Saya dan beberapa orang rakan yang lain mempunyai pengalaman ‘menjaga jodoh orang lain’. Proses recovery itu memang agak sukar pada mulanya lagi-lagi mengenangkan janji-janji manis yang pernah ditabur.

Lantaran itulah, akan timbul persoalan-persoalan seperti,

“Don’t you see me?”
“Think what I have done for you.”
“What does she/he have that I don’t?”

Tetapi tetap tiada jawapan. Malah mereka lagi bahagia bersama isteri/suami sedang kita masih tidak mempercayai kenyataan tersebut.

Untuk benar-benar bangkit kembali memerlukan masa, bergantung kepada tahap penerimaan individu. Kata orang, hanya mereka yang pernah mengalami situasi yang sama, tahu akan pedihnya perasaan itu.

Makanya di sini saya gariskan 5 tip (mengikut pengalaman sendiri) bagaimana untuk move on jika anda turut mengalami perkara yang sama.

1. Berani Hadapi, Jangan Lari

Jika satu hari anda mendapat berita bekas kekasih/tunang anda akan mendirikan rumah tangga bersama orang lain, berani untuk menghadapi kenyataan tersebut walaupun ia pahit.

Seseorang yang kuat adalah dia yang mampu untuk mengukir senyuman walau dirinya lagi dalam kelukaan. Jika anda cuba melarikan diri dari kenyataan, sampai bila-bila pun anda tidak akan mampu untuk menerima kenyataan.

2. Luahan Melalui Tangisan

Pada fasa awal recovery, anda mungkin akan banyak menangis, it’s okay. Menangis membebaskan kesedihan yang tersimpan dalam hati.

Kesedihan yang tidak terluah mungkin akan mengundang gejala lain seperti kemurungan.

Menangislah semampu anda tetapi ingat jangan terlalu lama menangisi dia yang telah pergi, kelak keceriaan di wajah turut sama pudar.

Menangislah dan luahkan kepada Pencipta kerna Dia lebih mengetahui sedang kita tidak mengetahui apa-apa. Hidup ini tetap perlu diteruskan.

3. Selalu Bersama Orang Yang Positif

Dalam karya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, hasil garapan Allahyarham Hamka memperlihatkan bagaimana watak Zainuddin yang memilih untuk bangkit dari kekecewaan setelah kekasihnya Hayati menikahi orang lain.

Kisah cinta mereka terhalang dek perbezaan suku dan darjat. Pada waktu itu, Bang Mulut, sahabat kepada Zainuddin lah yang tidak putus-putus memberi dorongan dan kata semangat serta mencarikan peluang untuknya meneruskan bakat yang terpendam.

Hasilnya, Zainuddin dikenali sebagai penulis terkenal di seantero Surabaya.

Watak seperti Bang Mulut lah yang perlu kita cari di dunia realiti kerna dia memainkan peranan penting dalam proses penyembuhan jiwa yang terluka. Kerana kata-kata sahabat yang lahir dari hati, akan masuk ke hati.

Antara ungkapan terkenal karya tersebut,

“Cinta itu bukan melemahkan hati,
Bukan membawa putus asa,
Bukan menimbulkan tangis dan sedu sedan,
Tetapi cinta menghidupkan pengharapan,
Menguatkan hati dalam perjuangan,
Menempuh onak dan duri penghidupan.”

Ayuh selalu bersama orang-orang yang positif!

4. Sibukkan Diri Melakukan Perkara Berfaedah

“Melepaskanmu
Bukan mudah bagiku untuk melalui semua ini
Pabila kenangan kita mengusik jiwa dan hati
Kala malam tidurku tak lena mengenangkanmu…”
(Lagu Terakhir, Suffian Suhaimi)

Pernah dengar lagu di atas? Pada fasa ini, elakkan diri untuk bersendirian. Hal ini kerana apabila anda bersendirian, kebarangkalian untuk anda mendengar lagu seperti di atas adalah tinggi.

Individu tersebut jiwanya menjadi cepat rapuh serta mudah untuk mendengar bisikan-bisikan yang tidak sepatutnya.

Luangkan masa melakukan hobi yang anda suka seperti mendaki, beriadah, membaca atau menyertai kelas-kelas agama agar masa senggang anda sentiasa terisi dengan kebaikan.

5. Doa Yang Baik-Baik

Apabila kita mendoakan yang baik-baik buat si dia, malaikat juga akan mendoakan perkara yang sama buat kita. Mendoakan orang lain tanpa pengetahuannya adalah sikap terpuji.

Walau mungkin ada yang berkata untuk apa didoakan dia yang pernah mengecewakan?

Ketahuilah hati akan berasa lebih tenang tatkala melepaskan sesuatu yang bukan milik kita.

Letakkan keyakinan bahawa setiap yang melangkah pergi akan digantikan dengan seseorang yang lebih baik untuk urusan di dunia jua akhirat sana.

Cinta yang berlebihan kepada manusia bakal mengundang kesakitan manakala cinta kepada Pencipta tidak pernah menghampakan.

Hayati makna doa selepas tahajud ini:

…..”Ya Allah kepada-Mu aku pasrah, kepada-Mu aku bertawakal,kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu aku kembali (bertaubat), dengan pertolongan-Mu aku berdebat (kepada orang-orang kafir), kepada-Mu(dan dengan ajaran-Mu) aku menjatuhkan hukum.

Oleh kerana itu, ampunilah dosaku yang telah lalu dan akan datang. Engkaulah yang mendahulukan dan mengakhirkan tiada Tuhan yang hak disembah kecuali Engkau, Engkau adalah Tuhanku, tiada ada Tuhan yang hak disembah kecuali Engkau.” (HR Bukhari 1145, Muslim 758, Abu Daud 1315)

Tuntasnya, hidup ini singkat. Jika terlalu banyak masa digunakan untuk mengenangkan perkara yang lepas, kita tidak akan nampak peluang lain yang terbentang luas.

Hargai mereka yang sentiasa bersamamu saat susah dan senang. Setiap yang berlaku punya hikmah dan hikmah itu hanya akan dirasai oleh seseorang yang redha.