Siapa pernah menonton telemovie Dominan lakonan Sidi Oraza dan Azizah Mahzan? Ia mengisahkan seorang isteri yang berjaya di dalam dunia perniagaan tetapi memandang rendah dan berkata-kata sinis pada suaminya yang hanya bekerja makan gaji. Sikap isteri yang tidak hormat pada suami itu membuatkan anak-anaknya turut memandang rendah pada kebolehan ayah mereka sebagai ketua keluarga. Banyak babak-babak yang boleh kita rasa si isteri itu tidak mencintai suaminya.

Bagaimana pula dengan situasi di alam realiti? Tidak mustahil babak-babak sebegitu turut berlaku di dalam sesebuah keluarga. Apatah lagi apabila pendapatan dan tahap pendidikan si isteri lebih tinggi daripada suami. Mungkin tanpa sedar, ada perkara-perkara yang membuatkan suami merasakan dirinya tidak dicintai isteri. Lalu mengambil langkah menjauhkan diri dan hati daripada isteri dan keluarga. Maka, penting untuk para isteri berhati-hati apabila berbicara dengan suami.

Ini 6 sebab suami tidak rasa dirinya dicintai isteri:

1. Suami merasa dirinya tidak dipercayai apabila isteri beri nasihat yang tidak dimintanya atau cuba ubah kelakuannya.

2. Suami merasa dirinya tidak diberi dorongan dan diperkecilkan apabila isteri mengecamnya ketika dia membuat keputusan.

3. Suami merasa dirinya tidak diterima apabila isteri menyatakan kekesalan di atas kelakuan suami dan berbicara dengan nada menghukum suami.

4. Suami merasa dirinya tidak dipersetujui apabila isteri menyatakan rasa kesal dengan memberi bertubi-tubi soalan kepada suami.

5. Suami merasa dirinya tidak dikagumi apabila isteri memperlakukan seperti dirinya seorang anak kecil. Diarah-arahkan oleh isteri.

6. Suami merasa dirinya tidak dihargai apabia isteri mengeluh dengan apa yang tidak dilakukan oleh suami dan memandang enteng apa yang telah suami lakukan untuk isteri.

Apabila kita mencintai seseorang, ada satu perasaan yang membuatkan kita rasa dekat dengannya atau rasa sesuatu yang bahagia di hati. Kita akan ada rasa connection dengan orang yang dicintai dan dia seperti memahami perasaan dan diri kita. Apabila rasa itu hilang, ia satu amaran yang tidak boleh diabaikan. Pasangan patut saling berkomunikasi dengan terbuka berkaitan perasaan dan kehidupan sebagai suami isteri. Tetapi ada yang parah apabila rasa dicintai tetapi dalam masa yang sama disakiti oleh pasangan. Jika tidak diatasi, kedua-dua perhubungan sebegini boleh berakhir.

Sumber: Counselling Long Beach, “Perempuan VS Lelaki: Teknik Berkomunikasi Supaya Lelaki Tidak Salah Faham” oleh Malahayati (Terbitan Yamani Angle)

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤