Semalam (31 Oktober 2016) diumumkan harga minyak kereta Ron95 dan diesel naik dan minyak masak yang lebih 3 kilogram (kg) pula berubah harga.

Ini semua akan memberi kesan kepada peniaga makanan dan katerer. Dalam situasi ini anda tak perlu mengeluh dan jangan marah-marah nanti berkeladak ‘kolam jiwa’.

Jom ambil pen dan tulis benda ini.

1. Belilah Secara Pukal

Ini sepatutnya yang perlu anda buat mulai sekarang, banyak RM (duit) yang boleh dijimatkan jika anda membeli barang secara pukal dan banyak. Purata 15%-30% dapat jimat jika anda buat cara ini.

2. Beli Terus Dengan Pembekal

Jika kebiasaan anda membeli barangan dengan pihak ketiga, kenapa tidak ubah cara ini dengan membeli terus dari pembekal. Ramai sebenarnya pembekal yang memberi harga rendah dari pasaran jika anda berhubung terus dengan mereka. Juga boleh jimat 10%-20% dari perbelanjaan biasa.

3. Beli Secara Tunai

Belian tunai dengan belian berhutang memang berbeza. Dengan belian hutang anda tiada kuasa untuk tawar-menawar harga barang tersebut. Pembekal akan tetapkan harga untuk anda. Jadi, selepas ini ubah cara pembelian dengan bayaran tunai sahaja.

4. Dapatkan Harga Dari 2-3 Pembekal

Lepas ini kena kerja lebih sedikit, ambil harga terbaru dari pembekal dan cari harga dari beberapa orang pembekal lain. Bandingkan harga dan buat belian dari pembekal yang menawarkan harga yang sesuai dengan anda.

5. Beli Jenama Yang Berbeza

Sebagai contoh, anda biasa membeli minyak masak Cap Epal, oleh kerana minyak cap tersebut naik harga, pindahlah ke jenama lain seperti Cap Sawit misalnya atau yang murah daripada itu. Dan perhatikan juga berat dalam kilogram atau Liter juga kerana ia mempengaruhi harga.

6. Sediakan Senarai Barangan

Membeli melibatkan emosi, jika anda gagal mengawal emosi kemungkinan belian akan banyak dan naik. Sebelum membeli sediakan senarainya dahulu dan periksa betul-betul barangan yang ada supaya tidak membazir.

Boleh bah kan?

Mengeluh tidak menyelesaikan masalah, berubah dan bertindak sekarang untuk langkah lebih jimat dalam perbelanjaan perniagaan anda.