Nota Editor: Penulisan bisnes tentang penyanyi kesayangan ramai ini ditulis oleh Tuan Khairul Hakimin Muhammad, dalam blognya KuahKari.com. Amat menarik untuk melihat Dato’ Siti daripada sisi pandangan yang baru. Teruskan pembacaan bisnes ini di bawah.

Ada ramai ikon tanah air yang sudah mempunyai ‘tempat’nya yang tersendiri untuk kita belajar bagaimana mereka boleh mencapai kedudukan sekarang. Menjadi satu sejarah hebat buat mana-mana individu yang bermula dengan sesuatu yang kecil, dan kini membawa satu empayar yang cukup gah di mata masyarakat dalam dan luar negara.

Dalam dunia pemasaran hari ini, ada satu nama yang kekal terpahat di bibir anak Malaysia tentang kekuatan dan pengaruhnya dalam industri seni suara dan kini dalam industri kosmetik. Beliau pada mulanya pernah digelar sebagai ‘minah’ kampung, kini menjadi ikon dan kegemaran segenap lapisan masyarakat. Tanyalah kepada yang muda atau tua, semuanya mengenali insan ini. Beliau sudah pun menjadi kesayangan kita semua. Beliau ialah – Dato’ Siti Nurhaliza (CTDK).

CTDK memulakan rentak memasarkan suaranya dengan memenangi bintang HMI pada tahun 1995, ketika baru berusia 16 tahun. Selepas itu beliau mengharumkan nama negara di Anugerah Emas Asia New Singer Competition di Shanghai Asia Music Festival, yang diadakan di Shanghai, China pada tahun 1999. Selepas itu, berturut-turut anugerah dan piala yang beliau menangi, sehingga kini ianya sudah mencecah sehingga 200 anugerah.

CTDK meneruskan rentak dengan alunan pelbagai muzik dan menunjukkan dengan jelas minatnya terhadap hampir semua genre muzik. Jika dilihat dalam kekuatan vokalnya, CTDK sangat pragmatik dalam mencuba satu-satu genre baru. Antara yang pernah menjadi kejutan kepada seluruh rakyat Malaysia ialah dengan fenomena lagu Cindai (lagu tradisional) yang sehingga kini menjadi lagu ‘hantu’ beliau.

Ada banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada sudut pemasaran gaya CTDK. Lima perkara yang saya nyatakan di bawah ialah tentang bagaimana ikon ini menjadi ikutan masyarakat hari ini:

1. Konsisten

CTDK sangat konsisten dalam melakukan perkara yang diminatinya. Pada tahun 1995, beliau sudah menyebut yang beliau suka menyanyi, memasak dan pernah menanam hajat menjadi seorang polis, dan begitulah beliau sekarang. Beliau sangat konsisten dengan apa yang beliau sukai.

Ada beberapa situasi CTDK menunjukkan kekuasaan vokalnya dengan menyanyikan lagu berat. Pernah suatu ketika dulu CTDK telah membuat persembahan di satu acara anugerah di Singapura dengan menyanyikan lagu Amy Search, walaupun ketika itu berlaku sedikit masalah teknikal yang melibatkan mikrofon, CTDK tetap relaks, kool dan konsisten untuk memberi persembahan yang sangat hebat.

Dalam konteks konsisten juga, CTDK tidak penah mengalah dengan mencuba dan mengikut rentak dan alunan muzik-muzik baru. Lihat sahaja semasa Malaysia digegarkan dengan alunan world music, CTDK lantas mengeluarkan single Lagu Rindu yang dikeluarkan pada tahun 2005. Kelunakan suara CTDK yang tidak asing lagi menjadikan world music pada waktu itu sungguh meriah.

2. Kekuatan Album dan Pemilihan Lagu

Apabila kita amati, gaya lantunan muzik dan alunan seni setiap lirik dan tempo lagu-lagu CTDK tidak pernah mengecewakan. Beliau menggunakan suaranya, iaitu asset beliau paling berharga, dengan baik, sehinggakan setiap lagu yang dipasarkan di corong-corong radio mampu menjadi halwa telinga kepada seluruh rakyat Malaysia.

Suara beliau yang sememangnya lunak digabungkan dengan elemen muzik, lirik yang indah-indah dan ketepatan tempo menyebabkan CTDK terus sahaja diminati oleh segenap lapisan masyarakat.Pada tahun 2009, CTDK telah mengeluarkan album ketuhanan yang berjudul Tahajjud Cinta yang mempunyai variasi lagu-lagu yang mendekatkan kita pada Tuhan. Keseronokan mendengar kelunakan CTDK pada waktu itu memang tidak perlu dipertikai, pada waktu itu ramai yang mendoakan beliau untuk bertudung dalam masa terdekat.

3. Kekuatan Sosial

CTDK mempunyai aura yang sangat hebat. Figura ini terkenal dengan keprihatinan dalam apa sahaja masalah sosial yang dialami dan menjadi duri di kalangan masyarakat. Beliau juga pernah menyampaikan sebuah lagu yang ditujukan kepada golongan yang pernah terlibat dalam kancah dadah.

Perkara sebegini memperlihatkan kekuatan CTDK dalam arus media bukan sahaja sebagai figura yang hanya memasarkan seni suara, tetapi membawa peribadinya sendiri ke hadapan. Beliau sangat utuh dan teguh menjaga hati masyarakat dengan mengambil berat masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh segenap lapisan masyarakat.

4. Berani mencuba

Sifat ini tidak ramai yang ada. Malah pada suatu ketika dahulu tokoh yang mempunyai sifat begini ialah Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Kesamaan kedua-dua individu ini sangat ketara. Mereka berdua tidak pernah berhenti mencuba mana-mana lagu berat dan genre baru yang sedang hit di pasaran.

Jika kita lihat persembahan CTDK pada Anugerah Juara Lagu 2010, CTDK membawa lagu berjudul Lagu Untukmu bersama Azlan Typewriter yang mana ianya sungguh memukau hadirin, tidak kira sama ada di rumah ataupun di pentas utama ketika itu. Jika diingat kembali, CTDK tidak pernah mendapat keyakinan peminat-peminat untuk membawa lagu rock kerana suaranya yang cukup lembut dan sungguh bersantun, tetapi pada malam itu beliau memeranjatkan seluruh rakyat Malaysia.

5. Keperibadian tinggi

Setiap kali digasak dengan pertanyaan populis atau mahukan gossip ‘rating’ tinggi, beliau sentiasa mengambil pendekatan ‘tiga saat’. Tiga saat ini diperlukan untuk beliau berfikir dan mengambil jalan paling bertenang untuk menjawab apa sahaja soalan yang ditanya oleh para wartawan.

CTDK dilihat sangat matang apabila dihadapkan dengan soalan-soalan yang sensitif, yang bisa mengguris hatinya sendiri. Tetapi disebabkan kematangan dan kerendahan budi yang beliau ada, menyebabkan wartawan juga amat menyantuni beliau. Lihat sahaja mana-mana video yang memaparkan sesi soal jawab bersama beliau, beliau akan mengambil masa beberapa saat untuk berfikir sebelum menjawab soalan-soalan tersebut. Itulah ‘tiga saat’ emas yang dipraktikkan oleh beliau untuk memasarkan diri secara tidak sengaja kepada umum.

Lima perkara ini kita boleh belajar dengan baik. Malah, dalam dunia pemasaran hari ini, ikon-ikon seperti ini sememangnya dikejar-kejar oleh peminat dalam beberapa aspek. Antaranya, peminat-peminat mahu membeli album, ada juga yang mahukan persembahan live daripada CTDK, manakala kami pula mahu belajar daripada ikon hebat ini tentang bagaimana beliau mencipta kekaguman daripada para usahawan yang mahu membina empayar perniagaan seperti beliau.

Buat para blogger, juga mana-mana rakan lain yang sukakan kisah sensasi, ambillah pendekatan yang elok dalam menyampaikan perkara yang baik-baik. Saya bukan fan CTDK, tetapi ada banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada beliau.

Sememangnya CTDK mungkin tidak sempat untuk membaca penulisan ini, tetapi saya amat berharap rakan-rakan niaga yang lain dapat memberi perhatian sewajarnya tentang bagaimana untuk membina empayar perniagaan dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang kita sendiri ada.

Kekuatan CTDK ialah keluarganya, pengurusnya, suaminya, malah semua peminatnya. Maka, dunia pemasaran beliau memang nampak mudah, tetapi beliau sebenarnya sudah menyemai lima perkara di atas untuk membina SimplySiti yang sudahpun tertebar jauh ke seluruh negara.

Tahniah CTDK, Kesayangan Rakyat Malaysia.

Terima kasih. Wassalam.

Khairul Hakimin Muhammad
Abuain Kitchen Studio.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram