Menjadi seorang penulis buku merupakan impian ramai orang termasuklah aku sendiri. Alhamdulillah, pada usia 22 tahun dan ketika masih bergelar seorang mahasiswa, Allah SWT memakbulkan cita-cita aku untuk menjadi seorang penulis dengan terhasilnya buku Mahasiswa Bukan Robot, #Henshin Mahasiswa dan Berkawan Dengan Jin.

“Macam mana nak jadi penulis?”, soalan ni seringkali diajukan kepada aku oleh kawan-kawan yang mempunyai impian untuk menjadi penulis. Dan kalau kau pun mempunyai impian yang sama, jemput baca dan amalkan langkah-langkah ni!

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

1. NIAT MESTI BETUL

Ada orang menulis sebab nak jadi kaya, ada orang menulis sebab nak jadi popular. Lain orang, lain niat. Apa-apapun niat kau untuk menjadi seorang penulis, pastikan niat tu memberi manfaat kepada kau di dunia dan di akhirat.

Aku mula bergiat dalam dunia penulisan pun dengan niat nak menegur kawan-kawan secara halus, dan alhamdulillah, dengan niat tersebut jugalah aku kekal menulis sehingga ke hari ni (acah-acah dah lama). Hah, menulislah kerana Allah!

2. KENAL PASTI NICHE AREA

Kau nak jadi penulis dalam bidang apa? Novel cinta? Buku-buku tarbiah? Kekeluargaan? You name it. Pastikan kau betul-betul kenal dan tahu apa niche area yang kau nak pamerkan sebagai seorang penulis. And be focus!

Macam aku, fokus penulisan aku banyak berkisar isu mahasiswa, sebab tu terhasilnya buku Mahasiswa Bukan Robot dan #Henshin Mahasiswa. “Eh, buku Berkawan Dengan Jin tu macam mana?”, tu buku pasal vape, aku tulis berkenaan pandangan sains berkenaan vape sebab aku kan student kimia.

Niche area ni penting, kalau kau tak ada niche area, kau akan pening. Tahun ni kau tulis buku masakan, tahun depan kau tulis buku enjin kereta, dua tahun seterusnya kau tulis buku sejarah. Tak ke pening tu. Kau pening, pembaca pun pening.

Dua contoh penulis yang hebat dalam niche area masing-masing ialah Ramli Awang Murshid (novel thriller) dan Pak Talib (novel fiksyen). So, apa niche area kau?

3. MENULISLAH!

Nak jadi penulis, kau mesti menulis. Mudah kan? Tulislah kat Facebook, Twitter, Instagram, buku nota, kertas, smartphone, dan kat mana-mana yang sesuai untuk kau abadikan penulisan-penulisan kau.

Menulis ni skill, dan skill mesti diasah. Awal-awal menulis dulu pun, penulisan aku sangat amatur. Tulis tak berperenggan, ayat tak best, pilihan perkataan tak kuat dan sebagainya. Tapi, dari semasa ke semasa, alhamdulillah penulisan aku bertambah baik dan lebih berstruktur.

4. BINA RANGKAIAN

Penulis buku, tak dapat tidak mesti kena bina hubungan yang baik dengan penerbit. Sebab, tanpa penerbit, tiadalah buku yang diterbit. Melainkan kalau kau nak self-publish.

Macam mana nak bina network? Satu, pastikan kau pamerkan diri sebagai seorang penulis sama ada dalam dunia nyata, mahupun alam maya. Kalau Facebook kau ada 98% post gambar kucing, kau rasa penerbit yang mungkin kenalan kau di media sosial tahu tak yang kau ada bakat menulis dan nak jadi seorang penulis? Melainkan kalau kau nak tulis pasal kucing.

Dua, sertai segala bengkel, kursus, klinik, kem, seminar, konferens dan simposium penulisan yang ada sebanyak mungkin. Biasanya speaker merupakan penulis yang berpengalaman, mahupun insan-insan yang berautoriti dalam rumah penerbitan (baca : syarikat penerbitan buku).

5. MULA MENULIS MANUSKRIP PENULISAN BUKU SECARA SERIUS!

Dalam dunia penulisan, ada tiga cara untuk sesebuah buku tu diterbitkan oleh rumah penerbitan.

Pertama, tulis manuskrip sampai siap, kemudian serahkan kepada penerbit.

Kedua, bincang dulu dengan penerbit berkenaan buku yang hendak ditulis, apabila sudah jelas kehendak dua-dua pihak, baru mula menulis.

Ketiga, dilamar penerbit. Apa-apapun, mesti ada manuskrip penulisan yang siap terlebih dahulu, barulah boleh diterbitkan.

6. BERDOA!

Ya, berdoa. Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita menjadi penulis yang mendapat redha-Nya dan semoga penulisan kita memberi manfaat kepada ummah. Antara perkara yang aku suka buat bila ke kedai-kedai buku, aku akan berdoa; “InsyaAllah, suatu hari nanti buku aku pun akan ada kat kedai buku ni!”, dan alhamdulillah, Allah SWT makbulkan doa tu.

Okaylah, cukup enam langkah ni dulu aku kongsi. Langkah ketujuh, aku akan kongsikan bila kau dah sampai peringkat tali pinggang hitam. Till then, amalkan dulu enam langkah ni untuk menjadi seorang penulis.

Semoga perkongsian ni memberi manfaat kepada semua, terutama sekali bagi mereka yang mempunyai impian untuk menjadi seorang penulis. InsyaAllah.