau pokok yang ingin ditanam oleh anak. Dalam menyediakan kebun juga, pastikan ruangnya cukup luas untuk anak bergerak, batas yang tidak terlalu besar dan menanam pokok atau tumbuhan yang boleh dimakan.

Seboleh-bolehnya biarkan anak sediakan batas atau ruang menanamnya sendiri. Biarkan anak uruskan proses persiapan kebun seterusnya dengan bercucuk tanam dari awal hingga akhir.

3. Pilih Tumbuhan Yang Ingin Ditanam

Dalam memilih benih pokok yang ingin ditanam, cuba pilih pokok yang mempunyai tahap kejayaan yang tinggi (pokok mudah berbuah atau mengeluarkan hasil) serta tidak memerlukan penjagaan yang rumit.

Ibu bapa boleh merujuk kepada nurseri tanaman dan buku-buku berkebun yang bagus sebelum memulakan aktiviti ini, untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

Di belakang pek benih tanaman juga ada pelbagai info tentang penjagaan tanaman tersebut. Jadi baca dahulu sebelum memutuskan pokok apa yang ingin ditanam.

Sebagai permulaan, boleh tanam sayur-sayuran kerana lebih mudah. Benih sayur lebih cepat bercambah dan boleh juga ditanam di dalam rumah seperti di belakang dapur.

Anda boleh juga terus membeli anak pokok. Tak perlu risau tentang benih yang akan bercambah atau tidak. Namun pastikan anak pokok tersebut selamat dan tidak beracun.

Ajar dan kenalkan pada anak setiap jenis pokok yang ditanam sama ada sayur, buah atau bunga.

4. Menggali Tanah

Untuk lebih keseronokan, ibu bapa boleh sediakan topi atau baju berkebun khas untuk anak. Ini juga untuk memberi galakan mereka berkebun.

Peralatan berkebun yang khusus untuk kanak-kanak juga boleh disediakan, untuk memastikan keselamatan ketika beraktiviti di kebun. Biasanya peralatan berkebun untuk kanak-kanak lebih kecil, tidak tajam atau berbahaya.

Jika ada tanaman yang sedia untuk dituai, boleh ajar anak menuai sendiri.

5. Serangga Dan Haiwan Kecil

Hati-hati dengan serangga dan haiwan kecil merayap ketika di kebun. Perhatikan juga haiwan liar, jika kawasan berkebun anda berhampiran hutan atau semak-samun.

Jika terjumpa mana-mana haiwan kecil, boleh kenalkan pada anak. Secara tidak langsung, mereka belajar tentang haiwan juga selain tentang tanaman dan pokok.

Tunjukkan pada anak, benda hidup yang terdapat dalam tanah contohnya cacing, di bawah batu seperti semut dan pada pokok seperti burung. Ibu bapa juga boleh terangkan pada anak tentang kepentingan menjaga tumbuhan dan benda hidup yang lain.

Keselamatan Anak Dan Anda

Ddalam keseronokan berkebun dan bermain tanah, pokok dan serangga, anda perlu memastikan keselamatan anak dan anda sepanjang beraktiviti ini.

Perhatikan sebarang semburan atau cecair kimia yang digunakan, pastikan diletak jauh atau disimpan rapi untuk elak anak terpegang atau sentuh.

Hati-hati juga dengan daun atau tanaman yang disembur racun, atau terdapat sisa racun bahaya di sekeliling kebun. Peralatan yang tajam juga harus disimpan di tempat tinggi, tertutup atau berkunci.

Berkebun sememangnya merupakan suatu projek keluarga yang menyeronokkan selain dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Anak-anak dapat belajar sains dan bereksperimen dengan tanaman, haiwan dan tanah. Anak juga boleh dididik untuk menyayangi alam sekitar dan menghargai kurniaan Tuhan.

Sumber