Sesiapa yang bekerja atau terlibat dengan NGO Kemanusiaan pasti mengimpikan untuk menjalankan misi-misi kemanusiaan terutama jika ianya bakal diadakan di luar negara. Sememangnya perkara itu tidak boleh lari saat pertama kali kita berikrar untuk terlibat sepenuh masa dalam bidang kemanusiaan.

Amanah yang digalas untuk membantu mereka yang memerlukan menuntut satu pengorbanan yang besar dalam diri  setiappetugas sama ada berbentuk masa, tenaga, wang ringgit malahan kadangkala nyawa.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apabila ditugaskan untuk ke sesuatu misi, tidak kira sam ada kita adalah kakitangan atau sukarelawan, kita perlu memastikan diri kita bersedia sebelum berangkat.

Berikut merupakan 5 persediaan yang selalu ditekankan:

1. Betulkan niat dan tahu tujuan

Kadangkala niat mempengaruhi keseluruhan perjalanan kita. Jika baik niat kita, InshaAllah baiklah perjalanan. Jadi sebelum pergi, niatlah yang baik-baik. Yang paling penting, tahu tujuan misi tersebut supaya bila tiba di lokasi, kita tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak terkapai-kapai selama berada di sana.

Baca: Matlamat Hidup Saya Berubah 360 Darjah Selepas Sertai Sukarelawan Di Kem Pelarian Di Greece

2. Bersedia mental dan fizikal

Perkara ini sangat penting bagi memastikan kita dapat bertahan sehingga misi selesai dilaksanakan. Kebiasaannya setiap misi pasti akan mengambil masa yang lama. Paling kurang seminggu bergantung kepada lokasi dan aktiviti bagi setiap misi.

Jadi tanamkan dalam fikiran, apakah yang akan kita lihat dan bakal rasai sewaktu di dalam misi nanti tidaklah seindah yang kita nikmati di Malaysia terutama jika kita ke negara-negara seperti Bangladesh, Jordan, Kosova, Sri Lanka dan lain-lain.

Kadangkala melihat penderitaan insan lain boleh membuatkan hati kita cair dan sedih sehingga melelehkan air mata. Tetapi perkara inilah yang perlu dielak jika berhadapan dengan orang-orang yang akan kita bantu.

Tunjukkan yang kita kuat dan tiupkan semangat kepada mereka agar meneruskan hidup dengan tabah. Jangan berhenti memberi motivasi kerana kadangkala jiwa mereka luntur setelah diuji dengan kesempitan hidup.

Keperluan fizikal juga sangat dituntut apabila berada di lapangan. Banyak berjalan, makan hanya sehari sekali, bertugas dari pagi hingga ke malam, itulah antara realiti yang berlaku semasa misi berlangsung.

Jadi, apa salahnya sebelum kita sertai misi kemanusiaan begini, rajin-rajinkan diri bersenam agar dapat kita kekalkan momentum dan stamina.

Baca: Bagaimana Trip Travel Pemuda Ini Bertukar Menjadi Bantuan Buat Warga Miskin Bosnia

3. Kaji tentang latar belakang lokasi yang bakal disertai bagi setiap misi kemanusiaan

Ini penting bagi memastikan kita benar-benar faham dan bersedia tentang tempat yang ingin dituju baik dari segi budaya, ekonomi, sosial, pegangan agama dan lain-lain. Perlu juga tahu tahap keselamatan tempat tersebut agar persediaan boleh dilakukan. Bila kita benar-benar faham, kita akan lebih mudah menghormati mereka.

4. Bawa kelengkapan yang cukup

Menyertai misi kemanusiaan tak sama dengan berjalan-jalan makan angin. Kadang-kadang nak basuh baju pun tak sempat, apatah lagi nak gosok pakaian. Pakailah yang berkedut-kedut tu.

Jadi, bawa pakaian yang tak perlu digosok, tahan lasak dan mudah dibawa. Pastikan pakaian mencukupi dan semasa misi berlangsing, pakai kasut yang bersesuaian. Jangan lupa kelengkapan-kelengkapan lain seperti ubat-ubatan, buku catatan dan lain-lain.

5. Bawa cenderahati

Jika kita ada rezeki lebih, bawalah cenderahati seperti gula-gula, alat tulis, buku, selendang dan apa-apa yang bersesuaian. Kita tak tahu siapa yang bakal kita temui. Kadang-kadang kita terjumpa dengan anak-anak yang tak pernah kenal pun apa itu gula-gula.

Anak-anak yang teringin bersekolah tapi ibu bapa tidak mampu menghantarnya. Ada juga golongan wanita yang teringin menggantikan selendang yang mereka pakai, tetapi tiada wang untuk membeli. Maka, jika kita dapat memberi pada waktu itu, ia akan menjadi kenangan yang paling indah buat kita.

Jika ada peluang, sertailah aktiviti-aktiviti kesukarelawanan dan pergilah ikut misi-misi yang dijalankan. Kita takkan rasa rugi bahkan menimbulkan lagi keinsafan dalam diri kita. Wallahualam.

Baca lagi: Bagaimana Travel Cara ‘Backpacker’ Dorong 3 Anak Muda Ini Sertai Satu Misi Besar