Orang kaya makin kaya. Itu tak bermakna orang yang sederhana atau miskin tidak boleh menjadi kaya. Tentunya keberuntungan itu boleh diperolehi jika ada usaha di jalan yang betul.

Orang kaya makin kaya kerana ada tabiatnya yang membantu mengembangkan kekayaan sedia ada menjadi lebih banyak. Itulah yang membezakan orang kaya dengan orang sederhana dan miskin.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bukan saya yang cakap sebegitu. F. Scott Fitzgerald pernah mengatakan orang kaya itu berbeza dengan awak dan saya. Contoh mudah, ini 7 kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang sederhana dan miskin, tetapi tidak bagi orang kaya (yang bukan spoiled child).

1. Corak Perbelanjaan

Kebiasaannya ramai orang menyimpan sejumlah wang yang tinggal di dalam dompet setelah habis berbelanja. Ia menjadikan hidup ini seperti “enjoy dulu, suffer kemudian”.

Bagi orang kaya pula, mereka mengasingkan sejumlah wang untuk mencapai sasaran yang dikehendaki dalam tempoh waktu tertentu.

Jika mahu beri ganjaran kepada diri sendiri, orang kaya akan allocate wang daripada pendapatan mereka untuk tujuan tersebut.

Ini menunjukkan orang kaya belajar untuk menangguhkan kepuasan diri dan elak dari terjebak dengan gejala hutang yang akan menjadi virus kewangan kelak.

2. Buat Keputusan Kewangan

Orang kaya sesekali tidak akan membuat keputusan berkaitan kewangan dengan dipengaruhi emosi. Mereka tidak akan buat keputusan hanya kerana gerak rasa hati atau emosi.

Orang kaya akan memutuskan sesuatu tindakan mereka berdasarkan sasaran masa panjang dan strategi di dalam perancangan mereka yang komprehensif.

Contohnya mereka akan mengambil masa tempoh bertenang selama 24 jam dalam urusan sejumlah wang yang besar atau meletakkan peraturan yang patut dipatuhi agar transaksi itu selamat dan berbaloi.

3. Peluang Jadi Lebih Kaya

Tiada jalan mudah untuk jadi lebih kaya. Jika ada orang tawarkan peluang jadi kaya dengan hanya menabur duit sahaja di dalam skim mereka, elakkan.

Orang kaya sendiri sentiasa menambahbaik diri dan status kewangan mereka, sama ada berusaha untuk dapat pendapatan yang lebih banyak daripada sekarang atau mencari peluang menambah saluran pendapatan.

Kebiasaannya apabila dapat lebih pendapatan, kos hidup juga bertambah dengan berubahnya cara hidup setelah raih pendapatan yang banyak.

Jika mahu jadi orang kaya, tidak perlu tingkatkan kos hidup selari dengan peningkatan pendapatan. Duit lebihan yang ada boleh digunakan untuk pelaburan lain pula.

4. Pelaburan

Sambungan dari poin nombor 3, duit lebihan pendapatan boleh disalurkan ke tabung pelaburan. Namun begitu, pelaburan yang dilakukan bukanlah di dalam satu ‘kolam’ yang sama.

Orang kaya akan mempelbagaikan jenis pelaburan dan menjadikan ia sumber pendapatan sama ada untuk semasa atau masa tua kelak. Pelaburan yang dilakukan juga bersifat jangka panjang. Jadi, kena sabar dan tahu cara mengurangkan risiko pelaburan.

5. Terima Nasihat

Walaupun orang kaya itu adalah orang yang bijak menguruskan kewangan mereka, ada kala bantuan dari segi nasihat daripada orang lain atau sistem turut dialu-alukan oleh mereka.

Ini kerana orang kaya bukanlah ahli nujum atau pakar dalam semua perkara. Jika harus membuat keputusan yang melibatkan wang, mereka akan mendapatkan nasihat daripada penasihat yang dipercayai.

Penasihat ini akan bantu orang kaya merancang kewangan melibatkan isu seperti cukai, harta, pengagihan pendapatan dan lain-lain untuk persaraan.

Kalau kita tak mampu dapat khidmat nasihat kewangan profesional, kita masih boleh menggunakan aplikasi kewangan untuk membantu kita membuat keputusan yang baik.

6. Cari Keselesaan Atau Kebebasan

Orang kaya akan mencari kebebasan, manakala orang sederhana dan miskin mencari keselesaaan. Apabila sudah berada dalam zon selesa, ia adalah satu perkara yang paling bahaya dalam kewangan.

Bahaya? Bahaya wujud apabila tiada keinginan untuk dapatkan lebih lagi sehingga mencapai status bebas, di mana tidak perlu bekerja untuk duit. Orang kaya mahukan status kebebasan itu di mana duit akan bekerja untuk mereka.

Maka, keselesaan itu tidak wujud di dalam kamus hidup orang kaya. Mereka akan fokus pada pencapaian kebebasan hidup sahaja.

7. Banding Hidup

Membandingkan kewangan anda dengan orang lain akan menyebabkan anda tidak akan mencipta kekayaan terutama apabila anda membandingkan kewangan dengan orang yang lebih susah.

Bukan nak mengajak supaya tidak bersyukur, tabiat membandingkan hidup sendiri dengan hidup orang lain sehingga terciptanya zon selesa pada minda kita akan membuatkan kita berada di zon bahaya. Lihat semula poin nombor 6.

Kalau nak jadi orang kaya, boleh mula lakukan 7 perkara di atas. Pasti ada yang kata ini semua mengarut. Usah diungkitkan tentang sebilangan orang kaya yang berbelanja mewah hingga habis harta warisan keluarga.

Orang kaya yang dimaksudkan di dalam artikel ini adalah orang kaya yang dapat beli barang atau perkhidmatan for leisure atau ganjaran diri tanpa berhutang (hutang sia-sia), mempunyai duit simpanan yang banyak, hidup bersederhana walaupun pendapatan besar, tidak terburu-buru buat keputusan bagi mengembangkan wang dan terbuka untuk mencari ilmu dan mendengar pendapat.

Jadi orang kaya itu adalah satu pilihan di dalam hidup ini. Kita ambil yang baik untuk dijadikan pengajaran dan panduan agar kita berada di track yang betul dalam mencapai cita-cita dan impian di dalam kehidupan ini.