Selepas beberapa siri roadtrip yang pernah kami lalui dengan hanya menaiki sebuah Perodua Kancil, saya ingin kongsikan sistem ringkas atau cara menguruskan barang-barang keperluan anda untuk mendapatkan kepuasan yang optimum, khususnya bagi mereka yang ingin memulakan perjalanan jarak jauh dan bermalam dipelbagai tempat.

Sistem yang kami amalkan ini adalah cadangan sahaja dan cadangan ini dibuat berdasarkan gaya perjalanan kami sekeluarga. Lain keluarga, lain perangai, lain gaya.

Pada kami, nak ikut gaya minimalis mungkin ada baiknya tetapi tak boleh melampau sangat sehingga menyusahkan diri sendiri. Bawa barang macam nak pindah rumah memang tabiat sesetengah orang kita. Seeloknya, kita ambil jalan tengah.

tip-packing-barang-road-trip-2

Berikut adalah contoh susunan barang dan tips berdasarkan roadtrip terbaru kami menjelajah semenanjung Malaysia selama 11 hari dengan menaiki Perodua Kancil.

Sedikit penambahan aksesori yang dibuat adalah pemasangan kotak bumbung bersaiz 300 liter. Cukup untuk menampung barang-barang kami lima sekeluarga. Walaupun kereta kecil, saya masih memasang tempat duduk budak untuk keselesaan dan keselamatan anak-anak.

1. Beg khas bagi setiap orang.

Setiap orang akan mempunyai beg kecil khas untuk mengisi barang penting masing-masing yang semestinya akan digunakan sepanjang perjalanan.

Beg saya memang penuh dengan gajet seperti kamera, gopro dan tripod kecil manakala anak-anak saya akan bawa buku, pensil warna dan barang permainan mereka.

Beg kecil ini disimpan berdekatan tempat duduk masing-masing, contohnya di bawah tempat duduk.

2. Tempat makanan.

Bahagian ni saya tak perlu cerita panjang lebar kerana rakyat Malaysia khususnya sangat prihatin dan berdisiplin dalam bab makanan. Untuk yang ingin tahu, beg atau tempat khas (seperti bakul) untuk makanan dan mininuman amatlah penting semasa perjalanan jauh.

Lebih-lebih lagi bila ada anak kecil, semestinya kita nak senang membancuh susu. Atau, bila saya dah mula mengantuk, saya order sahaja kopi o panas yang disimpan di dalam termos. Kacang, roti, coki-coki, dan air milo sentiasa ada dalam bakul makanan.

tip-packing-barang-road-trip-4

tip-packing-barang-road-trip-3

3. Bahagian dashboard dan beg sampah.

Sebagai kaki ambil gambar dan video, saya simpan kamera saya di konsol tengah dashboard. Senang nak capai bila kita nak mengambil gambar.

Sebut pasal makanan tadi, pastikan tisu dan tisu lembab ada di bahagian dashboard depan. Biasakan diri kita kumpul dan buang terus semua sampah dari dalam kereta setiap kali berhenti.

Ini penting untuk mengelakkan bau yang tidak diundang dan juga tetamu tidak diundang, lipas. Ya, pernah dahulu kami sewa kereta dan semasa memandu baru perasan yang kereta tersebut juga merupakan sarang lipas.

Saya tak dapat bayangkan kalau ada lipas terbang semasa saya memandu.

4. Satu beg untuk satu malam.

Bayangkan setiap kali berhenti untuk check in, kesemua beg perlu diangkut dari bonet. Mesti penat bukan? Apa yang kami buat, kami akan sediakan baju dan barang yang perlu sahaja untuk bermalam di setiap tempat.

Isteri saya akan kemas baju untuk tiga kali check in, jadi kami akan ada tiga beg berasingan. Setiap beg cukup untuk kami lima beranak. Setiap tiga hari kami akan basuh baju dikedai dobi dan susun balik baju untuk perjalanan seterusnya.

tip-packing-barang-road-trip-5

tip-packing-barang-road-trip-6

5. Penggunaan kotak bumbung

Kotak bumbung adalah bonus kepada kaki roadtrip macam saya. Saya gunakan kotak bumbung sebagai tempat simpanan beg pakaian dan tempat memunggah harian kerana mudah untuk bawa keluar masuk barang.

Manakala barang yang jarang digunakan saya akan simpan dibonet belakang, contohnya stroller bayi. Bagi mereka yang menggunakan kotak bumbung di kereta yang agak tinggi mungkin tidak sesuai buat strategi ini. Mungkin boleh terbalikkan sistem ini dengan menggunakan bonet belakang sebagai tempat memunggah harian dan kotak bumbung untuk barang jarang guna.

Seperti di dalam artikel saya yang lain, tidak sah jika tidak disertakan dengan video perjalanan kami menjelajahi semenanjung Malaysia selama 11 hari. Jumlah perjalanan ada lebih kurang 2300km.

Saya sempat buat video pendek sahaja, maklumlah bawak budak kecil tiga orang, memang tak menang tangan. Harap semua terhibur.

Artikel di atas disumbangkan oleh Tamimi Tarmizi. Beliau merupakan seorang Vblogger yang gemar mengembara road trip dengan kereta kancil. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤