Salsa ialah sejenis sos yang berasal dari Mexico yang kebiasaannya dibuat berasaskan buah tomato. Cara penyediaannya pula ringkas dan mudah.

Salsa sering dihidangkan bersama ayam panggang, burger atau taco sebagai hidangan sampingan. Selalunya ia dihidang segar dan tidak perlu dimasak.

Buat pengetahuan anda, salsa hampir sama dengan kerabu atau salad dalam menu Asia. Ia pastinya membuka selera anda sepertimana kerabu juga.

Bahan seperti bawang besar, cili, kekacang, jagung dan pelbagai rempah boleh ditambahkan kepada salsa untuk beri kepelbagaian rasa dan warna yang menarik.

Selain itu, salsa turut boleh disesuaikan rasanya daripada tahap kurang pedas hingga tahap sangat pedas.

5 Contoh Jenis Salsa

Antara jenis salsa yang popular adalah:

1. Salsa roja atau sos merah

Gambar: Food Network

Ia terdiri daripada tomato, cili, bawang besar, bawang putih dan ketumbar.

2. Pico de gallo atau sos Mexico

Gambar: The Galley Gourmet

Ia terdiri daripada tomato, jus limau, cili, bawang besar, daun ketumbar dan beberapa bahan mentah lain yang dicincang.

3. Salsa verde atau sos hijau

Gambar: Recipes Squared

Ia dibuat daripada tomatillo yang dimasak. Salsa verde versi Itali ditambah dengan herba.

4. Salsa negra atau sos hitam

Gambar: Recipes Squared

Ia ialah salsa yang mengandungi cili kering, minyak dan bawang putih.

5. Salsa taquera atau sos taco

Gambar: Pinterest

Salsa ini mengandungi tomatillo dan cili morita dan dimakan bersama taco.

5 Resipi Salsa Yang Ringkas

Berikut pula 5 cadangan resipi salsa ringkas yang saya percaya ia pasti memikat selera. Anda mesti cuba merasainya.

1. Salsa tomato

Gambar: Produce Made Simple

Di dalam mangkuk, masukkan 4 biji tomato yang dicincang kasar, ¼ avokado masak yang dibuang kulit dan dicincang kasar, 1 sudu besar minyak zaitun dan jus daripada ½ biji limau. Kacau rata semua bahan.

Sesuai dimakan bersama ayam atau ikan panggang.

2. Salsa ‘smoky’

Gambar: KitchenLab

Masukkan 75 gram bawang besar atau bawang kecil yang dicincang halus, 150 ml sos barbeku, 100 ml sirap mapel, 1 sudu besar cuka sider, 1 sudu besar gula perang lembut, 100 ml air, 1 sudu teh jus lemon dan sedikit kulit lemon yang diparut ke dalam kuali leper.

Didihkan hingga berbuih selama 10 ke 15 minit sehingga likat. Padamkan api dan tambahkan daun bawang yang dicincang halus serta 175 gram nanas yang dipotong kasar. Boleh dihidang sejuk atau panas.

Sesuai dinikmati bersama burger.

3. Salsa mangga dan adas

Gambar: Vegetarian Recipes Wiki

Masukkan ke dalam mangkuk, setengah biji mangga yang didadu, 1 batang adas juga didadu, 1 batang cili yang dibuang biji dan dicincang halus, 1 sudu besar cuka balsamik, 1 sudu besar daun parsli cincang dan 2 sudu besar daun pudina juga dicincang halus.

Tambahkan jus daripada 1 biji limau, kacau rata dan perasakan dengan garam dan lada hitam.

Sesuai dimakan bersama ayam panggang.

4. Salsa avokado, tomato dan ketumbar

Gambar: NYT Cooking – The New York Times

Masukkan 1 labu bawang besar cincang ke dalam mangkuk dan tambahkan 1 biji avokado masak yang telah dibuang biji dan kulit dan dipotong dadu.

Masukkan juga 4 biji tomato yang dicincang kasar, segenggam daun ketumbar cincang dan jus daripada sebiji limau. Gaul rata semua bahan. Perasakan dengan garam dan lada hitam.

Sedap dinikmati bersama ayam panggang.

5. Salsa udang dan avokado

Gambar: Kim’s Cravings

Masukkan 2 biji avokado yang dibuang biji dan kulit dan dicincang kasar ke dalam mangkuk besar.

Kemudian tambahkan 350 gram udang harimau yang telah dicelur dan dibuang kulit, sedikit hirisan daum bawang, 3 sudu besar daun ketumbar cincang, jus dan parutan kulit daripada 3 biji limau serta 8 sudu besar minyak zaitun.

Tambahkan garam dan lada hitam. Gaul rata semua bahan.

Lazat dimakan bersama ikan salmon salai atau ikan panggang.

Selamat mencuba!

Oh ya! Sekiranya anda ada info makanan atau resipi yang menarik untuk dikongsikan bersama pembaca Vocket, anda boleh berbuat demikian dengan menghantar email ke [email protected] atau mesej kami di FB Vocket.

Anda Mungkin Suka