Pilihanraya Kampus (PRK) adalah satu medan untuk mahasiswa membentuk ideologi mereka yang matang, menggerakkan ideologi itu dengan penuh hikmah dan menoktahkan perjuangan ideologi tersebut dengan satu pengislahan yang menyeluruh kepada masyarakat kampus khususnya, masyarakat umum amnya.

Pada tahun ini kita dapat lihat satu perubahan landskap politik kampus yang mana rata-rata mahasiswa mengharapkan hadirnya satu gelombang baru dalam kerangka membawa kampus menuju suasana yang harmoni, tidak terdidik dengan suasana agresif, meraikan kepelbagaian kelompok, bersikap progresif dan lebih matang dalam apa jua tindakan dan sebagainya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Politik Nilai, Adakah Sekadar Angan-Angan?

Menyebut tentang pengamalan budaya politik nilai dalam pilihanraya, suka untuk saya sebutkan bahawa mahasiswa lebih cenderung untuk melihat suasana politik yang berasaskan nilai, jauh dari unsur-unsur yang tidak sihat, pembunuhan karakter, fitnah-memfitnah dan sebagainya.

Jika perkara ini berterusan ia akan memberi kesan yang lebih besar iaitu menatijahkan kemualan kepada sesetengah kelompok mahasiswa untuk bersama dalam proses demokrasi pilihanraya kampus dan menyebabkan peratusan yang turun mengundi menurun dan perkara ini seterusnya menyebabkan budaya tidak berpartisipasi dalam pilihanraya kampus lebih berterusan dan berleluasa.

Politik nilai adalah satu budaya politik baru yang wajar diketengahkan dan difokuskan dalam Pilihanraya Kampus. Ia mengajar kita untuk berpolitik secara berhujah, berdasarkan merit, bukannya politik yang jatuh menjatuh mahupun pembunuhan karakter.

Mahasiswa universiti juga tidak berminat dengan cara perebutan kuasa antara mana-mana kelompok mahasiswa yang bertanding, bahkan apa yang mereka harapkan ialah sejauh manakah calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya itu mampu menjadi suara mereka dalam apa jua perjuangan dan masalah yang dihadapi.

Politik nilai juga membawa mahasiswa supaya lebih fokus untuk menabur khidmat yang terbaik kepada masyarakat kampus, termasuklah isu-isu kewangan yang berlaku dalam kalangan siswa seperti contoh kesempitan kewangan, gagal membayar yuran pengajian dan sebagainya.

Seterusnya, isu golongan mahasiswa OKU di universiti dan kebajikan-kebajikan lain seperti menganjurkan program Free Ride, Food For Siswa atau Suspended Meal dan lain lagi. Sesiapa sahaja yang terbaik dalam menawarkan khidmatnya, maka dialah yang layak untuk diundi, tidak kiralah datang dari kelompok mana sekalipun.

Selain itu, mahasiswa perlu matang dalam memilih pemimpin mereka, meletakkan asas dan prinsip yang betul, bukannya memilih disebabkan mengikut rakan sekelas, memilih berdasarkan wajah dan sebagainya. Mahasiswa yang juga bergelar insan minda kelas pertama haruslah bijaksana dalam meletakkan kriteria calon yang dipilih.

Pilihlah calon yang mampu untuk membawa pengislahan kepada kampus, bertindak bijak dalam apa jua keadaan, tidak agresif sebaliknya professional, mampu untuk kekal atas prinsip membawa keadilan dan rahmah untuk semua, beramanah dengan tanggungjawab yang bakal dipikul dan yang paling penting adalah ‘qawiyyul amin’ seperti yang disebutkan di dalam Al-quran.

Bagaimana Membudayakan Politik Nilai Dalam Kempen PRK?

Kelompok mahasiswa tidak kira daripada persatuan mahasiswa mana sekalipun perlu berusaha membumikan politik nilai terutamanya dalam kempen pilihanraya masing-masing.

Calon yang bertanding dan jentera yang menggerakkan pilihanraya seharusnya mengamalkan politik yang murni, bersaing dengan sihat, meraikan perbezaan dan mengamalkan politik nilai dan matang.

Terdapat 5 tip membudayakan politik nilai semasa kempen PRK. Antaranya:

1. Buku Manifesto

Pertama, menghasilkan buku manifesto secara terperinci oleh calon. Elemen penting yang perlu ada dalam buku tersebut ialah pertama, apa yang ingin diperjuangkan, kedua mengapa memperjuangkan perkara tersebut dan ketiga bila untuk realisasikannya.

3 elemen ini penting dan menjadi bukti bahawa calon tersebut bersedia untuk di ‘check and balance’ oleh persatuan lain dan juga mengamalkan budaya transparen dalam kempen masing-masing.

Buku manifesto tersebut boleh diedarkan kepada mahasiswa di universiti agar mereka tahu apa yang ingin dibawa dan diperjuangkan oleh calon dan mereka mampu memilih dengan baik berdasarkan merit dan khidmat yang ingin ditawarkan oleh calon tersebut selepas memenangi pilihanraya nanti.

2. Debat Manifesto

Kedua, menganjurkan atau menyertai debat manifesto atau rapat umum. Sebagai persatuan mahasiswa haruslah menyediakan platform untuk debat manifesto antara calon yang bakal bertanding dan menyeru ahli persatuan masing-masing untuk turut bersama dalam penganjuran berkenaan.

Penganjuran debat atau rapat umum ini penting bagi memastikan calon tersebut boleh membentangkan dan menghujahkan apa yang ingin diperjuangkan untuk kebajikan mahasiswa keseluruhannya.

Mahasiswa juga haruslah menyertai debat atau rapat umum ini untuk menilai, menimbangtara dan mempersoal apa yang diperjuangkan oleh calon seterusnya mereka dapat memilih yang paling berkredibiliti dan layak untuk diundi.

3. Disiplin Calon Dan Jentera

Ketiga, calon hendaklah mendisiplinkan jentera masing-masing semasa kempen berlangsung. Calon haruslah menentang penyokong mereka yang melakukan perbuatan yang boleh mengancam persatuan lain seperti contoh memburukkan pihak lain dan sebagainya.

Ini akan menguji calon tersebut samaada mampu atau tidak menguruskan jentera terlebih dahulu, sebelum memimpin warga kampus yang lebih besar dan kompleks. Calon seharusnya memberikan amanat kepada jentera supaya dapat berkempen dengan matang dan harmoni.

Jentera seharusnya membawa inspirasi yang sama yang ingin diperjuangkan oleh calon sebagai contoh jentera mampu untuk menerangkan manifesto calon jika calon tiada di ‘booth’ atau tempat berkempen.

4. Sifat Negatif

Keempat, tidak melontarkan fitnah dan melakukan pembunuhan karakter dan mengurangkan konfrontasi antara satu sama lain. Calon dan juga penyokong seharusnya menjauhi perbuatan keji ini dan tidak sewenang-wenangnya menimbulkan sesuatu yang boleh menyemarakkan api permusuhan dan perbalahan.

Cybertrooper masing-masing juga perlu menjauhi perbuatan yang kurang beradab terhadap pihak yang lain. Mahasiswa seharusnya matang dalam menangani kepelbagaian dan berusaha semampu mungkin untuk menunjukkan akhlak yang baik sepanjang kempen berlangsung.

5. Meja Bulat

Kelima, menganjurkan sesi meja bulat atau diskusi bersama persatuan mahasiswa merentasi kaum dan agama di universiti masing-masing sebagai platform dan keterbukaan untuk membincangkan halatuju masing-masing terutamanya berkaitan pilihanraya kampus termasuklah bersama golongan mahasiswa OKU dan sebagainya.

Semua persatuan mahasiswa mempunyai ideologi tersendiri dan seharusnya berganding bahu dalam perkara yang disepakati bersama demi pembawakan politik nilai dalam kampus masing-masing.

Selamat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan selamat menempuh Pilihanraya Kampus 2016 kepada semua mahasiswa Malaysia.

Semoga calon yang memenangi pilihanraya kali ini mampu untuk membawa pengislahan kepada kampus dan bertindak amanah dengan tanggungjawab yang bakal dipikul tidak lama lagi. Bersama kita menyokong budaya politik nilai, matang dan berkebajikan demi melahirkan sebuah kampus yang harmoni.

Selamat memilih! Menuju kampus harmoni!