Pernahkah anda merancang nak ajar anak di rumah tapi tiada masa atau susah benar mahu anak duduk diam dan fokus dengan apa yang mahu diajar?

Sudah sememangnya fitrah anak kecil takkan mahu duduk dengan tenang apa lagi fokus untuk jangka masa panjang. Anak-anak dalam lingkungan umur 2 ke 5 tahun masih kuat naluri bermain.

IeyF5TFq
HYPE
Skrin, Bateri & Storan Lebih Besar, HUAWEI Y9 Series Sedia Ditawarkan Daripada Harga RM799 Sahaja!
Baca lagi →

Jadi pendekatan mengajar haruslah mengandungi elemen bermain atau dimasukkan secara tidak langsung dalam rutin seharian. Tanpa disedari anak, mereka sebenarnya sedang belajar sesuatu.

2 dalam 1 kemahiran belajar dan bermain memerlukan ibu bapa jadi lebih kreatif dan gembira agar anak-anak teruja dengan ilmu dan kemahiran baru yang diperolehi mereka.

Contoh subjek matematik. Ibu bapa boleh cuba membiasakan dan mengenalkan anak dengan kemahiran matematik asas dengan hanya di rumah. Bahan-bahan atau objek yang diperlukan mudah didapati dan tidak memerlukan dalam jumlah yang banyak.

Berikut beberapa aktiviti yang boleh dicuba untuk mendedahkan anak kepada matematik awal. Dengan cara ini, anak pasti tak sedar mereka sedang belajar matematik!

1. Beg Beli Belah

Setelah selesai membeli barang dan pulang ke rumah, ibu bapa boleh asingkan dahulu barang-barang basah yang perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk. Tinggalkan barang-barang kering sahaja untuk anak buat aktiviti.

Antara barang yang boleh digunakan ialah kotak bijirin, bekas susu, botol jus, botol air, makanan dalam tin, kotak biskut, kotak tisu, makanan dalam peket atau botol-botol susu kultur. Boleh juga ditambahkan dengan barang-barang yang sedia ada di rumah untuk lebih variasi dan pilihan.

Pertama sekali, minta anak keluarkan semua barang daripada beg tersebut dan kira jumlahnya. Kemudian boleh minta anak sisihkan dan kelaskan barang-barang tersebut mengikut saiz; kecil atau besar.

Boleh juga tanya kepada anak, apakah barang yang jumlahnya tiga atau lima. Atau apakah barang yang berbentuk bulat atau segi empat.

Melalui aktiviti ini, anak dapat belajar nombor, kuantiti objek yang sama jenis dan menjumlahkan objek. Selain itu, aktiviti ini dapat bantu anak menguasai teknik penyisihan dan pengelasan berdasarkan sifat fizikal yang dilihat pada objek.

2. Bina Bentuk Dengan Tali

Aktiviti ini mudah dan ringkas. Hanya perlukan tali kasut atau sebarang jenis tali berukuran 20 inci berserta kertas dan pen. Ibu atau bapa lakarkan satu bentuk geometri yang memenuhi sekeping kertas.

Apa saja bentuk boleh dilakarkan, sama ada segi tiga, segi empat atau bulatan. Kemudian ambil tali dan letakkan di atas garisan lakaran bentuk tadi.

Minta anak ulang semula apa yang kita buat. Kebaikan aktiviti ini adalah untuk memberi pendedahan kepada geometri dan bentuk, serta istilah matematik asas.

3. Bulatan Tin-Tin

Untuk aktiviti ini, anda perlukan kertas, pen dan beberapa jenis tin yang pelbagai saiz seperti tin susu formula, tin krimer manis, tin sardin, tin biskut dan tin kacang panggang.

Ambil satu tin dan terangkan bentuknya iaitu silinder. Kemudian terangkan pula bentuk di atas dan di bawah tin, iaitu bulatan, bujur atau segi empat.

Letak tin di atas kertas dan lakarkan garisan mengelilingi tin tadi. Ulangi pada setiap tin bagi setiap sekeping kertas. Kemudian susun semua kertas dan minta anak suai padankan tin dengan garisan yang dilukis tadi.

Aktiviti ini mampu melatih anak tentang bentuk geometri dan suai padan bentuk-bentuk asas.

4. Bola Salji

Dapatkan 10 biji bebola kapas sederhana besar dan 1 bekas telur. Labelkan pada papan telur, nombor 1 hingga 10. Sorokkan bebola kapas di sekeliling rumah atau bilik dan minta anak carikan.

Setiap bebola kapas yang ditemui, letakkan pada lekuk yang terdapat pada bekas telur. Cari semua bebola kapas sehingga cukup 10 biji. Aktiviti ini mengajar anak untuk mengira 1 hingga 10 dan kemahiran matematik asas.

5. Nesting Instinct

Kaedah ini mendedahkan anak kepada perbandingan saiz barang. Ibu bapa boleh mengajar anak membezakan barang-barang yang bersaiz kecil dan besar.

Bahan-bahan yang boleh digunakan adalah kotak pelbagai saiz seperti kotak tisu, kotak bijirin, kotak biskut, kotak kasut dan sebagainya. Kenalkan pada anak istilah lebih kecil, lebih besar, lebih panjang, lebih tinggi, lebih rendah dan lebih pendek.

Ibu bapa juga boleh buat demonstrasi dengan memasukkan kotak yang lebih kecil ke dalam kotak lebih besar kemudian minta anak ulangi dengan kotak-kotak yang lain pula.

Ibu bapa digalakkan bertanya pada anak “muatkah kotak A di dalam kotak B?”, untuk melatih anak berfikir.

6. Membandingkan Saiz Kasut

Aktiviti ini boleh dilakukan di laman rumah. Ambil kasut setiap ahli keluarga dan kumpulkan. Bandingkan panjang setiap kasut yang dikumpulkan.

Melalui aktiviti ini, pada anak yang lebih besar, boleh belajar tentang pengukuran dan memahami unit piawai seperti milimeter dan sentimeter. Boleh juga gunakan tali pengukur atau pembaris jika mahu.

Bagi anak yang di usia pra sekolah, aktiviti ini mampu kenalkan mereka dengan istilah lebih panjang, lebih pendek, lebih tinggi dan lebih rendah.

7. Lukisan Matematik

Ini paling mudah kerana anda hanya perlukan pen atau pensel dan kertas. Aktiviti ini akan membantu anak anda memegang alat tulis apabila anda memandu tangan mereka untuk melukis bentuk-bentuk geometri dan nombor.

Untuk jadikan ia lebih menarik, gunakan warna yang berbeza untuk bentuk dan nombor yang berbeza. Selain itu boleh gunakan aplikasi yang menyediakan fungsi mewarna mengikut nombor seperti gambar di atas.

Hidup Dikelilingi Unsur Matematik

Antara aktiviti matematik mudah lain yang boleh dipraktikkan sehari-hari termasuklah:

1. Meminta anak cari, tunjuk dan baca nombor-nombor yang terdapat di sekeliling rumah atau kejiranan. Contohnya angka-angka pada peti surat, papan tanda had laju atau nombor rumah.

2. Mengajar anak mengira nombor mengikut urutan dari depan ke belakang dan sebaliknya. Boleh gunakan jam dinding, jari tangan dan kaki dalam aktiviti ini.

3. Mengajar anak tentang corak nombor. Misalnya permainan tepuk tangan dan hentak kaki. Cuba katakan tepuk 1, hentak kaki 2, tepuk 3, hentak kaki 4. Lebih menarik jika dibuat lagu.

4. Belajar menjumlahkan objek. Contohnya mengira jumlah bola, batu atau guli.

5. Bercerita tentang nombor. Misalnya, minta anak jumlahkan bilangan adik-beradiknya. Boleh tanya pada anak, kalau ada 2 abang dan 2 kakak, berapa jumlah semuanya.

6. Ibu bapa boleh tanyakan pada anak berapa biji kuih setiap orang makan, atau jika empat keping roti dikongsi oleh 2 orang, berapakah bilangan yang diterima setiap orang.

7. Boleh belajar menyukat bahan-bahan seperti tepung, serbuk koko, soda bikarbonat dan gula dengan menggunakan cawan penyukat, senduk, sudu atau bekas.

Anda Mungkin Suka