Boleh dikatakan inilah pertama kali saya merantau lebih lama dari kebiasaan dan berjalan dengan hanya berbekalkan cerita-cerita yang dibaca melalui internet. Cerita-cerita itu kemudian bertukar menjadi keghairahan untuk berdiri dan melihat sendiri keindahan yang hanya digambarkan melalui foto dan kata-kata.

Bila kali pertama berkongsi dengan keluarga dan rakan-rakan mengenai percutian ke Sri Lanka, boleh tahan ramai yang membeliakkan mata seolah-olah tiada apa yang perlu dilawatkan di sana. Sri Lanka bukanlah nama yang terkenal di bibir orang ramai. Namun, saya yakin pasti ada yang dapat saya kumpulkan sebagai cerita dari sebahagian hidup saya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ketika di Sri Lanka, saya sempat berkunjung ke Kandy, Nuwara Eliya, Sri Pada (Delhousie), Pantai Mount Lavinia dan berakhir di ibu kota Sri Lanka, Colombo. Kalau hendak diceritakan dari A-Z memang pelbagai kisah boleh dikongsikan.

Namun dalam berbagai kenangan di sana, saya nak kongsikan 3 lokasi yang menjadi kegemaran saya iaitu:

1. Sigiriya, Batu Singa

Mercu tapak kaki singa yang berada di bahagian tengah batu besar.

Kolam mandi diraja yang terbesar di atas bati Sigiriya. Kolam ini menghadap ke arah gunung-ganang.

Terletak di daerah Matale, Sigiriya merupakan tarikan yang terdapat di kawasan tengah (Central) Sri Lanka. Batu besar ini dijadikan sebagai pusat pemerintahan Raja Kasyapa dimana kawasan Istana dan taman Diraja dibina di bahagian atas batu besar ini.

Disebabkan Matale berada di kawasan yang kering, jadi kawasan Sigiriya adalah panas dengan terik matahari dan bercampur dengan debu dari tanah merah yang kering. Walaupun begitu, tidak mematahkan semangat saya untuk memanjat batu yang memiliki anggaran 1200 langkah tangga untuk melihat senibina di bahagian atas Sirigiya.

Tangga dia jangan cakaplah, ada macam-macam jenis, ada yang besi, ada yang batu marmar, juga yang berpusing-pusing. Sewaktu perjalanan ke atas, saya lawat dahulu lukisan dinding (frescoes) dan cermin dinding (mirror wall). Sayangnya, tidak dibenarkan mengambil gambar di kawasan ini.

Dibahagian tengah pula terdapat batu yang berbentuk kaki singa yang menjadikan sebab utama (agaknya) batu terkenal dengan panggilan Lion’s Rock.

Bila sampai saja atas terus rasa teruja. Kawasan dia memang besar dan terbahagi kepada tiga bahagian penting dan merupakan antara tinggalan taman lanskap tertua di dunia. Siap ada swimming pool diraja yang kalau mandi memang boleh nampak keindahan gunung-ganang yang terletak bersebelahan. Terasa nak jadi permaisuri kalau hidup zaman tu.

Pengangkutan saya ke Sigiriya
Dari Airport saya terus ke Kandy. Jadi perjalanan saya bermula dari Kandy dengan menaiki Tuk Tuk selama 2-3 jam. Harga 3000LKR (RM75) bahagi dua dengan rakan.

Kami pilih Tuk Tuk sebab banyak tempat yang ditawarkan oleh pemandu Tuk Tuk. Dia bawa kami ke taman herba, lawat bandar Kandy. Kalau nak murah boleh naik bas awam ke Dambulla dan dari Dambulla tukar bas ke Sigiriya.

2. Pemandangan laluan keretapi Kandy ke Nanu Oya (Nuwara Eliya)

Stesyen Kandy.
Pemandangan gunung-ganang dan pekerja ladang teh.
Bentuk tiket kelas kedua.
Melintasi stesyen keretapi di pekan kecil.

Boleh kata sepanjang disana, pengangkutan utama merupakan keretapi kerana cukup praktikal untuk saya yang mempunyai bajet terhad. Bayangkan perjalanan 7 – 8 jam hanya dicaj sekitar RM 7 hingga RM 8 sahaja.

Saya tiba di stesyen keretapi Kandy awal pagi kerana tahu akan jarak yang bakal ditempuhi kelak. Saya beli tiket di kelas kedua yang mempunyai tempat duduk yang lebih selesa. Namun apakan daya tiada gerenti dapat tempat duduk jadi berdirilah saya buat 2 jam pertama.

Tapi nak dijadikan cerita bila dah penat sampai terduduk-duduk dekat lantai, di situlah saya belajar kebaikan warga tempatan Sri Lanka. Akibat kasihankan saya yang lemah (hahahah), seorang warga tempatan memberi tempat duduknya dan dia sendiri berdiri untuk satu tempoh yang agak lama.

Apabila meninggalkan Kandy, keadaaan pemandangan berubah-rubah. Apabila masuk sahaja kawasan pergunungan terasa seperti berada di dalam set filem Hindustan dicampur dengan magis Harry Potter.

Keretapi melalui lereng-lereng pergunungan, ladang-ladang teh yang luas, jambatan yang melintasi tasik, dan terowong-terowong gelap yang berdebu. Stesyen keretapi juga menarik seperti berada di zaman kolonial.

Cara ke sini
Keretapi dari Kandy ke Nanu Oya mengambil masa 4-5 jam, kemudian ambil bas terus ke stesyen bas Nuwara Eliya (30-40minit). Lepas itu, saya jalan kaki sahaja cari hostel atau guesthouse.

3. Pendakian ke Adam’s Peak (Sri Pada)

Jam 2 pagi sebelum memulakan pendakian. Rantaian lampu menunjukkan jalan ke puncak.

Loceng besar yang berada di puncak.
Upacara sembahyang selepas matahari terbit.
Orang ramai berpusu-pusu turun sejurus matahari terbit.

Adam’s Peak merupakan sebab utama saya sangat ingin menjejakkan kaki ke Sri Lanka. Saya ingin daki hingga ke puncak dan melawan rasa ingin berputus asa yang selalu ada.

Ingin melihat matahari terbit, jadi saya memulakan pendakian sekitar jam 2 pagi. Disebabkan masa saya kesana merupakan musim pilgrimage bagi warga tempata, jadi pekan kecil itu sentiasa meriah.

Dari kejauhan saya lihat deretan lampu yang dipasang dari kaki hingga ke puncak yang terlihat seolah-olah rantaian bintang ke langit.

Pendakian tangga yang seperti tiada akhirnya itu mula terasa penat dan tangga masih jauh ke atas. Angin yang bertiup menambahkan rasa sejuk yang sedia ada.

Menariknya di setiap ‘checkpoint’ terdapat kedai kopi yang boleh dijadikan tempat melepaskan lelah. Tapi sekali berhenti, peluh yang disapa angin menjadikan sejuk semakin terasa.

Tangga adakalanya luas dan bila makin ke atas semakin sempit ruang tangga yang ada. Pelbagai ragam dan peringkat umur yang mendaki, jadi ada yang laju, berlari, perlahan dan kebanyakan warga tua berdoa di setiap langkah yang mereka ambil.

100 meter sebelum puncak merupakan saat yang paling sukar. Suhu mencecah 6 darjah selsius dan baju lapis dua serta sarung tangan mula tak mencukupi buat saya.

Setelah 3 jam saya mendaki, akhirnya saya sampai ke puncak yang terletaknya sebuah kuil ‘temple’. Orang ramai mula mencari kawasan yang sesuai untuk melihat matahari terbit. Memang penuh dan berasak – asak akan tetapi polis yang menjaga di puncak menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan semua baik-baik sahaja.

Selepas sahaja saya turun dari Adam’s peak, saya terus daftar keluar hostel dan menaiki keretapi ke Mount Lavinia. Kelakarnya akibat terlalu penat saya telah tersalah menaiki keretapi dan menyebabkan saya hampir berada sehari suntuk di dalam keretapi dengan perjalanan yang sangat panjang.

Cara ke sini
Keretapi dari Kandy ke Nanu Oya mengambil masa 4-5 jam, kemudian ambil bas terus ke stesyen bas Nuwara Eliya (30-40 minit). Lepas itu, saya jalan kaki sahaja cari hostel atau guesthouse.

1. Berikut tiga perkara yang perlu dititikberatkan sebelum ke Sri Lanka:

(i) Keadaan negara, tahap keselamatan dan sedikit sejarah.

Biasanya google sahaja dan baca blog-blog atau portal perkongsian seperti TheVocket. Seperti sedia maklum, Sri Lanka telah melalui perang saudara (civil war) selama 25 tahun, jadi perkara seperti ini saya akan lebihkan sedikit kajian supaya saya tahu apa yang akan dihadapi di sana nanti.

Tapi Alhamdullilah, rata-rata memberikan maklumbalas positif mengenai Sri Lanka. Saya sendiri tidak sangka, kebanyakan warga Sri Lanka baik hati dan menerima kedatangan pelancong ke negara mereka.

(ii) Kesihatan dan kebersihan.

Saya ada mengambil vaksin (injection) sebelum ke Sri Lanka. Ini kerana kembara pendek kali ini dilakukan secara bajet di mana kami akan banyak menaiki kenderaan awam, berjalan kaki, dan tidur di hostel atau asrama yang berkongsi bilik air dan sebagainya.

Ubat pula boleh bawa yang asas sahaja, ini kerana di Sri Lanka sendiri terdapat banyak farmasi terutamanya di bandar seperti Colombo, Kandy dan Nuwara Eliya.

(iii) Makanan.

Bersedialah untuk makan kari kari kari kari setiap hari! Kalau fasal halal jangan risau sebab rata-rata Sri Lanka mengamalkan pemakanan ‘vegetarian’ ini kerana kebanyakan mereka beragama Buddha.

Manakala makanan halal pula memang mudah didapati. Tapi apapun makanannya tetap kari hehehe. Warga Sri Lanka boleh dikatakan makan makanan yang sihat, bukan sahaja mengamalkan makan sayur, mereka juga tidak minum minuman berais!

Hanya di kedai makanan segara sahaja anda boleh minum minuman berais. Minuman sejuk bagi mereka hanyalah yang disejukkan di dalam peti ais. Mereka juga tidak makan sos cili dan tomato, walaupun di kedai makanan segera mereka cicah ayam dengan kari.

Untuk dapatkan makanan yang menjadi kebiasaan kita mungkin di hotel atau restoran-restoran mahal ini kerana makanan di sini lebih untuk pelancong.

2. Permohonan visa

Saya memohon melalui e-visa Sri Lanka secara online. Walaupun mulanya saya agak skeptikal dengan kelancaran permohonan kerana saya agak akan jadi leceh dan makan masa.

Tapi sungguh tidak sangka permohonan lulus dalam masa 24 jam dan emel terus kepada pemohon. Harga visa 35USD, boleh digunapakai dalam masa 30 hari dan 2 kali kemasukan ke negara tersebut.

3. Syarikat penerbangan ke Sri Lanka

Saya menaiki AirAsiaX dengan harga promosi! Tapi penerbangan murah, Malindo turut terbang ke Sri Lanka.

4. Pengangkutan di Sri Lanka

Sri Lanka mempunyai banyak pilihan pengangkutan bagi yang ingin melancong di sana. Daripada sewa kereta, naik tuk tuk, keretapi, bas dan pelbagai lagi yang boleh membawa kita dari titik A ke titik B. Semuanya bergantung kepada kos pelancong sendiri.

Saya ke sana dengan kos yang rendah dan bercita-cita untuk melawat wilayah tengah dan barat Sri Lanka. Jadi dua pilihan utama saya adalah bas awam dan keretapi kelas kedua atau ketiga.

Keretapi
Kebanyakan masa saya bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dengan menaiki keretapi kelas ketiga, jadi boleh bayangkan sendiri kepadatan di dalam keretapi yang hanya dibekalkan kipas dan tingkap dengan penghadang besi seperti keretapi zaman kolonial.

Kelas ketiga sememangnya murah, kos saya dari stesyen Gampaha ke stesyen Kandy yang mengambil masa 3 hingga 4 jam hanyalah 180LKR (RM5). Tapi nak dijadikan cerita, saya penat berdiri hinggakan terduduk di atas lantai keretapi.

Tapi akibat kasihankan saya, seorang warga tempatan memberikan tempat duduknya dan dia sendiri berdiri untuk tempoh yang agak lama. Melalui pengalaman menaiki keretapi di Sri Lanka ini banyak mengajar saya mengenai kebaikan warganya.

Paling seronok adalah pemandangan yang dilihat dari tingkap keretapi seperti kita berada di dalam set filem Hindustan dicampur dengan magis Harry Potter, lagi-lagi perjalanan ke Nuwara Eliya di mana keretapi akan melalui lereng-lereng gunung, ladang teh yang luas, jambatan melintasi tasik dan terowong-terowong gelap yang berdebu.

Saya syorkan anda semua naik keretapi dari Kandy ke Nanu Oya (Nuwara Eliya), pasti tidak akan menyesal walaupun harus berdiri!

Bas Awam dan Tuk Tuk
Bagi kawasan yang lebih ke dalam boleh naik bas awam atau tuk tuk. Tapi sememangnya bas awam lebih murah! Dengan syarat kena enjoy lagu yang mereka pasang dalam bas.

Contoh waktu saya nak ke perkampungan Delhousie dari Stesyen Keretaapi Hatton yang mengambil masa 1-2 jam, bas awam caj sekitar 75LKR (RM2) manakala Tuk Tuk 800-1000 LKR (RM23 hingga RM 28). Tapi dari segi keselesaan dan kelonggaran lebih kepada Tuk Tuk.

Andai kata nak berhenti tiba-tiba ambil gambar tepi jalan, pemandu tuk tuk tiada masalah. Tuk tuk juga hanya untuk 2-3 orang jadi lebih privasi. Kalau cakap mengenai keselamatan dua-dua sama sahaja rasanya. Dua-dua bisa mengugurkan jantung bila pemandu buat lipatan maut. Hahahaha.

5. Tips lain

Saya bukan jenis membeli-belah bila melancong, kerana cara saya melancong lebih kepada kos yang rendah. Tetapi bagi yang akan ke Sri Lanka, saya syorkan bawa duit lebih untuk beli produk kecantikan dari herba dan bahan semulajadi. Perempuan mesti suka!

Baca lagi: Mengembara Ke Sri Lanka, Lelaki Ini Jatuh Cinta Dengan Negara Mundur Ini