Asalamualaikum. Saya Balkis berusia 20 tahun pada tahun 2016. Saya ingin menceritakan serba sedikit pengalaman saya sepanjang mengerjakan rukun Islam yang kelima, iaitu ibadah haji.

Kisah ini ditulis ketika saya masih berada di Madinah dan Makkah. Disebabkan saya suka mencatat apa yang saya peroleh sepanjang di sini.

Maka, apa yang ditulis ini bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, tapi ini memang azam saya untuk berkongsi dan mengajak tuan puan yang membaca entri ini untuk mempunyai impian untuk menjadi tetamu Allah juga suatu hari nanti, InshaAllah.

Ramai di antara kenalan saya yang terkejut mendengar pengkhabaran saya berangkat ke mekkah untuk menunaikan haji pada usia semuda ini.

Apatah lagi saya sewaktu menemankan ibu saya ke Tabung Haji, untuk bertanya bila giliran kami untuk menjadi tetamu Allah pada musim haji.

Tahun 2016 adalah tahun yang bermakna kerana kami dipanggil oleh Allah untuk menjadi dhuyufurrahman. Alhamdulillah saya dapat menunaikan haji bersama kedua ibu bapa saya.

1. Bagaimana saya dipanggil pada usia semuda ini?

Ada kalangan sahabat-sahabat saya yang bertanya bagaimana saya boleh pergi haji pada usia 20 tahun. Mereka ingat bahawa saya ambil pakej haji yang agak mahal.

Tapi sebenarnya tidak, saya mengikuti pakej haji muasasah yang telah disediakan oleh Tabung Haji berkurun lamanya. Ibu saya telah mendaftar namanya dan saya pada tahun 2007 di Kompleks Tabung Haji dengan bayaran RM 1300+ dan proses untuk buka akaun Tabung Haji hanya RM 10 sahaja.

Biasalah bila ikut pakej muasasah, pihak TH menggunakan sistem giliran untuk mana-mana bakal jemaah haji yang akan dipanggil setiap tahun. Bila sebut sistem giliran, bukan daftar hari ini seterusnya tahun ni dapat.

Hal ini demikian, bukan sedikit rakyat Malaysia yang mendaftar tapi hampir beratus-ratus ribu orang.

Oleh kerana itu, kita sentiasa dengar dari pengalaman pakcik makcik yang pergi haji, mereka menunggu 9 tahun untuk mendapat panggilan dari pihak TH.

Tidak lupa juga, ada di antara mereka yang menghantar rayuan untuk pergi haji pada setiap tahun agar mereka juga dapat menjadi tetamu Allah pada tahun berikut.

Makanya, teramatlah rugi jika ada yang menolak tawaran sekiranya dipanggil kerana bila sahaja kita tolak tawaran tersebut, secara automatik harapan untuk pergi haji pada masa yang terdekat amat tipis.

Tapi sebenarnya bagi saya, panggilan Ibadah Haji adalah semua kerja Allah. Jangan persoalkan kenapa ada yang pergi Haji hampir 2 dan 3 kali sedangkan ada lagi yang tidak dipanggil, ini semua adalah rezeki masing-masing. We must believe on qada’ and qadr.

Baca: Teringin Nak Pergi Haji Cepat? Ini 15 Cara Yang Boleh Anda Lakukan

tunaikan-haji-di-usia-muda-1

tunaikan-haji-di-usia-muda-2

tunaikan-haji-di-usia-muda-4

Bersama Muallimah dari Afrika.

tunaikan-haji-di-usia-muda-5

2. Apa perbezaan haji pakej dan haji muasasah?

Disebabkan saya hanya ada pengalaman mengikut muasasah, saya hanya dapat menceritakan lebih sedikit tentang muasasah.

Kebiasaannya, bagi yang mendaftar ikut haji pakej kos nya agak tinggi berbanding muasasah dan boleh mencecah hampir beratus-ratus ribu.

Bagi kos muasasah adalah RM 22000+, untuk pendaftar haji buat kali pertamanya, mereka hanya perlu membayar sekitar RM 9000+. Hal ini disebabkan, mereka menerima subsidi dan untuk yang lebihnya akan ditanggung sendiri oleh pihak Tabung Haji. Tahniah TH!

Bagi saya pengurusan TH amatlah teratur, dari program kursusnya hinggalah ketika musim haji. Saya boleh katakan lima bintang lah.

Untuk haji pakej, apa yang menyebabkan kosnya tinggi adalah kemungkinan sedikit berbeza dari muasasah, mungkin dari segi hotel jemaah mungkin berdekatan dengan masjidil haram dan makanan yang disediakan adalah secara buffet.

Dan peluang untuk menunaikan ibadah haji dalam waktu terdekat jugak amat tinggi kerana hanya sebilangan sahaja yang mendaftar secara pakej.

3. Apakah persediaan yang saya buat sebelum menunaikan ibadah haji?

Secara jujurnya, saya boleh katakan untuk menunaikan haji bukanlah senang. Saya rasa orang lain pun mempunyai perasaan yang sama. Lagi-lagi saya sebagai seorang yang masih muda, berfikir banyak kali adakah saya patut terima atau sebaliknya.

Allahu, cuma Allah je tahu perasaan saya masa tu. Banyak benar ujian yang saya terima. Betul ustaz cakap, Allah bukan je bagi ujian masa kita beribadah haji, bahkan masa sebelum kita berangkat pun Allah dah menguji kita. Tinggal kita boleh hadapi atau tidak.

Nak dijadikan cerita, saya dihimpit 2 perasaan iaitu menerima tawaran haji dan mendaftar degree di salah sebuah universiti terkemuka di Malaysia pada bulan Ogos. Serius berbelah bagi.

Tapi bila difikirkan peluang haji seumur hidup dan peluang study boleh ditimbangkan. Akhirnya saya terima dengan hati yang yakin dan bergantung padaNya.

Bila kita dah dipanggil sebagai tetamuNya, semestinya kita mesti melakukan persediaan sebelum berangkat ke Kota suci ini. Persediaan ilmu sangat penting bagi memudahkan kita lagi faham dan dapat gambaran bagaimana suasana haji ini.

Dan TH sendiri telah menyediakan banyak kursus teori dan praktikal seperti kursus asas, intensif dan perdana.

Kedua, persediaan ibadah. Sejak di Malaysia lagi, ibadah perlu ditingkatkan seperti solat tahajud, taubat, hajat dan witir. Ini dapat lagi mendekatkan diri kepadaNya. Dan salah satu cara kita menunjukkan syukur kita dapat menjadi tetamuNya.

Ketiga, persediaan dari segi emosi dan mental serta fizikal. Saya dah fikir memasak bila saya dah berangkat, saya tidak akan pernah rasa menyesal menangguhkan pelajaran saya. Itulah yakin saya kepadaNya.

Dan saya bersedia apa jua ujian yang saya akan hadapi semasa dan selepas menunaikan haji demi mencari keredhaanNya.Sebulan sebelum berangkat, saya dah mula ambil makanan tambahan seperti vitamin c sebagai usaha saya menjaga kesihatan daripada pelbagai penyakit.

Dan minum lebih 2.5 liter sehari itu wajib sebab utama adalah cuaca di arab saudi sangat kering dan panas. Kami juga diberi 3 suntikan antivirus iaitu untuk penyakit radang paru-paru, Mers-Cov dan satu lagi tak ingat pulak.

4. Apa pengalaman saya ketika menunaikan ibadah haji di sana?

Untuk dicoretkan di sini, mungkin tidak cukup kerana terlampau banyak saya dapat dari travelog haji saya kali ini.

a. Jutaan manusia

Benda yang paling best adalah bila saya dapat lihat sendiri lautan umat manusia dari pelusuk dunia datang ke kota Mekkah. Ada dari Turki, Bangladesh, Pakistan, Mesir, China, India, Senager, Nigeria dan banyak lagilah. Saya boleh lihat budaya dan bahasa mereka tersendiri.

Cara solat juga berbeza sebab lain negara lain mazhab. Kat sinilah Allah nak tunjuk betapa ramai umatNya dekat dunia ni datang semata mata menyahut panggilanNya.

Bila tiba musim haji, semua mengenakan pakaian ihram berwarna putih tidak kira pangkat,kaya atau miskin. Semua itu sama disisiNya kecuali mereka yang bertakwa.

b. Sesi tadarus bersama معلمة (muallimah)

Menariknya yang ada di sekitar masjid-masjid di Mekah adalah kehadiran para ustazah untuk memeriksa bacaan quran para jemaah yang datang ke Masjid.

Secara tak langsung, saya boleh tambah kenalan dengan mereka. Saya dapat kenalan baru bersama muallimah daripada Afrika, bernama Teacher Sarah.

Siapa tak sangka, beliau muda setahun daripada saya dan telah mengajar quran dengan kanak-kanak sejak beliau berumur 14 tahun. SubhanaAllah, hebat sungguh susuk tubuh wanita ni.

c. Budaya amalan bersedekah

Setiap kali keluar daripada hotel, saya akan terserempak dengan ibu-ibu Afrika, anak kecil yang meminta sedekah. Dalam hati, saya berkata kenapa masih ramai peminta sedekah sedangkan negara Arab merupakan negara yang terkaya dengan penghasilan minyak.

Bukankah mereka boleh menampung golongan-golongan yang tidak berkemampuan ini. Akhirnya, terjawab bila saya membayar dam, kesalahan kecil untuk umrah haji hari tu.

Kalau tiada mereka, bagaimana orang yang pergi umrah ataupun haji, ingin membayar dam kepada mereka. Lagi satu, Arab ingin mendidik penduduknya mengamalkan budaya sedekah, kerana dengan sedekah kita berkongsi rezeki yang Allah berikan.

Ada satu kisah, ketika saya pulang dari masjidil haram menuju ke tempat penginapan. Saya melihat susuk tubuh seorang lelaki Arab sedang mengagih berkotak-kotak minuman jus oren kepada jemaah-jemaah haji.

Mulia sungguh hati-hati mereka, sentiasa tanamkan sifat suka memberi dalam diri dan memahami kepenatan jemaah berulang alik menunaikan ibadah kepadaNya. Contoh beginilah yang harus kita ikut, kerana mereka mengikut sunnah nabi yang jugak suka bersedekah.

d. Hujan Rahmat vs ribut pasir

Momen yang saya tidak dapat lupakan adalah ribut pasir dan hujan. Bagi rakyat mekkah sendiri, sudah menjadi kebiasaan tanah haram itu dilanda ribut pasir.

Saya pelik, dan tertanya kenapa berpasir? Memanglah berpasir, kan negeri mereka dikelilingi dengan padang pasir. Haha. Mungkin sebab itulah salah satu faktor, wanita-wanita arab hampir keseluruhannya memakai niqab ataupun burqa bewarna hitam sebagai perlindungan daripada habuk-habuk pasir tersebut. Bijak.

Bila hujan, saya boleh bilang dengan jari. Sepanjang di sana, saya sempat rasa hampir 4 kali. Bersyukurnya sangat-sangat sebab saya dapat rasa air hujan itu sendiri.

Sangat sejuk, boleh katakan macam ketulan ais. Best lah. Bagi rakyat Mekah sendiri, mereka jugak turut tidak melepaskan peluang untuk merasakan air hujan yang membasahi bumi barakah tersebut.

Kalau boleh mereka nak mandi hujan sebab di sana bukan selalu hujan. Yang paling penting, berdoa ketika waktu hujan turun, kerana waktu tulah mustajabnya kalau kita baca doa, lagi-lagi di bumi tanah haram ni yang Allah berkati.

e. Golongan senior dan junior

Nampaknya tahun ini saya boleh katakan ramai anak muda seperti saya menjadi jemaah haji. Apa lagi seronok lah, sebab saya tak rasa janggal dengan kehadiran rakan yang sebaya dengan saya.

Jemaah paling muda yang saya jumpa adalah 18 tahun. Salute dengan adik ni. Walaupun begitu, ada sebab pihak TH berbuat demikian.

Salah satu sebabnya, supaya golongan yang muda ni dapat membantu golongan tua ketika di sana lebih-lebih lagi ketika operasi masyaer (Padang Arafah, Mudzalifah dan Mina). Secara langsung, budaya tolong menolong dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak muda ini.

Saya pun tidak melepaskan peluang membina hubungan dengan jemaah-jemaah yang sudah berumur. Banyak cerita dan pengalaman yang mereka kongsikan dengan saya.

Dan, saya banyak belajar banyak hal terutamanya isu kehidupan daripada mereka, lantas boleh menjadi panduan untuk kehidupan saya kelak.

f. Bersama ibu bapa

Saya ada impian untuk bawa ibu bapa saya menunaikan haji. Tapi perancangan Allah lagi hebat, Dia dah mengatur segalanya. Ibu bapa sayalah yang membawa saya di usia muda.

Mereka lah yang menampung sepenuhnya dengan berkat gaji bulan-bulan yang mereka simpan dalam akaun tabung haji saya. Saya tidak tahu bagaimana ingin membalas jasa mereka, inilah hadiah yang paling bermakna sepanjang umur 20 tahun.

Yang penting, saya berdoa di depan kaabah biarlah ibu bapa saya terus istiqamah dan menjaga kemabruran haji mereka manakala saya pula dapat berbakti kepada mereka selagi nyawa di kandung badan.

Baca: Dijemput Allah, Kisah Saya Menunaikan Haji Tanpa Mendaftar Dengan Tabung Haji

tunaikan-haji-di-usia-muda-6

Di Jamarat Mina untuk sesi melontar jamrah.

tunaikan-haji-di-usia-muda-7

With my beloved parents

tunaikan-haji-di-usia-muda-8

Ketika wukuf di Padang Arafah

tunaikan-haji-di-usia-muda-9

tunaikan-haji-di-usia-muda-3

Bersama makcik-makcik yang havoc dan baik hati.

Penutup

Sungguh banyak lagi coretan travelog haji saya yang belum sempat saya titipkan. Namun begitu, saya ingin simpulkan perjalanan ke Meah dan Madinah bukan seperti percutian-percutian kita yang lain.

Perjalanan ini untuk kita lihat bagaimana kita menjadi tetamu-Nya. Adakah kita sabar, adakah niat kita beribadah semata-mata keranaNya ataupun sebaliknya.

Bagaimana pula kita menjaga kemabruran haji kita? Adakah kita masih sama seperti dahulu ataupun pelan-pelan berubah menjadi hamba Allah yang soleh demi meraih keredhaaNya.

اللهم حجا مبرورا وذنبا مغفورا وعملا صالحا مقبولا

Ya Allah jadikanlah haji ini haji yang mabrur, dosa yang diampun dan amalan soleh yang diterima.

Semoga sesiapa yang membaca artikel ini saya doakan juga dapat menjadi tetamuNya satu hari nanti. Ameen inshaAllah.

Baca lagi: Perkongsian Pengalaman Seorang Gadis Tunaikan Haji Di Usia 21 Tahun

Artikel di atas disumbangkan oleh Balkis Fatiha. Boleh ikuti beliau di sini.
0 KOMEN

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤