Saya kira anda telah pun membaca kisah saya yang menjalani latihan praktikal selama sebulan di hospital di Afghanistan.

Baca perkongsian saya sewaktu Jalani Latihan Praktikal Di Hospital Afghanistan

apple ncig
HYPE
Setanding Apple, Syarikat Anak Watan Ini Sedia Lancarkan Produk Secara ‘Virtual’ Dari Tampin
Baca lagi →

Jadi ada baiknya saya kongsikan juga 53 fakta tentang Afghanistan yang boleh anda jadikan rujukan jika merancang untuk datang ke negara ini:

1. Terdapat 23 lapangan terbang di serata Afghanistan.

2. Afghanistan adalah negara landlock yang bersempadan dengan Iran, Pakistan, Uzbekistan, Turkmenistan, Tajikistan dan China.

3. Kabul adalah satu bandar lama yang telah berusia lebih daripada 3500 tahun dan juga merupakan bandar terbesar di Afghanistan.

4. Di Afghanistan, terdapat lebih 40 bahasa dan sekurang-kurangnya 200 dialek digunakan di seluruh negara.

5. 2 bahasa paling penting yang digunakan di sini, iaitu Dari (Persian) dan Pashto. Kedua-dua bahasa ini adalah bahasa rasmi Afghanistan.

6. Antara kedua-dua bahasa ini, bahasa Pashto lebih mendalam dari sudut kesusasteraannya dan juga lebih sukar berbanding Dari.

7. 50% penduduk berbahasa Dari (Afghan Persian), 35% Pashto, dan lain-lain bahasa adalah Turkic (kebanyakannya terdiri dari Uzbek dan Turkmenistan), Balochi dan lain-lain.

8. Orang yang boleh berbahasa Pashto kebanyakannya boleh menguasai Dari, tetapi tidak sebaliknya. Tidak semua penutur bahasa Dari boleh berbicara bahasa Pashto.

9. Afghanistan adalah negara yang majmuk dan berbilang etinik. Terdapat kira-kira 14 etnik utama yang telah disebutkan dalam lagu kebangsaan negara Afghanistan.

10. Kumpulan etnik di Afghanistan terdiri daripada 42% Pashtun, 27% Tajik, 9% Hazara, 9% Uzbek, 4% Aimak, 3% Baloch, 3% Turkmen, 2% Baloch dan banyak lagi.

Baca: 5 Tempat Menarik Yang Boleh Anda Pergi Di Kabul, Afghanistan

Permandangan Paghman, kira-kira 20km dari Kabul

11. Matawang di Afghanistan adalah Afghanis.

12. Rakyat Afghanistan pula digelar Afghan. Pastikan anda tidak tersilap kerana ramai keliru antara dua ini!

13. Afghanistan adalah negara ke 47 di dunia yang memiliki paling ramai penduduk , iaitu 30,55juta penduduk (Iraq pula 33,42 juta).

14. Kebanyakan perkampungan luar bandar tidak memiliki kemudahan elektrik.

15. Tetapi coverage internet di Afghanistan adalah yang terbaik. Rangkaian telefon bimbit dikatakan hampir mencapai 90% pada tahun ini walaupun peratusan rakyat yang mendapat akses bekalan elektrik adalah antara yang terendah di dunia.

16. Teknologi telefon bimbit telah banyak merubah kehidupan dan budaya orang Afghan. Orang-orang Taliban pun fancy dengan smartphones, dan nikmati kemudahan email dan skype.

17. Masjid Biru, atau The Shrine of Hazrat Ali adalah destinasi yang harus dilawati jika datang ke Mazar-e-sharif. Di sini bersemadi Hazrat Ali, sepupu dan menantu Nabi Muhammad saw.

Sejarah dan lagi fakta (politik dan ekonomi) menarik yang harus anda tahu!

18. Dahulunya, Afghanistan tidak semiskin dan sebahaya seperti sekarang. Sehingga lewat 1970an, negara ini menikmati keamanan dan masyarakatnya lebih terbuka.

19. Keadaan berubah setelah berlaku Civil War, Perang Soviet, Perang Amerika dan Islamik Radikal, yang telah mengheret Afghanistan ke kancah peperangan hampir 40 tahun lamanya.

20. Peperangan di Afghanistan oleh US bermula sejak 11 September 2001 hingga 8 Disember 2014. US dan NATO secara rasminya mengakhiri joint combat mission di Afghanistan dan 13 tahun peperangan ini telah menelan kos sebanya $720 billion.

21. Dikatakan sebelum sejarah penguasaan agama Islam di Afghanistan, pada kurun ke 9, terdapat 2 patung Budha terbesar di dunia sebagai bukti antik kehidupan peradaban Buddha di Bamiyan iaitu bandar yang terletak di tengah-tengah Afghanistan. Namun, tentera rejim Taliban telah menghancurkan patung tersebut pada tahun 2011.

22. Afghanistan adalah negara demokrasi yang masih baru terbina. Dibawah konstitusi demokrasi ini, terdapat presiden dan 2 timbalan presiden yang dipilih melalui pilihan raya pada setiap 5 tahun.

23. Kerajaan baru Afghanistan ini masih lagi berhadapan dengan masalah ancaman Taliban, keselamatan dalam negara dan juga perkhidmatan awam.

24. Afghanistan adalah antara negara paling kurang membangun dek kerana perang dan sangat sedikit pelaburan asing masuk ke negara ini. Mengikut Human Development Index (HDI), Afghanistan adalah negara ke 15 paling kurang membangun di dunia.

25. Hari kemerdekaan Afghanistan (daripada penguasaan British) adalah pada 19 Ogos, dan mereka telah merdeka lebih awal dari India dan Pakistan, iaitu pada 1919!

26. Pada tahun 2013, terdapat kenaikan sebanyak 300% dalam kultivasi Opium (Heroin) berbanding 7 tahun sebelum penguasaan US ke atas Afghanistan. Industri pembuatan opium sememangnya pesat di Afghanistan.

27. Kadar literasi di Afghanistan sangat rendah, dan bilangan kaum wanita yang tahu membaca adalah serendah 10-15%. Jumlah literasi di negara ini cuma kira-kira 34%.

Baca: Diragut Ketika Travel Di Afghanistan, Ini Apa Anda Perlu Lakukan Untuk Keselamatan

Kenangan bersama keluarga Blossom Healthcare Center – Doktor, jururawat dan staf hospital

Bersama rakan doktor di bilik mesyuarat. Ini cuma lakonan untuk pembikinan iklan hospital haha!

Keselamatan

28. Di Afghanistan, mengambil local guide adalah sangat disarankan. Jika tidak hire pun tidak mengapa, tetapi pastikan anda ada contact orang tempatan terlebih dahulu sebelum datang ke Afghanistan.

Pastikan anda datang ke Afghanistan dengan mengetahui risiko yang akan anda tanggung jika datang ke sini.

29. Berikan itinerari anda kepada keluarga atau teman rapat. Sekurang-kurangnya mereka tahu ke mana dan aktiviti perjalanan anda.

30. Pastikan anda ambil insurans travel sebelum datang ke negara berisiko tinggi seperti Afghanistan. Langkah bijak sebagai persediaan untuk segala kemungkinan.

31. Pastikan anda membuat salinan dokumen penting di laman web berkunci seperti Dropbox, Google Doc atau ke email personal anda. Dokumen penting adalah seperti Passport, IDs, ticket numbers, reservations dan sebagainya. Hal ini sebagai persediaan sekiranya dokumen ini atau fon anda hilang dalam perjalanan.

32. Ketika perjalanan, pastikan anda membahagikan wang tunai anda kepada beberapa bahagian, dan simpan di tempat berbeza, dan salah satu tempat terbaik adalah di pad box. Tiada siapa akan lihat bahagian itu :P

33. Ketika mengembara, pakailah secara sederhana. Pemakaian yang menjolok mata di kawasan tertentu hanya mengundang bahaya. Orang putih wanita yang datang ke Afghanistan juga memakai hijab bagi menghormati budaya orang Afghanistan.

34. Di kawasan tertentu, memakai cincin kahwin palsu sangat membantu. Atau jika ada orang tidak dikenali yang membuatkan anda kurang selesa dan bertanya adakah anda keseorangan, adalah lebih bijak jika anda tidak terlalu jujur bahawa anda travel secara solo.

Katakan, suami saya pergi ke tandas sebentar atau saya travel bersama rakan-rakan dan mereka ada di sana (sambil menunjukkan arah lain). Lakonan seperti ini sangat berguna dan gunakan ´instinct` demi keselamatan anda.

35. Dapatkan info daripada orang tempatan tentang lokasi berisiko tinggi. Masih ada daerah yang dikuasai Taliban.

36. Pelajari sedikit sebanyak bahasa tempatan iaitu Dari (Farsi) ataupun Pashto. Hal ini menyelamatkan anda dari ditipu oleh pembeli atau pemandu teksi dan juga membolehkan anda menyamar sebagai orang lokal.

37. Untuk penginapan, terdapat hotel 3-5 bintang dengan rate lebih tinggi yang memberikan jaminan keselamatan kepada guest. Terpulang kepada anda.

Mengikut kajian saya bertanya dengan orang tempatan, penginapan hotel mahal juga ada sahaja risiko dibom. Yang ini, doa banyak-banyak. Tepuk dada tanya selera.

38. Apabila di tempat awam, dinasihatkan untuk tidak menonjolkan bahawa anda adalah tourist. Ambil gambar juga haruslah berpada-pada. Pengalaman saya sendiri, saya telah disoal oleh orang tempatan apa tujuan saya mengambil gambar kerana ada yang mengesyaki saya ada niat tersembunyi yang lain.

Mana-mana sahaja akan ada permandangan ini apabila masuk waktu solat.

Budaya Afghanistan menarik (yang perlu anda tahu).

39. Jika anda datang ke Afghanistan, anda akan lihat bahawa orang Afghanistan akan memberikan anda layanan terbaik kepada tetamu mereka. Nilai ini sangat dititikberatkan oleh orang Afghan.

Nilai ini juga berkait rapat dengan nilai agama Islam yang mementingkan tetamu. Mereka turut melayan baik tentera-tentera Amerika. Menurut Dr. Bahar (doktor saya), pernah suatu ketika Osama bin Laden mendapatkan rawatan di hospitalnya sebelum ini.

Pihak hospital sanggup merahsiakan kedatangan Osama dan memberikan rawatan terbaik kerana bagi mereka Osama adalah tetamu di hospital mereka.

40. Jika mengambil gambar terutamanya wanita, pastikan anda meminta kebenaran! Bukan budaya mereka untuk letakkan gambar mereka di sosial media. Untuk mengambil gambar dengan wanita tiada masalah, tetapi mereka akan merayu kepada anda untuk tidak meletakkannya di media sosial

41. Budaya orang Afghan kaya dengan pengkayaan sajak. Budaya penceritaan hidup dalam bentu sajak ini telah pun bermula lebih dari 1,000 tahun. Di Herat, malam Khamis adalah dipanggil ‘poetry night’ di barat Herat – kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak akan berkumpul untuk berkongsi sajak klasik dan sajak moden, memperdengarkan muzik tradisional Herat sambil menikmati teh manis dan pastries sepanjang malam.

42. Orang Afghan menyambut perayaan Tahun Baru pada 21 Mac. Tarikh ini menandakan festival pre-Islamik yang dinamakan Nowraz. Ia juga adalah tanda permulaan musim bunga. Ramai orang Afghan akan datang melawat bandar Mazar-e-Sharif untuk menyambut perayaan ini.

43. Perkahwinan di Afghanistan hampir kebanyakannya adalah perkahwinan yang diatur. Adalah sesuatu yang memalukan keluarga jika anak mereka berkahwin atas dasar cinta dan suka sama suka.

44. Sambutan perkahwinan berbeza di bandar dan luar bandar. Sambutan majlis perkawinan adalah sangat meriah di luar bandar dan mereka meraikannya sehingga 3 hari lamanya.

45. Terdapat banyak dewan perkahwinan (wedding hall)  di bandar besar seperti Kabul. Di tengah-tengah bandar, Wedding hall ini meriah seperti taman tema Genting Highland!

46. Teh adalah minuman kegemaran orang Afghan. Makanan popular pula adalah Kabli Palau, iaitu mengandungi nasi, daging dan kismis. SERIOUS SEDAP!

47. Terdapat KFC di Kabul, bukan bermaksud Kentucky Fried Chicken, tetapi nama penuh adalah Kabul Fried Chicken.

Capli Kebab, yang bermaksud Kebab Selipar

Aiskrim Afghan. Sedapnya…

 

Kehidupan sebagai wanita di Afghanistan.

Ini kajian yang saya perolehi sepanjang penyelidikan selama sebulan yang ingin saya kongsikan dengan pembaca The Vocket.

48. Afghanistan adalah salah satu negara yang paling mencabar bagi seorang wanita.

49. Kematian kebanyakannya adalah ketika mengandung dan bersalin. 460 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran. Data daripada PBB.

50. 85% wanita tiada pendidikan formal dan tidak boleh membaca (buta huruf).

51. Purata wanita melahirkan 6 orang anak.

52. Dan lebih sadis, 1 daripada 10 anak mereka mati sebelum mencapai umur 5 tahun.

53. Jangkaan hayat untuk wanita Afghan adalah 51 tahun.

Baca lagi bagaimana Matlamat Hidup Saya Berubah Selepas Sertai Sukarelawan Di Kem Pelarian Di Greece

Artikel di atas disumbangkan oleh Siti Fatimah. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka