Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan tarikh 24 April 2017 sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena pertabalan DYMM Yang DiPertuan Agong Sultan Muhammad Ke-5.

Untuk pemilik bisnes, ini perkara yang anda WAJIB tahu berkaitan cuti ini.

1. Sebagai pemilik bisnes, adakah saya wajib ambil?

Ya, semua pemilik bisnes atau majikan perlu tahu sebarang cuti yang diisytiharkan oleh Kerajaan Persekutuan WAJIB diambil oleh majikan.

Hal ini berbeza dengan cuti yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri (sebagai contoh cuti kerana pasukan bolasepak negeri memenangi Piala Malaysia), cuti sebegini BOLEH sama ada diambil ATAU tidak diambil oleh majikan.

2. Macam mana kalau saya tidak dapat ambil cuti pada tarikh tersebut?

Sekiranya majikan tidak dapat memberi cuti pada tarikh tersebut (kerana terdapat urusan kerja yang penting serta tidak dapat dielakkan), ia perlu digantikan kepada tarikh lain dan tarikh gantian tersebut hendaklah diisytiharkan kepada pekerja dan dipersetujui oleh pekerja.

3. Apa kesan kalau majikan tak mahu berikan cuti gantian?

Sekiranya majikan tidak mengambil cuti ini dan tidak pula menggantikannya, pekerja BOLEH melaporkan kepada Pejabat Tenaga Kerja dan majikan akan dipanggil untuk disoal siasat. Sekiranya didapati bersalah, majikan boleh dikenakan hukuman mengikut peruntukan Akta.

4. Adakah cuti ini menjadi tambahan dari jumlah cuti umum yang diwajibkan?

Akta memperuntukkan pemilik bisnes atau majikan perlu memilih dan mengistiharkan minimum 11 hari cuti umum perlu diberikan kepada pekerja dalam setahun (tidak termasuk cuti rehat tahunan).

Bagi cuti kelepasan am tambahan yang seperti yang diberikan ini, ia perlu ditambah sehari (11 hari + 1 hari) dari jumlah 11 hari cuti tersebut. Jadi, jumlah keseluruhan cuti umum yang wajib diambil ialah 12 hari.

5. Sekiranya majikan mengarahkan pekerja bekerja pada hari tersebut, berapakah kadar bayaran lebih masa (OT) yang perlu dibayar?

Kadar bayaran lebih masa (OT) yang perlu dibayar adalah mengikut kadar OT bagi cuti umum.