Lebih 60 peratus ketua pegawai eksekutif (CEO) di seluruh dunia meramalkan kemelesetan ekonomi dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, menurut satu tinjauan yang dikeluarkan minggu lalu seperti yang dilaporkan oleh GTN.

Tinjauan global melibatkan 750 CEO dan pegawai eksekutif tertinggi lain oleh Lembaga Persidangan – sebuah kumpulan ahli perniagaan dan penyelidikan – berkata separuh daripada CEO berpendapat wilayah di mana syarikat mereka beroperasi telah pun mengalami kemelesetan ekonomi.

Lembaga Persidangan berkata KDNK di Eropah setakat ini terus berkembang pada 2022, tetapi satu persoalan besar yang ditanya oleh kumpulan penyelidik dan ahli perniagaan: adakah ia akan terus berkembang?

Lembaga Persidangan melihat salah satu penyumbang terbesar kepada krisis ekonomi dunia adalah perang di antara Rusia dan Ukraine serta kenaikan kos isi rumah.

Yahoo Finance turut melaporkan bahawa khabar angin yang bertiup kencang dalam kalangan CEO di seluruh dunia mengenai situasi ekonomi dunia singgah apabila bank pusat di seluruh dunia membentangkan pelan agresif dengan menaikkan kadar faedah. Di Amerika Syarikat, Rizab Persekutuan pada hari Rabu menaikkan kadar faedah sebanyak 0.75%, terbesar sejak 1994.

Ahli ekonomi di Bank of Amerika Global Research juga menjangkakan bahawa AS bakal terjejas teruk dengan kira-kira 40 peratus akan terjerumus ke dalam krisis ekonomi tahun depan.

Selain itu, ahli perniagaan terkemuka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif JPMorgan (JPM) Jamie Dimon dan pengasas Tesla (TSLA) Elon Musk telah menyatakan kebimbangan serta  mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi krisis ekonomi dunia atau apa yang disebutkan olehnya sebagai masa yang mencabar.

Musk pernah berkata pada 7 Jun lalu bahawa dia mempunyai ‘rasa tidak sedap hati’ mengenai situasi ekonomi terkini. Rasa kurang senang Musk ini hadir pada minggu yang sama Dimon meminta hadirin pada persidangan perniagaan untuk bersiap sedia dengan ‘taufan ekonomi’.

“Lebih baik anda beranikan diri,” kata Dimon kepada penganalisis dan pelabur. “JPMorgan sedang menguatkan diri dan kami akan menjadi sangat konservatif dengan kunci kira-kira kami.”

Selain itu, kesan ekonomi sudah mula terasa sejak awal tahun ini apabila Sri Lanka, negara dengan lebih 21 juta penduduk kini berdepan dengan krisis ekonomi paling teruk pernah dihadapi negara itu.

Dengan kekurangan bekalan minyak, elektrik yang dicatu dan kini sekolah pula ditutup telah memaksa rakyat mereka turun ke jalan raya meminta agar perubahan tampuk pimpinan dilakukan.

Di Pakistan, rakyatnya digesa mengurangkan pengambilan teh bagi mengekalkan situasi ekonomi negara kerana pengimport teh terbesar dunia sedang bergelut dengan inflasi yang melambung tinggi dan nilai rupee yang semakin susut.

Menteri Perancangan dan Pembangunan Persekutuan Pakistan Ahsan Iqbal berkata rakyat Pakistan boleh mengurangkan penggunaan teh mereka sebanyak “satu atau dua cawan” setiap hari. Ini kerana import menambah beban kewangan kerajaan.

https://twitter.com/hankastic1776/status/1538955703800438791

Negara jiran Indonesia pula baru-baru ini menerusi Presiden mereka, Joko Widodo (Jokowi) berkata, sekitar 60 negara kini mengalami tekanan ekonomi akibat krisis makanan dan tenaga di peringkat global.

“Krisis tenaga, krisis makanan, krisis kewangan telah mula melanda beberapa negara. Terdapat kira-kira 60 negara yang sedang dalam proses menghadapi tekanan akibat hutang, sehingga menekan ekonomi mereka, tiada pertukaran asing, dan memasuki krisis ekonomi, krisis kewangan negara,” katanya.

Di Malaysia pula, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menjangkakan kira-kira 60 peratus rakyat negara ini tiada daya ekonomi jika ditimpa kejutan seperti peningkatan kos sara hidup secara mendadak.

“Biarpun kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif namun ia tidak mencukupi untuk menangani kesan kemiskinan pasca COVID-19. Justeru kita mahu kerajaan meluaskan agihan serta menambah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk merangkumi sehingga lima peratus populasi termiskin dan tidak terhad kepada golongan ‘miskin tegar’ semata-mata,” kata Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman.

Krisis ekonomi di Sri Lanka: Diesel habis, elektrik kena catu dan darurat dikuatkuasakan. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Krisis Ekonomi Di Sri Lanka: Diesel Habis, Elektrik Kena Catu Dan Darurat Dikuatkuasakan

Situasi ‘Orang Makan Orang’ Bakal Terjadi Jika Krisis Makanan Terus Memburuk, Kata Jeremy Clarkson

Greece Kehabisan Wang Tunai Dan Ini Apa Yang Rakyat Malaysia Perlu Tahu