Seputar mengenai bidang perguruan sebagai kerjaya. Sedang hangat diperkatakan sekarang ini dan banyak maklumat serta informasi yang saya perolehi bahawa penyerapan masuk pelajar jurusan perguruan di IPTA tidak lagi semudah tahun-tahun sebelum ini.

Hal ini adalah mungkin disebabkan beberapa faktor seperti jumlah kouta guru yang diperlukan adalah dalam bilangan atau kuantiti yang mencukupi dan sebagainya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ada juga yang mengatakan bahawa pelajar jurusan perguruan daripada IPG adalah lebih diutamakan daripada IPTA. Mungkin ianya adalah disebabkan oleh silibus serta kurikulum di kedua institusi ini yang agak berbeza.

Jika mengikut kepada nota kuliah yang diberi, sebenarnya agak panjang perbincangan yang dibuat berputar mengenai isu-isu dalam perguruan dan keguruan, ciri-ciri seorang guru, akauntabiliti keguruan dan perguruan, beban guru dan berbagai lagi.

Namun suka bagi saya untuk memetik beberapa kata-kata yang dinukilkan oleh pensyarah daripada Universiti Teknologi Malaysia (2013) yang menjelaskan mengenai Puncak Kuasa Profesion Keguruan.

Terdapat lima perkara pokok dibawah tajuk ini, iaitu;

1. Memindahkan Pengetahuan
2. Menterjemah Kepintaran
3. Menyuntik Inspirasi
4. Membangun Modal Insan
5. Menyerlah Patriotik

Saya akan membincangkan secara ringkas daripada satu perkara pokok kepada perkara pokok yang lain.

1. Memindahkan Pengetahuan

Secara tidak langsung, sebagai seorang guru, kita seharusnya memindahkan pengetahuan yang sedia ada pada diri kita atau dari sumber lain kepada pelajar kita.

Dengan memastikan setiap cabang pengetahuan itu sampai kepada pelajar, maka boleh dikatakan kita telah menyelesaikan salah satu tanggungjawab kita sebagai seorang guru. Namun, cukupkah sekadar itu?

Baca: Pemergian Cikgu MRSM Ini Buka Kisah ‘My Add Math Notes’ Dari Kaca Mata Anaknya

Pemindahan pengetahuan sebenarnya adalah jauh lebih luar pengetiannya, ia membawa maksud bahawa seorang pelajar hendaklah mampu untuk befikir, berkomunikasi dan bertindak mengikut arus pengetahuan yang diterima daripada guru mereka.

2. Menterjemah Kepintaran

Penterjemahan kepintaran ini teruji dalam dewan peperiksaan adalah perkara biasa. Namun penterjemahan kepintaran dalam bentuk praktikal atau realiti adalah suatu yang jarang diperbincangkan atau diperbahaskan.

Menjadi salah satu daripada tugas seorang guru untuk memastikan bahawa kepintaran yang hadir dalam diri seorang pelajar bukan hanya diterjemah di atas kertas di dalam sebuah bilik/dewan semata-mata, tetapi turut hadir dan diamalkan dalam percakapan, perbuatan dan pemikiran seharian.

Dengan ini, akan lahirlah kumpulan pemikir yang bijak pandai serta bertindak atas kepintaran dan bukan rasional ilusi semata-mata. Dari sini pula akan lahir generasi ulul albab yang sering dibicarakan dalam media Islamilisasi.

3. Menyuntik Inspirasi

Contoh teladan itu adalah guru. Setiap tuturnya, perilakunya, buah fikirannya sering menjadi inspirasi kepada seorang pelajar. Oleh itu, menjadi tanggungjawab guru untuk menampilkan perwatakan yang mulia dan baik tatkala di hadapan pelajar mereka.

Malahan, guru perlu menjadi contoh kepada masyarakat sekitarnya atau dimana-mana kerana mereka sering diperhatikan dan setiap tindak tanduknya akan menjadi topik perbualan persekitaran yang akhirnya bernatijah di dalam pemikiran seorang pelajar kepada seorang guru.

Sifat berhati-hati seorang guru adalah sangat penting dan perlu dididik agar mereka mampu lahir sebagai seorang guru yang boleh diteladani dan bukannya dicemuhi.

4. Membangun Modal Insan

Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa era beliau menjadi Perdana Menteri sangat memberi penekanan kepada pembinaan modal insan baik di kalangan para penjawat awam, swasta, pelajar sekolah dari peringkat mula sehingga akhirnya sehingga terbit banyak buku serta kem/program yang berkonsepkan pembinaan modal insan.

Salah satu daripadanya adalah “integriti” yang menitik berat kepada soal akhlak, ketelusan dan perilaku. Jika di kalangan pekerja, soal rasuah atara topik hangat dan jika di kalangan penuntut ilmu, soal kejujuran dalam dewan peperiksaan atau kerja rumah harian) sering diberi perhatian.

Baca: Universiti Gordon: Hari Ini Bayar, Esok Sijil Sampai Rumah

Maka, menjadi tanggungjawab seorang guru untuk membangunkan modal insan di kalangan pelajar khususnya dan pelajar setempat amnya bagi melahirkan generasi yang penuh dengan ciri-ciri kesempurnaan dan beretika sosial dalam menjalani kehidupan seharian.

Akhirnya negara ini akan mengecapi keindahan tutur perbuatan masyarakat yang sejahtera dan harmoni. Dilihat, konsep pembangunan modal insan ini adalah berputar soal pembangunan kefahaman agama/moral dan bagaimana menterjemah ilmu tersebut adalah tanggungjawab bersama.

5. Menyerlah Patriotik

Patriotik bukan sahaja bermaksud anda perlu turun ke medan juang atau medan pertempuran lalu menumpahkan darah anda ke bumi dan kemudiannya anda akan digelar perwira yang patriotik dan sanggup berjuang demi negara.

Malah patriotik adalah sesuatu yang lebih bermakna dan lebih luas pengertiannya. Anda ke sekolah dan belajar bersunggu-sungguh dan akhirnya anda menjadi seorang angkasawan, ahli perniagaan, penjawat awam atau swasta, ahli akademik yang jujur serta amanah.

Anda juga dikira patriotik kerana dalam sedar dan tidak sebenarnya anda sedang menyumbang kepada negara. Membeli barangan Malaysia juga dikira patriotik kerana anda cuba membantu membangun ekonomi negara. Memilih pemimpin yang betul-betul layak pada posisinya juga adalah menunjukkan anda patriotik.

Ia bukan hanya berputar pada memperjuang bangsa tetapi lebih luas daripada itu adalah memperjuang peningkatan atau perubahan kepada sesuatu yang lebih baik kepada perkembangan kemajuan negara dalam segala bidang yang ada agar negara ini menjadi lebih baik dan lebih berdaya saing.

Baca: Sedang Kita Pantas Menyalahkan Guru, Apa Kata Za’ba Tentang Ibu Bapa

Sekian, saya tinggalkan selebihnya untuk sama-sama kita berfikir. Moga segala yang disampaikan baik secara tersurat mahupun secara tersirat dapat diserap sebaiknya. Sama-sama kita menuju ke arah pembinaan negara bangsa yang tepat pada tunjangnya dan kena pada gayanya.