Dalam filem Melayu klasik tentang Melaka diserang Portugis pada 1511, orang Melayu hanya menggunakan keris, tombak, lembing dan seumpama dengannya untuk mempertahankan kota. Sebenarnya pada waktu itu, orang Melayu telah pun menggunakan senjata api sendiri seperti senapang dan meriam.

Ya, ia sememangnya benar berdasarkan catatan Afonso de Albuquerque! Selama ini kita dimomokkan dengan kisah orang Melayu yang hanya mahir bermain senjata tajam tetapi tidak disentuh kehebatan dari segi teknologi senjata api.

Orang Melayu telah ada kemahiran pertukangan besi sejak berabad-abad lamanya. Ini dibuktikan dengan kewujudan keris. Kita tahu keris lebih menonjol dan mahsyur kerana ia adalah senjata utama dan hasil pertukangan Melayu sejati yang berasal dari alam Melayu ini.

Apabila saya nyatakan alam Melayu, ia bukan sekadar orang Melayu di Malaysia sahaja. Ia meliputi kawasan serantau yang mempunyai budaya Melayu-Polinesia seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, selatan Thailand, Filipina, Brunei dan Timor Timur.

Manuskrip Ilmu Bedil

Contoh elemen tasawuf yang menunjukkan aspek teknikal menggamak, membidik dan posisi tubuh sebelum melepaskan tembakan.

Saya turut menemui satu artikel yang ditulis oleh Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah dan Siti Radziah Mustafa dari Universiti Malaya yang bertajuk “Manuskrip Ilmu Bedil Sebagai Sumber Etnosejarah Teknologi Senjata Api Melayu.”

Secara ringkas, terdapat 6 buah manuskrip ilmu bedil bertulisan jawi lama telah dikesan membincangkan tentang aspek pengetahuan (teoretikal), teknologi (termasuk teknikal senjata api) dan kebudayaan orang Melayu.

Kelompok individu pakar senjata api pada zaman dulu dikenali sebagai golongan “arif” dan “pendekar tembak”. Mereka pandai mengadaptasi teknologi senjata api yang dibawa oleh orang asing yang datang ke sini.

Pada awal abad ke-16, orang Portugis membawa senjata espingarda. Teknologi senjata itu telah diadaptasi oleh orang Melayu dan dikenali “istinggar”, “setinggar” atau “istinggar Minangkabau” (senapang pencucuh sumbu di Sumatera Barat).

Kemudian, orang Melayu belajar mengadaptasi senapang pencucuh batu api (flintlock) daripada orang Belanda. Orang Belanda menyebutnya sebagai snaphaan dan orang Melayu menyebutnya sebagai “senapang”. Ada juga memanggilnya terakul.

Senjata api ringan ini digunapakai dalam peperangan sehingga abad ke-19. Mereka juga menggunakan raifel En-field milik Inggeris selepas pertengahan abad ke-19. Ini menunjukkan orang Melayu pandai mengadaptasi dan memanfaatkan teknologi senjata api dalam konflik bersenjata.

6 Jenis Senjata Api Alam Melayu

1. Meriam

Meriam besar Sri Patani

Meriam besar untuk pertempuran jarak jauh ini biasanya diletakkan di atas tembok-tembok kota. Orang Melayu Pattani hebat dengan meriam-meriamnya yang bersaiz besar dan digeruni musuh iaitu Siam selama lebih 200 tahun.

Apabila Siam memenangi Pattani, meriam besar Sri Patani dan Sri Nagara dirampas dan dibawa ke Siam. Hanya Sri Patani saja sampai ke Siam kerana Sri Nagara tenggelam di lautan. Sekarang ia diletakkan di hadapan pejabat Kementerian Pertahanan di Bangkok, Thailand.

2. Lela

Lela Naga

Dipanggil “swivel gun” dalam bahasa Inggeris ini adalah sejenis meriam yang lebih kecil daripada meriam biasa yang dibuat daripada tembaga dan ada macam-macam saiz. Ia meriam mudah alih yang boleh digunakan di atas gajah dan perahu.

3. Rentaka

Rentaka

Ia bentuk macam lela tapi dibuat daripada besi. Ia mudah alih, ringan dan lebih kecil daripada lela. Ia biasa diukir dengan simbol Melayu iaitu pucuk rebung (macam tiga segi). Ia disebut Lantakas dalam bahasa Inggeris kerana gabungan lela dan rentaka. Ia sering digunakan oleh orang Brunei, Moro, dan Sulu. Rentaka juga mempunyai ukiran di atas badan hingga ke muncung laras.

4. Istinggar

Istanggar Melayu dari kurun ke-18
Kancing istinggar

Ini adalah moyang kepada senapang patah moden di mana ia mempunyai kancing (locks). Istinggar (musket) turut dipanggil Senapang Kancing Sumbu (matchlock). Istinggar ini amat berat dan panjang. Ia mempunyai ruang silinder kosong untuk ubat bedil.

Malacca Musket

Harga Malacca Musket dilelong oleh seorang collector dengan harga RM65,000 dan Malay Musket dilelong dengan harga RM45,000.

5. Pemuras

Pemuras dan Karga Brunei

Pemuras (blunderbuss) adalah sejenis senapang yang mempunyai ukuran lebih pendek daripada istinggar. Jika dibandingkan dengan masa kini, boleh dikatakan ia adalah moyang kepada shot gun.

Dulu ia biasa digunakan dalam kapal untuk jarak dekat dan menggunakan kancing Eropah. Hujung pemuras biasanya diukir seperti mulut harimau atau ular. Disitulah dimasukkan ubat bedil iaitu peluru timah hitam.

6. Terakol

Terakol

Pistol tangan yang lebih pendek dipanggil terakol atau tarkol (dalam bahasa Turki) ini agak popular dalam kalangan lanun-lanun dan pedagang-pedagang laut Melayu. Ia adalah senjata api ringan yang dikecilkan daripada pemuras.

Ia adalah moyang kepada pistol masa kini boleh digunakan untuk bertempur dengan laju di depan musuh. Ia menggunakan teknologi kancing roda (wheel lock) tanpa perlu serbuk bedil dibakar menggunakan fius. Kemudian digantikan dengan teknologi kancing batu api (flintlock)

Petikan filem Queen of Langkasuka

Senjata-senjata api ini menunjukkan bangsa Melayu adalah bangsa yang hebat dan pandai mengadaptasi teknologi untuk kegunaan dalam peperangan bersenjata bagi mempertahankan tanah air. Dengan itu, kita patut rasa bangga dan menanam cita-cita untuk mengembalikan kegemilangan bangsa Melayu dalam penguasaan ilmu dan teknologi.

Oh! Mungkin ada yang tertanya mengapa kalah perang jika ada semua ini. Apakah pendapat anda?